Zaitie Satibi
zaisa@hmetro.com.my


ISTANA Budaya (IB) di ibu negara dikatakan antara 10 teater paling canggih di dunia, malah menjadi teater pertama di Asia dilengkapi peralatan pentas setanding dengan Royal Albert Hall di London.

Seni binanya juga unik apabila bangunan utamanya berbentuk sirih junjung dan dibahagikan mengikut fungsi berdasarkan rumah Melayu tradisional. Bahagian dalaman IB yang sangat indah dibina daripada marmar Langkawi dan dihias pintu kayu tropika yang memaparkan motif bunga serta daun diukir tangan.

Bagi menghormati seni bina dan nama IB sebagai pentas yang berprestij dan eksklusif, pihak pengurusan menetapkan etika pemakaian serta peraturan yang ketat kepada pengunjung. Tambah lagi, hanya persembahan tertentu saja yang layak dipersembahkan di teater berkenaan.


MOHAMADDIN meletakkan cogan sebagai simbolik perasmian pelancaran Program Istana Budaya 2019.

Tanggal 15 September akan datang, genaplah usia 20 tahun IB yang disempurnakan perasmiannya oleh Tun Dr Mahathir Mohamad ketika penggal kepemimpinannya sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-4.


Ella membuat persembahan di Istana Budaya sempena perasmian pelancaran Program Istana Budaya 2019.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi berkata, dengan mekanisme teknikal pentas antara yang terbaik di Asia pada ketika itu, IB berjaya menarik penganjuran beberapa pementasan bertaraf antarabangsa yang hebat seperti teater muzikal Cats, Fame, Saturday Night Fever dan teater muzikal tempatan yang menerima sambutan luar biasa iaitu Puteri Gunung Ledang.

“Kita sewajarnya amat bersyukur kerana kewujudan IB ini adalah atas keprihatinan Tun Mahathir ke arah mengangkat seni budaya negara, selain usaha kerajaan dalam proses memperkukuhkan pembangunan sektor pelancongan dan kebudayaan.


TEATER muzikal tempatan turut dipersembahkan di Istana Budaya.

“Selepas 20 tahun IB ditubuhkan, pada tahun ini rakyat Malaysia berpeluang menyaksikan pementasan antarabangsa terhebat dunia iaitu muzikal Phantom Of The Opera yang dijadualkan pada 15 Jun ini,” katanya.

Merujuk kepada pencapaian prestasi IB pada tahun lalu, 25 persembahan berlangsung dengan jumlah penonton seramai 90,551 orang. Kutipan jualan tiket pula keseluruhannya mencapai RM3.8 juta ringgit.


KONSERT Duo Lagenda mencatat kutipan tiket tertinggi. FOTO Nurul Syazana Rose Razman.

Konsert Duo Lagenda dibarisi penyanyi Datuk Jamal Abdillah dan komposer lagu, Datuk M Nasir, dikatakan antara konsert artis tempatan yang memberikan kutipan tiket tertinggi bagi 2018 dengan mencatat jumlah RM745,132.

Begitu juga dengan konsert Gergasi 25 Tahun KRU yang mencapai kutipan tiket RM340,839, manakala muzikal Ola Bola pula antara produksi yang paling banyak mendapat tajaan, iaitu tujuh penaja dan syarikat berkenaan turut mendapat potongan cukai pendapatan.

Bagi yang ketinggalan menyaksikan muzikal patriotik Ola Bola, jangan lepaskan peluang anda menonton pementasan ulangan atas permintaan ramai pada 15 Februari ini. Malah, IB juga akan kembali didatangi kumpulan tari tersohor dari Taiwan, Cloudgate yang akan membuat persembahan terbaru mereka berjudul Formosa pada 16 dan 17 Mac ini.

IB juga akan dimeriahkan dengan persembahan artis tempatan menerusi Konsert Retro 70-an pada 1 dan 2 Februari, Konsert Ella pada 29 hingga 31 Mac, Konsert Soul Sisters pada 5 dan 6 April serta Teater Tun Fatimah sempena Hari Kebangsaan, Ogos nanti.


TEATER muzikal Ola Bola yang dipentaskan semula. FOTO Syarafiq Abd Samad.

INFO

Panduan Perjalanan

• Menaiki kereta atau teksi

• IB terletak di Jalan Tun Razak, berdekatan Institut Jantung Negara (IJN)

• Terdapat banyak ruang parkir percuma di sekeliling bangunan IB

• Menaiki bas RapidKL B114, Hop On Hop Off

• Menaiki Transit Aliran Ringan (LRT)

• Monorail Line dan Ampang Line turun di Stesen LRT Titiwangsa

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Februari 2019 @ 10:43 AM