DI Masjid Gua Musang sebelum meneruskan penjelajahan Kayuhan Jelajah Barat-Timur Semenanjung. FOTO Muhd Azizul Hakim
Nor ‘Asyikin Mat Hayin
asyikin.mat@hmetro.com.my

BERMANDIKAN peluh dan berpanas di bawah terik mentari semata-mata kerana kayuhan basikal jarak jauh yang mencecah ratusan kilometer (km) sehingga berhari-hari lamanya.

Hanya mereka yang mempunyai ‘kegilaan’ terhadap aktiviti berbasikal sebegitu sahaja yang sanggup melalui ‘penderitaan’ itu demi memenuhi hobi.

Itu yang dilakukan lima sahabat menerusi Kayuhan Jelajah Barat-Timur Semenanjung, baru-baru ini sekali gus menggambarkan jiwa kental mereka.

Sudah tentu ia satu pencapaian membanggakan kerana menjelajah dengan menaiki basikal sejauh 560km yang bermula di Teluk Intan (Perak), Cameron Highlands (Pahang), Lojing, Gua Musang dan Felda Aring (Kelantan), Tasik Kenyir dan berakhir di Kuala Terengganu, Terengganu.

Penjelajahan itu sememangnya mencabar bukan kerana jarak jauh, tetapi trek kayuhan yang bukan pilihan kebanyakan pengayuh lain.


MENGEMAS barang sebelum memulakan kayuhan. FOTO Muhd Azizul Hakim

Kelab The Pedal Musafir memilih laluan kampung dan denai di kawasan pedalaman kerana ingin mencipta kelainan selain pada masa sama mahu meneroka tempat baru yang memiliki keistimewaan tersendiri.

Lebih menarik sepanjang penjelajahan itu pengayuh disajikan pemandangan yang cukup indah dan mempesonakan. Bagaikan berbicara dengan alam!

Mohd Azizul Hakim Ab Aziz , 33, berkata, Kayuhan Jelajah Barat-Timur Semenanjung itu adalah yang kedua dilakukan kelab berkenaan selepas kayuhan sejauh 360km dari Kuala Lipis ke Kuantan, Pahang melalui jalan Sungai Pahang pada Februari lalu.

“Kami mengadakan aktiviti sebegini dua atau tiga kali setahun. Tetapi untuk rekod, dua kayuhan terbabit adalah jarak yang paling jauh kami lakukan.

“Kayuhan Jelajah Barat-Timur Semenanjung ini adalah aktiviti rekreasi sambil beramal kerana turut menghulurkan sumbangan di surau dan masjid yang kami singgah,” katanya.

Katanya, antara risiko berbasikal jarak jauh adalah berdepan dengan masalah dehidrasi disebabkan cuaca panas. Malah beliau sendiri turut mengalami perkara itu setiap kali menjelang tengahari.


SINGGAH makan di warung tepi jalan. FOTO Muhd Azizul Hakim

“Apabila kepala pening (tanda dehidrasi), saya dan kumpulan segera mencari tempat berteduh seperti surau atau masjid.

“Amat bahaya jika kami meneruskan kayuhan sekiranya tanda seperti ini sudah ada kerana boleh terjadinya masalah strok haba,” katanya selain menambah aspek penjagaan kesihatan pengayuh perlu diutamakan sebelum menyertai aktiviti seperti itu.

Menurutnya, antara pengalaman manis ialah keprihatinan penduduk kampung di Felda Aring yang membantu ketika berhadapan masalah tayar basikal pancit.

“Mereka menghantar saya ke sebuah bengkel basikal kampung itu tetapi malangnya tidak menemui saiz tayar yang bersesuaian. Ini kerana basikal saya adalah jenis ‘Mountain Bike Scott Spark’ dan saiznya tayar pula lebih besar berbanding basikal lain.


BERHENTI rehat di tepi jalan. FOTO Muhd Azizul Hakim

“Pada mulanya agak buntu tetapi entah bagaimana, tiba-tiba pemilik kedai terjumpa tayar basikal lama dan ia bersesuaian dengan tayar basikal saya. Sememangnya dipermudahkan segala-galanya,” katanya.

Katanya. aktiviti kayuhan secara berkumpulan itu sebenarnya mendidik setiap ahli saling bekerjasama terutama apabila berhadapan dengan situasi yang tidak dijangka.

“Setiap pengayuh perlu mempunyai pengetahuan asas berkenaan basikal. Dalam kumpulan kami ada seorang ahli berpengalaman dalam aktiviti kayuhan dan dia menjadi tempat rujukan kami,” katanya.

Katanya, aktiviti itu bukan sahaja membuka peluang kepada mereka untuk mendampingi keindahan alam tetapi melihat perbezaan cara hidup masyarakat di setiap lokasi persinggahan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 January 2019 @ 12:16 PM