ANTARA aktiviti yang dijalankan di KEM Belantara seusai utk kanak-kanak dah seisi keluarga.
Nurul Husna Mahmud

PEMBANGUNAN dan kemajuan teknologi hari ini memerlukan pendekatan menyeluruh bagi mendidik generasi muda mendepani cabaran dunia tanpa mengetepikan kepentingan alam sekitar.

Mendekatkan golongan ini dengan persekitaran hijau menerusi penerokaan hutan dan amalan lestari dilihat antara usaha berkesan.

Cuti sekolah baru-baru ini memberikan peluang kepada peminat aktiviti ikhtiar hidup mahupun pencinta alam untuk memilih sebarang modul atau pengisian bersesuaian dengan bajet dan minat.

Tidak terkecuali kem belantara yang turut menarik perhatian khususnya pelajar sekolah.


PESERTA perlu tulis jurnal pengalaman mereka.

Bagi Pengasas Kem dan Sekolah Belantara, Jameyah Sheriff, aktiviti yang disertai 40 kanak-kanak dari sekitar Lembah Klang memfokuskan pembelajaran dan pengkajian alam semula jadi serta amalan lestari.

“Kem belantara diwujudkan bagi mendidik golongan muda berkenaan kepentingan mengenali alam sekitar dan kebiasaannya dilangsungkan ketika cuti sekolah dan hujung minggu.

“Kanak-kanak masa kini biasanya lebih banyak terdedah dengan gajet dan teknologi berbanding berinteraksi dengan alam semula jadi. Dibandingkan kanak-kanak dulu terutama yang tinggal di kampung, ikhtiar hidup mereka lebih tinggi.

“Setidak-tidaknya menghadiri kem belantara ketika musim cuti membantu mereka meneroka sendiri pengetahuan sedia ada dalam persekitaran semula jadi,” katanya.


JAMEYAH mahu terapkan nilai lestari dan eko dalam kalangan kanak-kanak zaman kini.

Kata Jameyah, tiada modul spesifik sebaliknya berubah mengikut keperluan dan tahap peserta yang mengikuti program.

“Program ini turut membabitkan penyertaan pelajar universiti dalam menjalankan aktiviti sepanjang kem berlangsung.

“Itenari kem berubah mengikut keperluan sama ada perlu bermalam atau tidak. Menariknya kanak-kanak mengikuti kem ini diberi kebebasan untuk mereka perkampungan belantara sendiri.

“Ia penting dalam pembinaan kapasiti kemahiran penyelesaian masalah selain interaksi sosial apabila peserta membentuk kumpulan dan belajar antara satu sama lain. Ini moral dan elemen lestari kami mahu tekankan impak daripada penyertaan mereka dalam kem ini,” katanya.

Katanya, Kem Belantara yang sudah masuk siri kelima mencabar keupayaan dan kebolehan kanak-kanak baik mental mahupun sosial mereka. Lokasi bagi kem luar ialah di Sungai Dara Behrang, Perak sementara di Damansara Damai dengan kerjasama Majlis Bandaraya Petaling Jaya pula dinamakan lokasi hub edu eco untuk pembelajaran dalam bangunan.


BELAJAR berdikari dan ilmu ikhtiar hidup.

“Pendekatan buat peserta lebih santai selain pengetahuan yang dipelajari mengenai tumbuhan dan pokok di dalam hutan dimanfaatkan pada suatu hari nanti. Selain itu mereka turut mempelajari sumber air selamat dan mengenali lokasi bebas pencemaran.

“Kami berharap mereka tidak berasa tertekan dan relaks, sesuai dengan mood alam semula jadi tenang selain dilakukan ketika cuti sekolah,” katanya.

Dalam program sebelum ini pihaknya turut bekerjasama dengan masyarakat Orang Asli dan orang kampung di kawasan pedalaman.

Terdekat program kem belantara dijalankan Jameyah dan pasukannya menyasarkan golongan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Baru Hicom di Seksyen 26, Shah Alam, Selangor bertemakan kitar semula.


KEM belantara disertai kanak-kanak dibantu pasukan Jameyah dan pakar dalam ilmu alam sekitar.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 April 2019 @ 11:19 AM