WATAK pengawal keselamatan dengan solekan wajah mengerikan muncul tiba-tiba. FOTO Saddam Yusoff.
PENYAMBUT tetamu dengan pakaian tradisional bagi menggambarkan suasana sebelum merdeka. FOTO Saddam Yusoff.
Zaitie Satibi
zaisa@hmetro.com.my


CABARAN menyelesaikan masalah dalam permainan video berkaitan siri penyiasatan, pengembaraan atau misteri yang menuntut pemain menyelesaikan sesuatu teka-teki pastinya sangat mengujakan.

Lazimnya dalam permainan video itu, kita diberi pilihan watak maya untuk bermain. Namun dalam permainan drama interaktif Hauntu, kita sendiri melakonkan sesuatu watak dan perlu menyelesaikan segala misi dalam masa yang ditetapkan.

Hauntu adalah bentuk permainan baru yang memberikan pengalaman seakan-akan penyiasat atau pakar teka-teki untuk mencari barangan tersembunyi seterusnya melepaskan diri dari ruangan berdasarkan petunjuk yang diberi.

Namun, keunikan Hauntu dibandingkan permainan seumpamanya apabila ia menawarkan pengalaman seram yang mendalam. Hauntu dengan sebutan yang tepat iaitu ‘haunt-you’ adalah gabungan antara persembahan teater dan rumah hantu.

Menariknya, Hauntu diasaskan bersama Johnny Ong dan Cheah Ka Wai bagi menawarkan satu-satunya pengalaman seram pertama di Malaysia apabila pengunjung berpeluang memainkan sendiri peranan watak dalam cerita.

Ong berkata, idea untuk menghasilkan Hauntu tercipta selepas mengenal pasti permintaan rakyat Malaysia terhadap pengalaman baru dan unik semakin berkembang dengan pesat.

“Bukan hanya sekadar rumah hantu, Hauntu mengetengahkan tiga kisah berbeza di satu tempat dikenali sebagai Hotel Colle Eastern. Hotel ini dirangka dengan penuh misteri dan banyak aktiviti paranormal bagi membangkitkan ketakutan yang membuatkan pemain berasa berdebar ketika menyelesaikan masalah atau teka-teki diberi.

“Merangkumi kawasan seluas 650.3 meter persegi (7,000 kaki persegi), Hotel Colle Eastern dibina berasaskan seni bina bangunan kolonial British. Dilengkapi perabot dengan gaya 1950-an, pengunjung tidak hanya memainkan peranan dalam jalan cerita di hotel yang dianggap ‘keras,’ tetapi juga dapat merasai suasana sejak zaman sebelum merdeka,” katanya.


WATAK seram dengan pelakon sebenar berinteraksi dengan pengunjung. FOTO Saddam Yusoff.

Kisah pertama dipaparkan sehingga Mac ini berjudul Pencuri (The Thief) mengisahkan sekumpulan penjenayah digelar Harimao Gang yang merancang ingin mencuri jongkong emas yang dikatakan disorok pemilik Hotel Colle Eastern dalam premis berkenaan.

Pengunjung diberi watak anggota penjenayah yang menyelinap masuk ke hotel itu dengan menyamar sebagai tetamu. Pengunjung akan diberi watak tetamu dengan nama seperti Aminah, Rami, Rajendran, Habsah dan Chong Kiam Yun untuk mendaftar masuk.

Selepas diberi kunci bilik, tetamu akan diarahkan masuk dan bermulalah pengembaraan yang boleh membuatkan bulu roma meremang. Ketakutan pasti dirasai disebabkan pelbagai kesan khas dalam permainan itu.


SUASANA gelap dan cahaya suram menyuntik elemen mendebarkan. FOTO Saddam Yusoff.

Pengunjung juga kekal gelisah kerana dalam pada ingin menyelesaikan misi, mereka tidak tahu watak seram apakah yang akan muncul secara mengejut. Pengunjung juga perlu mencari dengan membuka beberapa kunci yang disediakan sebelum berjaya pergi ke bahagian lain.

Hauntu boleh dimainkan antara lima hingga 10 orang dengan ruangan yang mempunyai kesan bunyi dan pencahayaan suram dalam tempoh masa yang diberikan selama 45 minit. Pengunjung perlu menyelesaikan beberapa teka-teki dengan diganggu oleh watak menyeramkan yang menambahkan lagi kepuasan dalam permainan ini.

Bagi individu yang berani menyahut cabaran, Hauntu pastinya akan memberikan pengalaman unik yang direka khas untuk mereka. Malah, permainan ini juga mampu membentuk kesefahaman antara satu sama lain dalam menyelesaikan sesuatu masalah bersama.

Pengunjung, Afiqah Zulkafly, 26, berkata, permainan drama interaktif ini agak seronok dan berbeza daripada rumah hantu lain berikutan turut menawarkan pengunjung banyak pengalaman seram selain memberi ruang pengunjung berinteraksi dengan watak.

“Permainan dibahagikan kepada tiga cerita berlainan membolehkan pengunjung mencuba watak berbeza setiap kali datang. Watak menyeramkan yang muncul secara tiba-tiba memberikan elemen kejutan yang tidak terhingga.

Seorang lagi pengunjung, Azizul Rahman Ismail, 27, berkata keadaan yang gelap dan sistem bunyi dalam permainan berkenaan mampu membuatkan hati berdebar dan gelisah dalam tempoh 45 minit diberikan.

“Inilah yang menjadikan permainan ini sesuatu yang sangat mengujakan dan amat sesuai dimainkan bersama ahli keluarga dan juga rakan. Bagi mereka yang ingin mencari pengalaman santai baru di hujung minggu mungkin boleh mencuba memasuki Hauntu,” katanya.

INFO

Panduan perjalanan

• Menaiki kereta atau teksi

• Terletak di pusat beli-belah The LINC KL, Jalan Tun Razak

• Menaiki Transit Aliran Ringan (LRT)

• Monorail Line dan Ampang Line, Kelana Jaya Line turun di Stesen LRT Ampang Park

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Februari 2019 @ 10:25 AM