HOS komuniti terdiri daripada anak tempatan. FOTO Khairul Azhar Ahmad
Aniza Zainudin
anizazainudin@hmetro.com.my

Mengadaptasi trend pelancongan global menjurus kepada perkhidmatan hos komuniti, Tourism Selangor dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya buat julung kalinya memperkenalkan program Latihan Hos Komuniti Selangor 2018 buat anak muda dari tiga daerah.

Kursus berperingkat bermula Mac tahun lalu menggunakan pendekatan pengurusan penyampaian pelancongan asas komuniti dengan penyertaan anak tempatan.

Program ini diadakan bagi melatih dan mengiktiraf hos komuniti yang bertindak sebagai pengumpul dan penyampai penceritaan mengenai tempat, warisan dan budaya setempat kepada pelancong yang berkunjung ke daerah berkenaan.

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkata, duta kecil ini memikul peranan besar dalam memberi gambaran imej sebenar Selangor sebagai destinasi pelancongan yang perlu dikunjungi.

“Program khas ini bertujuan melatih dan mengiktiraf hos komuniti setempat dan ia dilihat mampu menyediakan peluang pekerjaan serta sumber ekonomi kepada belia tempatan, terutama yang menganggur.

“Selain itu, program ini juga dilihat sebagai platform menjadikan budaya dan warisan setempat sebagai produk pelancongan yang mampan, seterusnya menggalakkan komuniti untuk memelihara khazanah berkenaan.

“Bagi mencapai sasaran 7.5 juta pelancong, 2018 menyaksikan kejayaan Tourism Selangor dalam mempelopori usaha membangunkan pelancongan berasaskan komuniti daerah.

“Oleh itu, pada 2019, Kerajaan Selangor memperuntukkan RM400,000 bagi meneruskan aktiviti pembangunan hos komuniti setempat di tiga daerah lagi iaitu Hulu Selangor, Hulu Langat dan Kuala Langat.

“Perkhidmatan hos komuniti menjadi trend global bagi sektor pelancongan. Malah negara di Eropah seperti Perancis dan Itali turut tampil dengan program seperti ‘Tour by Locals’ manakala Thailand pula sememangnya terkenal dengan pakej komuniti.

“Peranan pemandu pelancong bukan sekadar berkongsi budaya, kehidupan, kepelbagaian kaum, kemudahan, variasi makanan dan tradisi kepada pengunjung, bahkan bertindak sebagai jambatan menjalinkan rakyat dan negara.

“Industri pelancongan memerlukan individu yang mampu memberi layanan dan hospitaliti terbaik buat pelancong,” katanya sempena Majlis Graduasi Hos Komuniti Selangor 2018, baru-baru ini.

Seramai 21 pemandu pelancong dan hos komuniti dari Sabak Bernam, Kuala Selangor dan Klang menamatkan kursus dan bakal memulakan tugas di daerah masing-masing.

Peserta, Amira Rasyidah Jamil, 24, berkata, program Hos Komuniti Selangor perlu diteruskan pada masa depan kerana ia dapat mempromosikan destinasi pelancongan tempatan yang menarik.


AMIRA menyampaikan penerangan. FOTO Khairul Azhar Ahmad

“Sebagai anak jati berasal dari Sabak Bernam, saya gembira kerana dapat berkongsi keunikan yang ada di tempat kelahiran yang mungkin tidak diketahui pelancong tempatan sebelum ini.

“Selain dapat mempertingkatkan ekonomi komuniti setempat menerusi pelancongan, saya bersama rakan hos lain turut mempelajari warisan tempatan yang kian pudar dalam kehidupan kita hari ini.

“Antara tarikan yang cuba kami perkenalkan termasuk kelip-kelip biru di pantai Sungai Burung, memikat burung merbuk, gasing pangkah dan Kuda Kepang Macan Putih.

“Trend hari ini turut mempengaruhi konsep pelancongan. Jika dulu, kami lebih fokus untuk melawat destinasi menarik, namun kini, pelancong lebih suka mempelajari, merasai pengalaman sambil berseronok.

“Menerusi promosi tarikan unik di kawasan tempatan, pelancong pasti teruja untuk berkunjung dan menikmati pengalaman berbeza,” katanya yang turut memiliki lesen sebagai pemandu pelancong bandar dan alam semula jadi.

Sementara itu, peserta dari Kuala Selangor, Masbudi Abdul Malek, mengakui inisiatif hos komuniti dapat memartabatkan tarikan warisan di destinasi pelancongan sedia ada yang mungkin kurang dipelopori.

Katanya, program seperti ini membuka peluang kepada anak muda untuk menjana pendapatan di tempat kelahiran sendiri berbanding keluar ke bandar mencari pekerjaan lain.

Ujarnya, hos komuniti terdiri daripada anak tempatan yang memainkan peranan sebagai pemandu pelancong dilihat bertepatan kerana generasi muda ini lebih terdedah dengan tarikan di tempat asal mereka.


SERAMAI 21 hos komuniti berjaya menamatkan program. FOTO Khairul Azhar Ahmad

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 January 2019 @ 11:25 AM