DINOSAUR Rangers antara tarikan Web Adventurers.
Suliati Asri
suliati@hmetro.com.my

AEON Co (M) Bhd menerusi pusat beli-belah AEON Mall Nilai, Seremban bukan saja memberi pengalaman berbelanja mengujakan tetapi turut menjanjikan keseronokan seisi keluarga dengan memperkenalkan zon baru dan inovatif, Web Adventurers.

Pusat interaktif ini adalah yang pertama seumpamanya menawarkan pengalaman baru dalam menjadikan pusat beli-belah itu sebagai Active Mall.

Pengarah Urusannya, Shinobu Washizawa, berkata kebanyakan ibu bapa masa kini ingin anak mereka membabitkan diri dalam aktiviti yang bukan saja menyeronokkan dan menarik tetapi dapat membantu mencetuskan imaginasi.

Katanya, Web Adventurers ini memberi peluang kepada kanak-kanak dan remaja untuk terbabit dalam aktiviti pendidikan menarik, interaktif dan juga menyeronokkan.

“Di AEON, kami sentiasa berusaha mempelbagaikan tarikan untuk memenuhi perubahan gaya hidup dan persekitaran perniagaan.

“Kami juga percaya, mewujudkan platform untuk keluarga dan rakan menghabiskan masa berkualiti dalam aktiviti yang menyeronokkan dan berfaedah adalah sangat penting.

“Dengan Web Adventurers yang bertujuan memupuk keseronokan, meningkatkan kemahiran berfikir dan menggalakkan pembelajaran, ia aktiviti menyeronokkan bersama keluarga dan rakan yang meninggalkan kenangan tersendiri,” katanya.

Terletak di tingkat dua pusat beli-belah AEON Mall dengan keluasan 2,440 meter persegi, konsep Web Adventurers ini direka bagi memperkenalkan dan menggabungkan beberapa tema menarik, unik dan interaktif.


RASAI pengalaman mengujakan.

Ia menampilkan tiga tarikan utama iaitu Dinosaur Rangers, Monster House dan Mini Science and Technology Discovery Centre. Tarikan ini juga akan berubah dari masa ke semasa.

Di Dinosaur Rangers, pengunjung akan di bawa kembali ke zaman prasejarah dengan mengalami perjalanan kart interaktif, meneroka raptor maze, mencabar pengetahuan mengenai dinosaur selain menemui sendiri lebih daripada 10 replika haiwan purba itu seolah-olah hidup.

Pengunjung juga dapat merasai pengalaman unik 13 tema berbeza yang menakutkan di Monster House. Ia dibahagikan kepada dua kategori iaitu ‘family base’ dengan raksasa kecil comel dan nakal serta ‘extreme base’ yang memaparkan pengalaman menyeramkan selain menakutkan untuk menguji tahap keberanian.

Bagi yang suka sains dan teknologi pula, meneroka Mini Science and Technology Discovery Centre yang berfungsi sebagai hab sains mini untuk kanak-kanak dan pelajar nyata tidak mengecewakan.

Ia direka untuk memberi inspirasi kepada kanak-kanak berkenaan teknologi melalui aktiviti dan pameran seperti reverse bungee, lantai interaktif, pengaturcaraan robot dan banyak lagi aktiviti menarik lain menanti untuk diterokai.

Dibuka 23 Mac lalu, Web Adventureras ini nyata sesuatu yang cukup mengujakan. Ia secara tidak langsung membuatkan AEON Mall Nilai bukan sekadar pusat beli-belah tetapi turut menawarkan aktiviti menyeronokkan buat pengunjungnya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 April 2019 @ 10:48 AM