SERAMAI 16 peserta wanita menyertai Kembara Samudera Utara. FOTO E-mel
Nor ‘Asyikin Mat Hayin
asyikin.mat@hmetro.com.my


BERKAYAK di laut bergelora dan beralun tinggi sememangnya sentiasa menjadi ‘buruan’ peminat tegar sukan lasak air kerana mahu mencabar keupayaan diri serta merasai cabaran yang berbeza.

Pastinya hanya mereka yang berjiwa kental sanggup mengharungi cabaran itu biarpun menyedari risiko menanti.

Sebagaimana kata pepatah Melayu, ‘jika takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai’. Begitulah keberanian luar biasa dimiliki pemain kayak laut!

Permainan sukan itu bukan saja menuntut pemainnya memiliki kekuatan mental dan fizikal yang tinggi tetapi juga perlu bijak mengemudi kayak terutama apabila dipukul ombak kerana jika tersilap langkah boleh menyebabkan kayak terbalik.

Dalam situasi begini sudah tentunya akan membuatkan adrenalina pemain memuncak, bagaimanapun aktiviti sukan lasak air itu tetap mempunyai peminatnya yang tersendiri.

Begitu juga dengan 36 ahli Kelab Rekreasi UiTM Malaysia (Kresma) yang terdiri daripada 20 lelaki dan 16 perempuan menyahut cabaran bermain ombak di tengah laut dengan menganjurkan Kembara Samudera Utara (Kesura) 2018, baru-baru ini.

Aktiviti berkayak sejauh 110 kilometer (km) itu merentasi Lautan Andaman bermula dari Kampung Tanjung Huma (Pulau Pinang), Pantai Teluk Nipah (Kedah), Pulau Songsong (Kedah) dan berakhir di Jeti Kuala Kedah (Kedah).

Kembara selama empat hari itu berlangsung dengan warna-warni yang menguji kesabaran peserta. Jika tidak mempunyai hati yang ‘kering’ berkemungkinan ada yang ‘angkat kaki’ daripada meneruskan cabaran berkenaan.

Pengerusi Kresma Muhammad Farid Faiz Maslan berkata, pasukan kembara terbabit berhadapan cabaran apabila dua daripada 14 kayak mereka terbalik akibat dipukul ombak setinggi dua meter (m).

Katanya, kejadian berlaku apabila sebuah feri besar berlayar merentasi laluan feri antarabangsa yang pada masa itu kumpulan kayak berkenaan berada di laluan terbabit.

“Kami tidak menyangka ia boleh mencetuskan ombak setinggi itu yang menyebabkan keadaan huru-hara kerana masing-masing panik selain bertungkus-lumus mengawal kayak daripada terbalik.

“Ketika itu suasana di laut gelap kerana hari sudah malam dan kami agak sukar mengawal keadaan. Namun kami bersyukur kerana ketangkasan peserta dapat mengelakkan kejadian tidak diingini daripada berlaku,” katanya.

Muhammad Farid Faiz berkata, ketika itu mereka semakin menghampiri jeti Kuala Kedah pada jarak kira-kira 500m dan kejadian berkenaan menjadi pengalaman yang tidak dilupakan peserta.

Menurutnya, sebagai persediaan untuk aktiviti berkenaan peserta menjalani latihan selama dua minggu dengan melakukan dayungan kayak sebanyak 10 pusingan di tasik yang membabitkan jarak sejauh 20km.

“Latihan ini bertujuan meningkatkan stamina dan ketahanan peserta kerana berkayak di laut jauh berbeza dengan di tasik atau sungai.

“Berkayak di sungai lebih mudah kerana pergerakan mengikut arus air. Sebaliknya di laut pula perlu melawan ombak selain tangan perlu sentiasa mendayung kerana jika tidak, ombak akan menolak kayak ke belakang,” katanya.

Katanya, berkayak di lautan yang terbuka luas dengan cabaran cuaca panas dan gelora ombak benar-benar menguji ketahanan mental peserta kerana ia boleh membuatkan peserta mengalami mabuk laut.

“Walaupun sudah makan ubat, ia tidak mampu mencegah daripada mabuk laut dek penangan pukulan ombak.

“Biarpun dalam keadaan yang kurang sihat, mereka masih mampu menamatkan dayungan kayak hingga akhir,” katanya.

Peserta, Mohammad Azri Mohd Suhaime, 23, berkata, aktiviti kayak laut begitu menyeronokkan kerana memberikan pengalaman dan kepuasan tersendiri.

“Program ini (Kembara Samudera Utara) adalah aktiviti kayak laut kedua yang saya sertai ternyata mempunyai kelainan kerana bermain kayak di tengah laut.

“Keadaan air laut sukar dijangka kerana jika dilihat pada mata kasar kelihatan seperti tenang tetapi tidak pada hakikatnya,” katanya.

Katanya, apabila ombak datang akan memaksa jurumudi mengerahkan kudrat untuk melawan ombak berkenaan bagi mengelakkan kayak ke belakang atau hanyut.

“Setiap pemain kayak mesti memiliki tahap stamina yang tinggi, daya ketahanan dan teknik mengendalikan permainan terbabit.

“Elemen ini penting apabila berhadapan dengan situasi tidak dijangka. Pemain kayak tidak semestinya pandai berenang tetapi jangan panik apabila dalam air,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Disember 2018 @ 8:30 AM