SEMPAT bergaya sebelum melawat paya bakau. FOTO Hanim Mohd
Hanim Mohd

KAMI sudah saling mengenali sejak darjah satu hingga tamat persekolahan di Sekolah Rendah Convent Sentul dan Sekolah Menengah Convent Sentul. Banyak juga sesi pertemuan semula berjaya dilaksanakan. Kali ini, kami mengatur untuk bercuti pula. Ya, rombongan Cik Kiah ke Langkawi!

Percutian tiga hari dua malam ini disertai Noorliza Maamun, Fairuz Razali, Hazlin Basrah Hassan Basri, Datin Seri Haliza Samsuri, Norazizan Aziz, Norlin Latif, Roziahanim Mohd Yunus. Anak perempuan Roziahanim, Ameera Amanina Mohd Jrawi dilantik menjadi pemandu semasa di Langkawi. Noorliza mengepalai rombongan kerana berpengalaman dalam bidang kesetiausahaan. Fairuz pula dipilih menjadi bendahari.

Detik pengembaraan kami bermula dari KL Sentral dengan menaiki ETS ke Arau. Bukan senang untuk mengawal sembilan orang yang masing-masing mempunyai tabiat tersendiri. Kecoh juga suasana hening di KL Sentral pada malam itu.

KL Sentral - Arau

Nostalgia zaman kanak-kanak mengimbau kembali apabila mengambil tempat duduk dalam tren kerana kebanyakan ayah kami berkhidmat di Bengkel KTM Sentul. Oleh kerana jumlah ganjil, penulis beralah untuk duduk sendiri. Iri hati juga mendengar rakan yang lain berbisik-bisik diikuti hilai tawa persis remaja lagaknya. Kira-kira jam 5 pagi, kami tiba di Stesen Arau. Kemudahan bilik air dan surau kami gunakan sepenuhnya.


MENIKMATI laksa enak di Jalan Lapangan Terbang. FOTO Hanim Mohd

Kuala Perlis-Langkawi

Hari masih gelap apabila kami menaiki teksi ke Jeti Kuala Perlis. Setibanya di sana, Noorliza membeli tiket feri, manakala yang lain memilih restoran untuk sarapan. Walaupun masih awal, suasana di Jeti Kuala Perlis agak sibuk. Selepas sarapan, hampir dua jam kami menunggu di jeti untuk memulakan perjalanan. Di dalam feri sesetengah dari kami mengambil peluang untuk melelapkan mata manakala yang lain tidak habis-habis berbual selama dua jam perjalanan feri itu.

Kuah - Pantai Cenang

Di Jeti Kuah, cabaran pertama terjadi. Terdapat kekeliruan pada tempahan kereta yang dibuat dari Kuala Lumpur. Selepas agak lama berurusan di telefon, kami membuat tempahan baharu. Jenis kenderaan yang kami pesan pula tiada dan terpaksa akur dengan apa yang ada.

Walaupun agak awal untuk makan tengah hari, kami singgah juga di sebuah gerai di pekan Kuah yang menyajikan pelbagai lauk-pauk dan ulam-ulaman. Norlin, yang juga pengusaha restoran berbisik pada penulis untuk mencuba ulam daun cemumak. Kombinasi ulam daun cemumak bersama sambal belacan, ikan bakar dan nasi panas sangat menyelerakan. Lupa sejenak ‘drama’ di jeti sebentar tadi.


BERSAMA rakan sekolah di depan hotel penginapan. FOTO Hanim Mohd

Usai makan tengah hari, kami lintas di Kompleks Haji Ismail. Bagai dipanggil, kami terus singgah dan memborong coklat. Sedang asyik membeli-belah tiba-tiba pintu kedai mula ditutup. Rupanya kedai ditutup untuk solat Jumaat. Dengan berat hati, kami beransur ke hotel penginapan di Pantai Cenang yang jaraknya 23 kilometer dari Pekan Kuah.

Setibanya di hotel, kami menunggu lagi kerana tiga bilik yang ditempah belum siap dikemas. Agak menguji kesabaran juga peristiwa hari ini. Selepas berehat sebentar, kami berkumpul di sebuah bilik dan berborak sambil menghabiskan lebihan bekalan makanan yang dibawa. Suasana di dalam bilik itu tidak ubah seperti semasa di bilik darjah pada zaman persekolahan dahulu.

Sebelum penghuni di bilik sebelah membuat aduan bising, kami membuat keputusan menikmati laksa di Jalan Lapangan Terbang. Lokasi gerai laksa di tepi pantai itu sangat indah terutama ketika matahari terbenam.


SENJA indah di gerai laksa. FOTO Hanim Mohd

Pakej Paya Bakau dan Sesi Bergambar

Esoknya selepas sarapan, kami menyertai Pakej Paya Bakau. Caj yang dikenakan adalah RM200 untuk satu bot. Sebenarnya sepanjang berada di atas bot, hati kami berdegup kencang. Ada yang menjerit, ada yang mulut terkumat-kamit membaca doa apabila pemandu bot membuat pusingan mengejut dan keadaan menjadi sunyi sepi kala pemandu bot dengan cekapnya mengemudi bot di gua sempit yang muat untuk sebuah bot sahaja.

Bot kami menyusuri sungai hingga ke Laut Andaman. Kami dibawa melihat burung helang makan, menyusuri sungai dan hutan bakau Geopark Kilim dan paling mengujakan ketika bot diberhentikan di perkampungan monyet. Kami terkejut apabila seekor monyet melompat ke bot untuk meminta makanan. Perhentian terakhir ialah melawat sangkar ikan di laut.


BERGAYA ala peragawati di Telaga Harbour Marina. FOTO Hanim Mohd

Acara seterusnya ialah sesi bergambar. Telaga Harbour Marina menjadi lokasi pilihan. Kami balik semula ke hotel kerana hampir masuk waktu Zuhur. Noorliza meminta kami mengenakan tudung keluaran anak gadisnya yang juga seorang selebriti. Bak peragawati, kami beraksi di sekitar lokasi indah ini sehingga terlewat untuk makan tengah hari dan ada di antara kami yang diserang gastrik.

Untuk makan malam pula, kami sukar mencapai kata sepakat memilih restoran. Akhirnya, restoran yang dikunjungi tidak berapa memberangsangkan. Bagai menambah garam di luka, hujan turun dengan lebatnya dalam perjalanan pulang ke hotel. Rancangan untuk berjalan di pantai terpaksa dibatalkan.

Kami pulang dengan membawa seribu macam kenangan. Penulis pernah terbaca percutian dapat menguji kekuatan sebuah persahabatan. Walaupun tidak semua perkara berjalan seperti dirancang, yang penting kami dapat meluangkan masa bersama dengan harapan dapat mengeratkan silaturahim. Mungkin selepas ini, boleh merangka percutian ke luar negara pula!

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 January 2019 @ 12:55 PM