MENIKMATI minuman popular.
Nurul Husna Mahmud
nurul_husna@hmetro.com.my

Golek tetap golek. Tersenyum penulis mendengar ayat ini. Mulanya tertanya juga apa yang dimaksudkan dengan perkataan golek itu, terbayang juga hidangan ayam atau kambing golek. Namun bayangan itu jauh tersasar kerana ia adalah ayat yang memberi isyarat kepada peserta kelab ‘abang motorsikal besar’ untuk memulakan ekspedisi!

Meskipun pelepasan peserta konvoi Jelajah Melaka yang berlepas dari Harley Davidson Petaling Jaya, Selangor dirintangi hujan lebat, 20 jentera terdiri daripada pelbagai model motosikal berkuasa tinggi tetap meneruskan perjalanan tepat pada jam 3 petang.

Jelajah Melaka yang pertama kali diadakan anjuran Kelab Motosikal Fast Bike bersama wakil tuan rumah jelajah kali ini iaitu Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan Negeri Melaka turut disokong Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) dalam menjayakan program tiga hari dua malam melawat tarikan sekitar negeri itu.

Paling menarik perhatian penulis berkenaan kelab ‘abang motorsikal besar’ apabila dipengerusikan wanita hebat iaitu Fadzlaini Ibrahim yang lebih popular dengan panggilan DJ Ninie selain turut mengetuai kumpulan rombongan itu.


AKSI lucu peserta berkain batik.

Kata Fadzlaini, persiapan untuk acara itu singkat hanya dalam tempoh dua minggu sebelum konvoi bermula namun tidak menghalang penyertaan legasi dari dua negara jiran iaitu Singapura dan Thailand.

“Selaku ‘duta’ kecil yang mewakili delegasi tuan rumah iaitu Jabatan Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan Negeri Melaka, kami berharap atur cara disediakan untuk peserta memberi gambaran berkenaan keindahan, keunikan serta kemesraan masyarakat negeri ini.

“Setiap aktiviti yang saya rancangkan dengan Jawatankuasa Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan Negeri Melaka bersama GPMS mempunyai garapan jiwa serta hidup masyarakat setempat yang begitu dekat dengan sejarah negerinya.

“Jika diteliti setiap program bermula dengan lokasi penginapan, Hotel Mudzaffar dan peserta boleh berpeluang melihat sendiri uniknya tarikan pelancongan negeri ini. Daripada tatarias hotel ini saja peserta dapat merasai elemen warisan apabila memaparkan perincian pemerintahan Kesultanan Melayu zaman dulu.


MENIKMATI pemandangan sekitar Melaka dari Menara Taming Sari.

“Selain itu tarikan lain ialah makanan tradisi asam pedas dan sajian hipster yang tular seperti Coconut Shakes Original di Klebang turut menjadi persinggahan peserta konvoi kali ini,” katanya.

Kata Fadzlaini, sesuai dengan objektif penganjuran jelajah berkenaan yang bertujuan mempromosi Tahun Melawat Melaka (TMM) 2019, peserta disajikan panorama sekitar bandar bersejarah itu menerusi aktiviti menaiki Menara Taming Sari dan Malacca River Cruise.

“Melaka maju selangkah ke hadapan apabila tampilkan kelainan dalam mempromosi Tahun Melawat Melaka 2019 menerusi deruman motosikal berkuasa besar.

“Wakil Exco Pelancongan Negeri Melaka sendiri mahukan bunyi deruman enjin motosikal memenuhi segenap negeri sebagai tanda Tahun Melawat Melaka 2019 ini akan berlangsung penuh meriah sepanjang tahun.

“Namun begitu sebalik kemeriahan dan keseronokan berkonvoi motosikal sekeliling negeri ini, kami tidak mengabaikan aspek keselamatan apabila setiap peserta ditekankan mematuhi peraturan konvoi sedia diiringi marshal bertauliah dari Kuala Lumpur. Selain diperkemaskan dengan anggota unik trafik Polis Diraja Malaysia,” katanya.


AKSI peserta ketika sukan rakyat.

Lawatan ini juga tidak lupa ‘merakyatkan’ peserta daripada dua negara selain Malaysia menerusi pelbagai slot bersama masyarakat setempat termasuk sukan rakyat dan acara gotong-royong masjid tertua di kawasan DUN Rembia, Masjid Lama Kampung Rumbia.

Wakil dari Singapura, Abu Hassan Hasbi berkata, istimewanya pengalaman konvoi kali ini ialah peluang merasai keseronokan ketika menyertai pelbagai acara dalam sukan rakyat.

“Dalam banyak-banyak aktiviti disertai, sukan rakyat seperti acara tarik upih pinang, boling buah kelapa, tiup tepung dan bola sepak tujuh sebelah yang mengenakan syarat setiap pemain perlu berkain batik sambil menendang bola juga daripada buah kelapa antara paling menyeronokkan.

“Detik itu mengimbau kembali nostalgia zaman kanak-kanak dan semestinya mengubat kerinduan saya kepada suasana ketika itu. Lebih membuatkan detik itu istimewa ialah sikap muhibah dan kemesraan penduduk kampung serta rakan motosikal meraikan acara itu.

“Pada saya hadiah atau kemenangan bukan perkara penting di sini tetapi kenangan manis bersama setiap orang yang saya temui adalah ‘buah tangan’ terbaik untuk dibawa pulang ke Singapura.

“Tentu saja saya akan kembali ke Melaka selain menikmati sajian tempatan yang enak,” katanya.

Bagi peserta dari Thailand, Somphorn atau lebih dikenali dengan Abe Din dalam komuniti motosikal berkenaan menyifatkan pengalaman menaiki bot menyusuri sungai Melaka paling menarik.

“Rasa macam ‘VIP’ pula apabila dibawa melawat dengan menaiki bot untuk menikmati pemandangan Melaka pada malam hari. Bukan saja setiap bangunan cantik dengan hiasan lampu malah reka bentuk bangunan seperti yang sering dilihat di Eropah sedikit sebanyak menceritakan sejarah negeri itu pernah dijajah.

“Pernah juga saya datang ke Melaka untuk bercuti tetapi konvoi ini lain pengalamannya. Kalau ada jemputan sebegini tentu saja kami kelab dari Thailand turun memberi sokongan,” katanya.

Mengenai hidangan tradisi tempatan kata Somphorn, dia dan rakan sangat menyukai hidangan asam pedas kerana sajian itu memenuhi selera mereka.


PESERTA terpaksa menempuh hujan ketika berlepas.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 January 2019 @ 5:30 AM