PEMANDANGAN Tanjung Emas Muar yang indah dan diiktiraf antara bandar terbersih di Malaysia. FOTO Syarafiq Abd Samad
Zaitie Satibi
zaisa@hmetro.com.my

MUAR yang dulunya disebut lokasi pilihan warga pencen sebenarnya kaya dengan keunikan tersendiri. Daerah di Johor ini yang turut dikenali sebagai Bandar Maharani ini diisytihar sebagai Bandar Diraja pada 2012, tetapi masih mengekalkan pelbagai khazanah sejarah dan budaya berharga.

Keistimewaan ketara apabila bandar Muar ini terletak di tepi Sungai Muar. Tarikan sungai ini pula adalah taman rekreasi Tanjung Emas di kualanya. Ia berlatar belakang esplanad menarik menghadap sungai yang tenang.

Tanjung Emas dibangunkan Majlis Perbandaran Muar (MPM) sebagai lokasi riadah untuk penduduk setempat. Terdapat pelbagai kemudahan awam, peralatan riadah, permainan kanak-kanak dan landskap indah bagi menarik kunjungan orang ramai.


PENGUNJUNG bersantai menghadap sungai.

Malah, pengunjung juga dapat menikmati pemandangan laut Selat Melaka.

Persekitaran taman yang bersih dan nyaman ini sangat sesuai untuk aktiviti keluarga pada hujung minggu atau riadah petang. Tebing sungai di taman ini dihiasi dengan laluan siar kaki yang membolehkan pengunjung menikmati pemandangan Sungai Muar dari jarak dekat.

Taman ini yang dikunjungi ramai ketika hujung minggu juga menempatkan padang golf sembilan lubang. Selain itu, terdapat perkhidmatan bot menyusuri Sungai Muar selama 45 minit hingga satu jam yang bertolak dari jeti taman ini untuk memberikan peluang kepada pelancong menikmati pemandangan bandar Muar dari sungai.

Banyak juga acara membabitkan masyarakat dianjurkan di taman rekreasi ini seperti kayuhan basikal, larian, pertandingan dan festival. Pengunjung tidak perlu risau jika mahu datang ketika acara berlangsung kerana MPM menyediakan tempat letak kenderaan yang mencukupi.

Di hujung taman rekreasi ini terdapat satu lagi lokasi santai dikenali sebagai Tanjung Ketapang. Bezanya dengan Tanjung Emas, kawasan rekreasi ini mempunyai hutan bakau yang menjadi habitat monyet dan pelbagai hidupan liar lain yang tidak berbahaya kepada pengunjung.

Anda boleh bersiar-siar di dalam kawasan hutan bakau itu berikutan terdapat pelantar laluan pejalan kaki dan pondok rehat membolehkan pengunjung menikmati pemandangan alam semula jadi pokok bakau dan hidupan yang menghuni kawasan itu.


SIAR kaki tebing Sungai Muar.

Tanjung Ketapang juga adalah lokasi strategik untuk melihat pemandangan matahari terbenam. Kemudahan lain disediakan adalah trek joging dan peralatan senaman untuk pengunjung yang mengamalkan gaya hidup sihat. Selain aktiviti riadah, penduduk tempatan juga selalu melakukan aktiviti memancing di sekitar taman ini.

Selain tarikan alam semula jadi, Tanjung Emas juga menyajikan pemandangan bangunan bersejarah seperti Masjid Jamek Sultan Ibrahim yang juga masjid tertua di bandar berkenaan. Bangunannya dibina pada 1927 dan memiliki banyak pengaruh British disebabkan pembinaannya dilakukan ketika zaman kolonial British.

Berhampiran masjid ini adalah Bangunan Sultan Abu Bakar yang juga mercu tanda Muar yang terawal dan masih kekal sehingga hari ini. Ia juga dibina berasaskan ciri-ciri struktur pembinaan kolonial British pada zaman kegemilangan Muar sebagai bandar pentadbiran dan perdagangan yang terpenting bagi kedua-dua kerajaan British dan Sultan Johor di sebelah wilayah utara negeri.


DATARAN Tanjung Emas tempat aktiviti masyarakat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Mac 2019 @ 11:47 AM