AIR terjun menjadi tarikan di Gunung Belumut.
MENDAKI Gunung Pulai.
PUNCAK Gunung Ledang.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin
asyikin.mat@hmetro.com.my

TATKALA orang lain sedang enak diulit mimpi tapi peminat aktiviti mendaki gunung sanggup bersengkang mata untuk memulakan langkah dan mengerah kudrat semata-mata mahu menawan puncaknya.

Biarpun terpaksa ‘bertarung’ dengan kedinginan malam, misi tetap diteruskan supaya peluang menyaksikan panorama matahari terbit tidak terlepas begitu sahaja.

Segala keletihan bagaikan hilang sebaik melihat keindahan ciptaan Maha Pencipta apabila berada di atas puncak. Itu antara nikmat yang diburu pendaki!

Lazimnya mereka akan mencari lokasi pendakian baharu untuk merasai pengalaman berbeza kerana di setiap gunung memiliki keistimewaan tersendiri.

Di Johor terdapat 25 gunung yang boleh menjadi lokasi pilihan pendaki atau mereka yang baru berjinak-jinak dengan aktiviti mendaki kerana ketinggian tidak terlalu tinggi.

Daripada itu, enam lokasi pendakian gunung yang menarik untuk diteroka:

1. Gunung Ledang

Gunung Ledang berketinggian 1,279 meter (m) adalah gunung tertinggi di selatan Semenanjung Malaysia yang terletak di daerah Tangkak. Ia antara gunung ke-10 paling sukar didaki di negara ini tetapi sering menjadi pilihan kaki gunung menerokainya. Gunung ini sangat sesuai untuk mereka yang menggemari cabaran mental dan fizikal.


AIR terjun menjadi tarikan di Gunung Belumut.

2. Gunung Pulai

Gunung Pulai adalah gunung yang terletak di daerah Kulai dengan ketinggian 654 meter. Ia antara lokasi pendakian cukup dikenali bagi penduduk setempat dan warga Singapura. Pengunjung akan melalui Kampung Sri Gunung Pulai yang menjadi pintu masuk ke hutan lipur berkenaan. Kepelbagaian flora dan fauna menjadi daya tarikan kepada pengunjung untuk berekreasi di gunung itu.

3. Gunung Panti

Nama gunung ini amat jarang didengari dan kurang popular berbanding gunung lain. Ia mempunyai ketinggian 456 meter dan terletak berhampiran Kampung Lukut, Kota Tinggi, Johor. Lazimnya pendaki mengambil masa 4 jam 30 minit untuk mendaki dan turun dari gunung terbabit. Trek gunung ini lebih santai dan sesuai kepada pendaki amatur yang baru berjinak-jinak dalam aktiviti pendakian.

4. Gunung Lambak

Terletak di daerah Kluang, gunung setinggi

510 meter ini salah satu lokasi pendakian digemari warga Johor kerana

memiliki sebuah hutan rekreasi yang menarik. Ini membolehkan pengunjung berenang di kolam dan mendaki gunung. Gunung ini adalah identiti daerah berkenaan kerana menjadi latar belakang bandar Kluang.


MENDAKI Gunung Pulai.

5. Gunung Belumut

Gunung berketinggian 1,010 meter ini terletak di daerah Kluang, Johor adalah gunung keempat tertinggi di daerah berkenaan. Gunung ini lebih tinggi dan curam sekiranya dibandingkan dengan Gunung Lambak dan Gunung Panti. Salah satu tarikan gunung berkenaan ialah Batu Mahkota iaitu sebuah batu yang kelihatan seolah-olah satu mahkota raksasa dan dapat dilihat selepas pengembaraan berjalan kaki selama dua jam.

6. Gunung Tiong

Gunung ketiga tertinggi di Johor ini mempunyai ketinggian 1,014 meter yang terletak berhampiran Taman Negara Endau-Rompin Selai (TNER Selai). Laluan pendakian adalah terus dari TNER Selai ke puncak gunung yang boleh dilakukan dalam masa dua hari satu malam. Perjalanan ke puncak bermula dari tapak perkhemahan Lubuk Merekek selain pendaki perlu menyeberangi

Sungai Selai iaitu sungai utama di kawasan ber­kenaan. Gunung Tiong pernah menjadi tumpuan pendaki dari sekitar Labis dan daerah berhampiran selepas taman negara itu dibuka kepada umum

pada 2003.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Februari 2019 @ 12:51 PM