NAIK warna bangunan dirakam menerusi foto. FOTO Mohd Adnan Lansa & Khairul Liza Zamri
Nurul Husna Mahmud
nurul_husna@hmetro.com.my

SEBAIK saja kaki menjejak ke Bandar Agacia atau dikenali sebagai ‘The Trails of Kampar’ yang terletak 15 minit dari bandar Kampar, Perak penulis seolah-olah terbang ke satu daerah lain.

Deretan bangunan kedai tiga tingkat yang dicat dengan kombinasi pelbagai warna pastel menyerupai bangunan yang sering dilihat dalam taman tema keluarga tersohor di dunia, Disney mahupun deretan kedai di bandar Eropah.

Destinasi ini pastinya menjadi tarikan buat mereka yang gemar berangan-angan mahupun mengemas kini status di laman sosial dengan gaya pakaian hari ini atau ‘OOTD.’

Melihat rekaan setiap bangunan mempunyai perincian berbeza menunjukkan pemaju bandar berkenaan mengambil pendekatan serius dalam mereka bentuk ruang landskapnya. Tampil dengan konsep vila resort yang unik dan ceria berdasarkan idea kartun animasi serta fantasi terutama di ‘University Square Kampar.’


MIRIP ‘The Trails of Redmond’. FOTO Mohd Adnan Lansa & Khairul Liza Zamri

Malah, tidak keterlaluan pemaju mengambil inspirasi daripada ‘The Trails of Redmond’ iaitu satu bandar di Washington, Amerika Syarikat berdasarkan sejarah lokasi berkenaan dulunya bekas daripada tapak tasik terbentuk hasil tinggalan aktiviti perlombongan biji timah yang pesat satu ketika dulu.

Lokasi itu turut menempatkan beberapa kafe dimajukan orang tempatan termasuk pemilik Kampar Street Kafe, Khairul Liza Zamri dan pasangannya, Mahanum Wahid.

Menurut Khairul, sejak dia mulakan perniagaan kafe dua tahun lalu, lokasi berkenaan lebih popular dalam kalangan orang luar berbanding penduduk tempatan.

“Saya sendiri ketika mula-mula mengetahui berkenaan bandar baru ini daripada adik yang tinggal di Langkawi.

“Ketika itu, saya berkhidmat di Tapah tidak begitu pasti dengan keadaan di sini sehinggalah sendiri turun dan membuka kafe kerana tertarik dengan reka bentuk bangunan berwarna-warni ini.


KEMERIAHAN bazar malam di Bandar Agacia. FOTO Mohd Adnan Lansa & Khairul Liza Zamri

“Bentuknya tidak ubah seperti bangunan dalam taman tema. Tahun pertama ketika saya dan komuniti peniaga di sini mendapati kebanyakan premis mengambil nama animasi popular.

“Tetapi kini kebanyakan kami sudah menukar nama premis kerana mahu ia sinonim dengan bandar atau daerah setempat,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Persatuan Peniaga di situ, berkata, dia bersama rakan peniaga lain mengambil inisiatif termasuk menganjurkan bazar pada hujung minggu.

“Menyedari hanya orang luar yang menikmati suasana di bandar ini selain penuntut institut berhampiran, saya dan rakan membuka peluang kepada orang luar berniaga dalam bazar jalanan.


PERSEMBAHAN busker. FOTO Mohd Adnan Lansa & Khairul Liza Zamri

“Sejak itu, bandar ini bukan saja mendapat kunjungan orang luar, malah penduduk tempatan mula menyedari kewujudan bandar ini sekali gus menghidupkan suasana di bandar ini,” katanya.

Khairul turut berharap, perancangan pemaju untuk pembinaan struktur menyerupai reka bentuk istana lama di Eropah berjaya disiapkan pertengahan tahun ini.

“Perancangan pemaju ialah membina struktur seperti istana sering dilihat dalam watak animasi popular luar negara di pintu utama dijangka menjadi penarik lebih ramai orang berkunjung kawasan ini.

“Tambah pula dijangka kemudahan seperti stesen bas, balai polis, bomba dan rumah PRIMA akan selesai pada pertengahan tahun ini membuatkan ia lebih meriah,” katanya.

Kawasan ini sering didatangi pelancong dari Jepun, Korea, China dan Eropah kerana lokasi berkenaan hampir dengan institusi pengajian swasta termasuk sekolah antarabangsa.


SESUAI untuk rakaman foto perkahwinan. FOTO Mohd Adnan Lansa & Khairul Liza Zamri

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 January 2019 @ 11:54 AM