Aniza Zainudin
anizazainudin@hmetro.com.my

PASAR karat sentiasa membangkitkan nostalgia di hati pengunjung, apabila kebanyakan barangan yang ditawarkan kini tidak lagi dijual di pasaran semasa.

Tersenarai sebagai tarikan pelancongan bagi satu-satu lokasi, bazar berkonsepkan vintaj, unik dan berpatutan ini bukan hanya menjadi tumpuan pengumpul koleksi antik bahkan mereka yang meraikan kemeriahan suasananya.

Berikut antara pasar karat popular yang terdapat di Malaysia dan kebanyakannya beroperasi pada hujung minggu. Mungkin senarai ini dapat membantu anda yang sedang merancang percutian pendek pada hujung minggu ini.

1. Pasar Loken Ipoh, Perak

Beroperasi seawal jam 6.30 pagi hingga 1 tengah hari, setiap Ahad, pasar karat atau lebih dikenali dengan panggilan Loken ini antara pasar karat popular menjadi satu daripada tarikan pelancong untuk berkunjung ke Ipoh, Perak.

Seperti pasar karat lain, Loken turut menawarkan variasi barangan lama dan vintaj menggamit memori pada harga berpatutan sering dengan popularitinya sebagai ‘Memory Lane.’

Pasar unik sepanjang dua kilometer ini bukan saja menjual produk antik, bahkan dipelbagaikan dengan kehendak masa kini apabila menawarkan barangan seperti pakaian, peralatan elektrik, makanan, minuman serta buahan.

Terletak di Jalan Horley, kebanyakan penjual mempamerkan barang jualan di atas tikar beratapkan payung berwarna-warna.

Jika tidak berhajat membeli-belah, kunjungan anda pasti bermakna apabila menyaksikan barangan antik yang pernah digunakan turut dijual di sini.


PASAR Loken.

2. Pasar karat Rengit, Johor

Perbezaan pasar karat Rengit dengan pasar karat yang lain adalah urusan penjualannya berlaku di premis dan kediaman peribadi penjual.

Terletak di sepanjang jalan masuk ke Kampung Bumiputera Dalam, Rengit, pengunjung pastinya teruja apabila boleh memburu barangan terpakai menerusi tingkap kereta sebelum berhenti di rumah yang menjual aksesori diingini.

Beroperasi setiap hari, pasar karat ini sentiasa sibuk menerima kunjungan pembeli sama ada secara kecilan mahupun borong.

Antara barangan terpakai yang kebanyakannya dari Singapura ini termasuk perabot, barangan elektrik, permainan, alatan kelengkapan rumah, perhiasan rumah dan pakaian terpakai.

Lagi menarik, setiap barangan yang dijual mempunyai kualiti tersendiri. Kunjungan pasti bermakna sekiranya anda gemar membelek barangan terpakai sambil memantapkan lagi skil tawar-menawar.


PASAR karat Rengit.

3. Jonker Walk, Melaka

Populariti destinasi ini sukar untuk disangkal lagi, tambahan pula ia terletak di Melaka yang sememangnya menjadi tumpuan pelancong sama ada tempatan mahupun asing.

Jonker Walk terletak di Jalan Hang Jebat dan pasar antik ini dibuka pada hujung minggu bermula jam 6 petang hingga 10 malam.

Dikenali satu daripada laluan bersejarah di Melaka, Jonker Walk terletak di celahan jalan yang dipenuhi struktur dan rumah warisan Baba Nyonya yang sedia ada sejak abad ke-17.

Laluan ini disenaraikan satu lokasi wajib yang tumpuan penggemar barangan antik, tekstil dan kraf tangan untuk mencuci mata mahupun mendapatkan barangan diingini.

Selain itu, anda juga berpeluang berkunjung Muzium Warisan Baba Nyonya dan Muzium Budaya Cheng Ho yang terletak berdekatan Jonker Walk pada waktu siang.


JONKER Walk

4. Pasar lambak Lorong Kulit, Pulau Pinang

Terletak di Lorong Kulit, Georgetown, Rope Walk atau pasar lambak Pulau Pinang ini adalah pasar karat terbesar di pulau mutiara yang beroperasi setiap hari seawal jam 8 pagi hingga 3 petang.

Turut menyajikan barangan antik, keperluan dan kelengkapan rumah, pasar karat menjadi tumpuan pelancong tempatan dan asing bukan sekadar mencari koleksi peribadi, bahkan menyaksikan keindahan dan keharmonian masyarakat berbilang bangsa di Malaysia.

Sesak dengan pengunjung, antara barangan yang jarang ditemui yang ada pasar karat ini adalah jam lama, cakera padat, cincin, keris antik, telefon generasi awal, permainan terpakai, setem bahkan haiwan peliharaan seperti ikan.


LORONG Kulit.

5. Pasar lambak Amcorp Mall, Selangor

Penggemar dan pe­ngumpul barangan antik yang ‘pelik’ pastinya menjadikan pasar karat di Amcorp Mall ini satu daripada destinasi wajib kunjung untuk memburu koleksi unik bagi simpanan masing-masing.

Membuka tirainya sejak 1998, tarikan pasar lambak ini masih ‘kuat’ berikutan pelbagai jenis barangan antik dijual merangkumi piring hitam, cakera padat lama, majalah dan buku lama, figura popular dan kraftangan.

Beroperasi pada hujung minggu seawal jam 10 pagi hingga 5 petang, pasar karat popular di Lembah Klang ini mempunyai lebih 300 gerai di empat tingkat kompleks membeli-belah berkenaan. Menerokai setiap gerai, pastinya anda tidak menyedari betapa pantasnya masa berlari.


PASAR lambak Amcorp Mall.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Februari 2019 @ 11:09 AM