SERONOK dapat melihat rusa dari dekat.
Audrey Teoh

BANYAK yang diceritakan mengenai Taiping tetapi masih tiada kesempatan ke sana. Keinginan itu tertunai ketika Malaysian Ultra Trail Festival dan sepanjang jalan dari Kuala Lumpur menuju ke utara, khususnya ke rumah penginapan, penulis membayangkan Taiping pekan kecil yang aman damai, jauh daripada kesibukan.

Ternyata anggapan berkenaan benar. Rumah penginapan yang ditempah itu di kawasan taman perumahan, hanya tiga minit pemanduan dari Spritzer Eco Park dan penduduk di situ kebanyakannya adalah warga tua.

Seronok juga bersiar-siar di bandar lama itu. Semuanya terasa santai dengan deretan kedai kecil dan gerai yang diusahakan penduduk tempatan. Ke arah mana pun, tidak kelihatan bangunan yang tingginya melebihi dua tingkat.

Sukar untuk penulis menggambarkan perasaan apabila sesekali berubah angin daripada bandar besar yang hiruk-pikuk dan serba pantas ke pekan kecil yang tenang. Seperti kata orang, kunjungan ke Taiping tidak lengkap tanpa mengunjungi Zoo Taiping. Ya, benar. Ia menjadi ‘penyeri’ kepada percutian pendek kami kali ini.Kami juga sebenarnya tidak sabar hendak menjejakkan kaki ke zoo tertua Malaysia yang dibuka pada 7 Mac 1964 ini. Banyak cerita menarik yang kami baca dan dengar mengenainya. Ternyata, ia bukanlah cerita yang indah khabar daripada rupa, kerana ia benar-benar tidak menghampakan.

RUSA bintik yang sangat cantik.

Dari kawasan parkir yang terjaga, kami sudah dapat melihat keunikan taman di dalam zoo ini. Sebaik masuk, kami bangga berada dalam zoo berkonsep terbuka dan bersih dengan arca haiwan yang cantik. Malah petugas di kaunter tiket juga mesra melayan pengunjung.

Sempat juga kami berhenti sebentar membaca papan maklumat yang mengatakan Zoo Taiping dijaga dan diselenggarakan oleh Majlis Perbandaran Taiping, malah ia juga zoo bebas styrofoam. Sambil mencerna maklumat, penulis berdoa semoga banyak lagi pihak dan tempat awam yang mengamalkan konsep ini demi menjaga kelestarian alam.

Jumlah haiwan di sini juga mengagumkan kami, lebih 1,300 jenis haiwan daripada spesies yang bersaiz besar seperti cimpanzi, orang utan, harimau, singa, gajah, zirafah kepada rusa serta mamalia lain.

Selain itu ia juga menjalankan program pembiakan dan konservasi hidupan liar dan sudah berjaya membiakkan beberapa spesies seperti harimau, singa, siamang, rusa, nilgai dan burung kuak.

Leka kami memerhatikan gelagat haiwan di sini terutama cimpanzi yang beramai-ramai begitu asyik ‘merapi’ diri. Kami agak mereka itu sekeluarga kerana saiz tubuh yang berbeza, ada kecil dan ada yang besar. Ibu cimpanzi menyisir bulu anaknya mengikut giliran.

SANG bedal yang sentiasa tampilkan aksi tenang.

Agaknya kerana terlalu lama menunggu gilirannya, anak cimpanzi yang paling kecil mula nampak bosan. Berulang kali dia melakukan pelbagai aksi untuk menarik perhatian ibunya tetapi tidak berjaya. Selepas beberapa kali cubaan gagal, si kecil ini berpaling dan membelakangkan badannya dengan muka merajuk.

Kami ketawa melihat aksinya. Terbayang gelagat anak yang kreatif mencari idea untuk mendapatkan perhatian ibu bapa dan sering kali menunjukkan muka ‘asam paya’ apabila kehendak mereka tidak dipenuhi. Rupanya ragam kehidupan kita tidak jauh berbeza. Inilah antara kebesaran Tuhan yang kita sering terlupa.

Meneruskan perjalanan, kami tiba di ruang Pameran Haiwan Savannah Afrika yang menempatkan pelbagai jenis haiwan. Uniknya, banyak spesies haiwan ini mempunyai ‘kolam mandi’ sendiri contohnya badak air Nile yang sentiasa berendam, keluarga gajah bersama anak-anaknya seronok bermandi-manda dan beberapa spesies buaya, aligator, gharial (atau gavial) dan gharial palsu.

Pada pandangan mata pengunjung seperti penulis, semuanya adalah keluarga buaya, cuma berbeza saiznya saja. Selepas membaca penerangan yang disediakan di situ, barulah kami dapat membezakan antara satu sama lain. Mata kami ligat memerhatikan ciri khas yang ada pada setiap spesies haiwan pemangsa itu.

SINGA mempamerkan otot gagahnya.

Ada juga ruang yang dikhaskan untuk haiwan unik Australia seperti kangaru merah dan emu. Jadi, bagi yang ingin melihat sendiri haiwan kebanggaan Australia itu bolehlah datang ke sini dan memperkenalkannya kepada anak kita.

Hati makin teruja apabila sampai ke bahagian spesies haiwan yang dekat dengan kita seperti tapir, rusa Sambar, rusa Muntjac dan landak. Kunjungan ke Zoo Taiping mengimbau kenangan ketika kecil kerana zoo adalah antara destinasi wajib dalam agenda lawatan sekolah.

Suasana zoo yang dibuka dalam persekitaran semula jadi dengan pokok yang merimbun rendang dan tasik tenang memang mendamaikan. Tambah menarik apabila ketenangan tasik diserikan dengan kehadiran burung air seperti burung dendang, burung pucung kelabu dan bangau.

Pokoknya yang berusia menjadi pentas mainan untuk unggas dan monyet yang sentiasa memerhatikan pengunjung ke ‘rumah’ mereka. Boleh dilihat dengan jelas ada sesetengah monyet yang bangga menunjukkan ketangkasannya bergayut dari satu dahan ke dahan lain, manakala ada burung yang besar begitu jinak untuk didekati pengunjung.

Di kafeteria, seekor burung menjadi penunggu setia di situ. Malah ia selalu dilihat berjalan mendekati pengunjung yang menjamu selera. Penat berjalan berkenalan dengan haiwan, anak-anak boleh bermain di taman permainan di situ sebelum meneruskan pengembaraan mereka di kawasan zoo. Untuk pengunjung kecil dan warga emas, disediakan perkhidmatan kereta api mini bagi membolehkan mereka menikmati pengalaman yang menyeronokkan di sini.

Zoo Taiping dibuka setiap hari dari jam 8.30 pagi hingga 6 petang. Jika mahukan kelainan, bolehlah berkunjung pada waktu malam untuk pengalaman Night Safari yang bermula dari jam 8 hingga 11 malam, setiap hari termasuk cuti umum.

Untuk maklumat lanjut bolehlah singgah di www.zootaiping.gov.my supaya kunjungan anda ke Taiping yang baru-baru ini dinamakan sebagai Destinasi Hijau oleh badan bukan kerajaan (NGO) pelancongan akan lebih bermakna. Taiping juga disenaraikan sebagai antara 100 Destinasi Lestari Terbaik dalam Green Destination ITB Award 2018.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Februari 2019 @ 10:01 AM