KAMPUNG nelayan Kuala Sungai Baru destinasi sesuai untuk kaki pancing dan peminat fotografi.
Nurul Husna Mahmud
nurul_husna@hmetro.com.my


KUALA Sungai Baru mungkin kedengaran asing dalam kalangan pengunjung yang kerap melancong ke negeri bersejarah Melaka.

Berbanding lokasi pantai dan laut lain yang popular seperti Pangkalan Balak, Tanjong Keling ataupun Pantai Klebang, Kuala Sungai Baru lebih dikenali sebagai perkampungan nelayan.

Uniknya, lokasi berkenaan memiliki panorama menarik terutama pemandangan ketika senja tatkala kapal dagang menyusuri Selat Melaka.

Bagi kaki joran pula, lokasi ini antara lokasi wajib kerana pelbagai ikan boleh dipancing sepanjang tahun selain terletak berhampiran Sungai Linggi yang dikenali sebagai pusat tangkapan udang galah liar.

Kepelbagaian tarikan itu membuatkan ramai pengusaha penginapan tempatan yang menawarkan kemudahan dan pakej bermalam di sepanjang Kuala Sungai Baru.


BOLEH memacak joran di pesisiran pantai.

Penulis juga sempat singgah ke lokasi ini dengan menginap di KM Chalet yang menawarkan persekitaran perkampungan di pesisiran pantai penuh damai.

Pantai yang bersih dan landai antara kelebihan dimiliki selain terdapat batu besar di penghujung kedua-dua belah pantai membentuk teluk cantik sesuai untuk rekreasi air.

Kebetulan ketika kunjungan ke pantai ini bukan jatuh pada musim cuti sekolah, maka penulis berpeluang menyewa bilik berdekatan dengan pantai. Jadi tidak hairanlah deruan bayu dan ombak menghempas pantai jelas kedengaran. Malah di pantai Kuala Sungai Baru turut dilihat sesuai untuk aktiviti berenang.

Penulis yang bercuti bersama keluarga, sempat juga ‘berenang anak’ sambil menanti mata kail disambar ikan. Tidak perlu berjalan jauh, kerana joran boleh dipacak di tepi pantai.


PANTAI bersih turut mempunyai batu besar sesuai sebagai latar untuk merakam foto.

Bermodalkan umpan udang, aktiviti memancing yang bermula jam 7 malam dan berakhir sekitar jam 9 malam itu berjaya membawa naik tangkapan iaitu ketam serta ikan sembilang.

Selain popular dengan lubuk sembilang, lokasi itu juga popular dengan ikan pari dan gelama. Jika inginkan lebih cabaran, pengunjung boleh memandu ke Kuala Linggi atau Lubok Cina untuk mengail udang galah.

Di Lubok Cina, Pangkalan Nelayan Kampung Paya Lebar antara lokasi peminat aktiviti memancing dengan menyewa perahu bagi mengail udang galah.


BERGEMBIRA dengan hasil tangkapan.

Tambahan pula, restoran di Kompleks Nelayan yang terletak berdekatan dengan lokasi penginapan turut menawarkan khidmat memasak hasil tangkapan pada harga berpatutan.

Namun menginap di kawasan sebegini, suka penulis sarankan supaya anda membawa bekalan terutama mereka yang gemar snek atau makanan ringan kerana lokasi terbabit jauh dari kawasan bandar.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Mac 2019 @ 4:00 AM