ISTANA KELLIE kini dipenuhi pelancong terutama pada hujung minggu.
Zaitie Satibi
zaisa@hmetro.com.my


BIARPUN tidak sempat disiapkan, Istana Kellie di Batu Gajah, Perak cukup menjadi bukti manifestasi cinta agung seorang suami buat isterinya.

Rumah agam tanpa paku dan besi itu dibina pengusaha ladang dari Scotland William Kellie Smith pada 1915.

Terletak di atas bukit dalam estet getah ketika itu, istana dibina dengan penuh perasaan cinta William kepada isterinya, Agnes dan anak mereka.

Namun, pembinaannya terhenti selepas kematian William pada 1926 akibat dijangkiti radang paru-paru ketika berada di Lisbon, Portugal. Agnes meninggalkan Tanah Melayu dan menjual semua harta mereka termasuk istana itu.

ATAS bumbung istana menjadi lokasi kegemaran untuk bergambar.

Bangunan berusia lebih 100 tahun itu dijadikan satu daripada warisan sejarah yang tidak ternilai khususnya dalam industri pelancongan di Perak.

Malah, kerajaan negeri juga melakukan pelbagai usaha menyelamatkan struktur unik daripada terus rosak dan dipenuhi tumbuhan liar.

Kediaman yang dibina daripada campuran putih telur itik, pasir, kapur, gula merah dan madu serta berkonsep seni bina Moorish itu kini tidak lagi sunyi atau kelihatan menyeramkan selepas dibaik pulih termasuk menyediakan kemudahan untuk pelancong.

PAPAN maklumat sejarah Istana Kellie.

Dua blok bangunan Istana Kellie diberi nafas baru apabila semak-samun dibersihkan dan sampah-sarap dibuang. Malah, satu ruangan dihias lengkap dengan perabot disusun seperti zaman dahulu seolah-olah memberi gambaran suasana dalam istana berkenaan jika berjaya disiapkan.

Setiap bilik juga ditandakan dengan nama tertentu seperti bilik tidur utama, bilik tidur anak lelaki dan anak perempuan, bilik linen, bilik tetamu selain disediakan maklumat mengenai sejarah ruang berkenaan.

BAWA keluarga kunjungi istana lama bersejarah.

Lokasi istana bertambah meriah pada hujung minggu dengan kunjungan pelancong pelbagai peringkat usia yang tidak mahu melepaskan peluang bergambar kenangan di setiap ceruk bangunan. Antara lokasi popular untuk bergambar adalah di atas bumbung istana dan kaki lima balkoni dengan deretan tiang berukir.

Pihak pengurusan turut menyediakan pelbagai kemudahan asas seperti surau, tandas, sudut cenderahati, teater mini dan kafe untuk keselesaan pelancong. Tiket RM5 dikenakan untuk pelancong tempatan, manakala pelancong asing dikenakan bayaran berbeza.

Istana lama yang menyimpan kisah misteri suka dan duka ini sangat mengagumkan untuk diterokai berikutan mempunyai nilai sejarah tersendiri. Jika berkunjung ke Perak, lokasi ini antara destinasi pelancongan yang wajib dilawati sekurang-kurangnya sekali.

ATAS bumbung istana menjadi lokasi kegemaran untuk bergambar.

Panduan perjalanan

• Boleh menggunakan Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) ambil susur keluar ke Plaza Tol Batu Gajah atau Simpang Pulai. Selepas keluar Plaza Tol Simpang Pulai, ambil simpang ke kiri, sekitar tiga kilometer anda akan menemui simpang ke kanan menuju ke Batu Gajah (Kellie’s Castle).

• Jika dari Plaza Tol Batu Gajah, selepas keluar dari plaza tol, ambil ke kanan menuju ke Ipoh dan kira-kira enam kilometer, anda menemui simpang dan belok ke kiri menuju ke Batu Gajah (Kellie’s Castle).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Februari 2019 @ 9:51 AM