JULUNG kalinya tayangan eksklusif filem Pokemon ke-21 di Malaysia. FOTO Nurul Syazana Rose Razman
Aniza Zainudin
anizazainudin@hmetro.com.my

SEMPENA perayaan Tahun Baharu Cina dan seiring dengan penganjuran Festival Pokemon, buat julung kalinya filem ke-21 Pokemon, Pokemon The Movie: The Power of Us ditayangkan secara eksklusif di Resort World Genting hingga 24 Februari nanti.

Filem yang pernah ditayangkan di Jepun pada 13 Julai 2018 ini kini tiba di Malaysia, menjadi satu daripada tarikan pelancong untuk berkunjung ke Resort World Genting di sepanjang musim cuti perayaan yang panjang.

Filem animasi berdurasi 93 minit yang berlatarbelakangkan bandar Fula ini menampilkan ikon legenda Pokemon, Lugia, mitos terbaru Zeraora dan bintang utama, Ash Ketchum bersama teman karibnya, Pikachu.

Penonton bakal dihiburkan dengan keletah dan semangat pengembaraan beberapa watak yang berbeza personaliti saling bekerjasama demi menyelamatkan perayaan Festival Angin tahunan di bandar Fula.

Tiket filem Pokemon The Movie: The Power of Us berharga antara RM12 hingga RM20 bersama waktu tayangan seawal jam 4.30 petang dan 8 malam.

Selain tayangan eksklusif Pokemon The Movie: The Power of Us, pengunjung juga berpeluang melakukan pelbagai aktiviti bertemakan Pokemon sempena penganjuran kali pertama Festival Pokemon Resort World Genting.


SALAH satu tarikan pelancong untuk berkunjung ke Resort World Genting. FOTO Nurul Syazana Rose Razman

Terdapat 32 figura Pokemon bersaiz manusia ditempatkan di sekitar SkyAvenue, jadi pengunjung boleh merakamkan gambar dengan patung animasi popular berkenaan.

Antara aktiviti lain, pengunjung boleh merasai keseronokan apabila melakukan eksplorasi di Pikachu Land, di Skytropolis Fun Land atau melakukan Program Pelatih Pokemon dan menyertai cabaran ‘Pokemon Inflatable’ di Arena of Stars.

Pengumpul barangan Pokemon juga berpeluang untuk mendapatkan koleksi menarik di kedai ‘pop-up’ rasmi Pokemon pertama di Malaysia.

Lebih mengujakan, pengunjung akan dihiburkan dengan perarakan dan persembahan tarian Pikachu di Times Square, SkyAvenue, setiap hari.

Dalam perkembangan lain, Resort World Genting turut melancarkan pembukaan tidak rasmi ruang hiburan dalaman, Skytropolis Funland sejak Disember lalu selepas ia ditutup operasinya selama satu setengah tahun.

Tampil dengan tarikan permainan terbaru, Skytropolis Funland yang beroperasi di empat tingkat diceriakan dengan skrin LED mega di dinding dan siling sekali gus menerangi taman baru itu.


PERARAKAN Pikachu dilakukan pada setiap hari. FOTO Nurul Syazana Rose Razman

Setakat ini, sebanyak 13 permainan sudah beroperasi manakala sembilan lagi dalam masa terdekat.

Memiliki keluasan 400,000 kaki persegi, taman tema dalaman ini turut menampilkan kombinasi permainan fizikal bersama realiti maya, pusat realiti hiper Asia pertama, The VOID, BigTop Video Games Park dan bakal diikuti Imaginatrix.

Timbalan Presiden Kanan Taman Tema Resort World Genting, Brian Machamer berkata, pihaknya sentiasa berusaha merangsang keseronokan pengunjung dengan pengalaman baru di Skytropolis Funland yang boleh dinikmati kanak-kanak, orang dewasa mahupun keluarga.

“Kami melabur lebih RM300 juta untuk membina semula taman tema dalaman baru dan membawakan 15 permainan kegemaran dari taman tema luar sebelum ini dengan mengubahnya kepada rupa yang baru.

“Permainan ini dikekalkan kerana sebahagian besar pengunjung pernah merasainya, oleh itu, kami membawanya kembali kepada saiz yang lebih besar dan baik berbanding sebelumnya seperti Super Glider atau ‘roller coaster’ ‘Superman.’

“Antara tujuh permainan baru diperkenalkan, Power Surge, Disco!, Sky Tower, Spin Crazy, Bumper, Boo Boo Bump, Tea Cup dan Balloon Racem” katanya.

Beliau turut menyasarkan menerima kunjungan lebih 7,000 pelanggan berbayar setiap hari.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Februari 2019 @ 10:42 AM