BIJAK mengemas bagasi boleh menjimatkan ruang dan bilangan beg dibawa.
Susunan Aniza Zainudin
anizazainudin@hmetro.com.my

Merancang percutian sentiasa memberi keseronokan terutama ketika memilih destinasi tujuan, tarikh bersesuaian, tempoh bercuti, merangka pengangkutan bakal digunakan bahkan hotel bersesuaian dengan bajet tersendiri.

Apabila tiba saatnya, proses mengemas bagasi antara satu rutin yang agak menyulitkan apatah lagi percutian dirancang mengambil masa panjang serta membabitkan beberapa lokasi jarak jauh.

Seboleh-bolehnya, anda pasti menginginkan bebanan yang dipikul lebih ringan serta dalam kuantiti minimum. Berikut antara panduan yang boleh dimanfaatkan sekali gus menjimatkan ruang bagasi serta mengurangkan bilangan beg yang dibawa.

1. Senaraikan baju mengikut hari

Sekiranya tempoh percutian memakan masa agak panjang, sebaiknya anda menyenaraikan pakaian mengikut hari berada di destinasi berkenaan. Merancang pakaian ingin digayakan dapat mengelakkan fikiran yang berserabut untuk memuatkan pakaian tidak diperlukan.

2. Gunakan pakaian sama pada hari berbeza

Anda juga boleh menjimatkan ruang bagasi sekiranya menggunakan pakaian sama untuk dua hari berlainan.

Teknologi hari ini sungguh mudah kerana terdapat lambakan kedai dobi layan diri yang boleh anda manfaatkan sepanjang bercuti.

Jika gusar mengenai gaya pakaian hari ini, anda masih boleh menggayakan baju bersama tudung, topi mahupun aksesori berlainan menggunakan konsep suai padan.

3. Kaedah penyimpanan baju

Kaedah menggulung pakaian antara teknik popular, ia bukan sahaja menjimatkan ruang bahkan mengurangkan kadar kedutan pada busana anda.

Selain teknik menggulung, beg vakum turut berguna untuk memastikan beg anda mampu memuatkan semua keperluan ketika bercuti.

Beg vakum ini boleh menyimpan pakaian besar dan tebal seperti jaket musim sejuk, pakaian kanak-kanak mahupun tuala. Ia juga boleh digunakan untuk menyimpan pakaian kotor nanti.

Penggunaan beg kecil yang mengasingkan jenis barangan juga mampu membantu anda mengemaskan bagasi dengan bijak.

4. Prinsip piramid ketika memasukkan barang

Letakkan pakaian besar seperti seluar atau skirt di bahagian bawah beg yang turut berfungsi sebagai ‘tapak’ untuk pakaian lain.

Kemudian anda meletakkan pakaian tidak mudah berkedut, diikuti dengan pakaian mudah kedut dan diakhiri dengan barangan kosmetik dan aksesori di bahagian atas.

Ini bukan sahaja membuatkan beg anda lebih ringan dan tersusun, bahkan dapat menjimatkan masa anda daripada menggosok pakaian ketika bercuti kelak.

5. Bawa barangan kosmetik bersaiz kecil

Bagi pelancong wanita, produk penjagaan diri mahupun kosmetik antara barangan wajib termasuk ketika bercuti.

Disarankan anda membawa barangan penjagaan diri bersaiz sederhana dan kecil mencukupi keperluan sepanjang bercuti.

Jika tiada, anda juga boleh membeli botol kembara bersaiz kecil untuk mengisi produk penjagaan diri anda.

6. Bawa ubatan diperlukan

Berada di luar negara terutamanya, anda disarankan membawa ubatan penting dalam situasi kecemasan seperti ubat tahan sakit, tahan muntah dan sakit perut.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 January 2019 @ 11:15 AM