PENGUNJUNG dapat belajar membina orang salji dan pokok Krismas tersendiri.

SUASANA musim salji yang indah mungkin tidak akan kita rasai di negara beriklim tropika seperti di Malaysia. Bagi yang tidak pernah merasai suasana turunnya salji, kini peluang anda tersedia di depan mata.

Tidak perlu mengembara jauh ke luar negara semata-mata mahu melihat salji dan suasana musim itu, kini nun di selatan tanah air anda boleh ‘rasai’ keterujaan saat salji turun yang jarang dapat dirasai di negara kita.

Legoland Malaysia Resort membawa musim sejuk ke Malaysia menerusi musim percutian ‘Brick-Tacular’ dan menyediakan pelbagai kejutan manis yang menarik setiap hari sepanjang Disember.

Tahun ini, taman tema di Nusajaya, Johor itu membawa salji sebenar ke Malaysia bagi memberikan pengalaman musim sejuk penuh keajaiban.

Setiap 30 minit, pengunjung dapat menyaksikan salji turun di depan Big Shop, sekali gus menjadikannya sambutan yang paling unik di Malaysia sempena musim perayaan ini.

Selain itu, pengunjung juga dapat mengalami pengalaman artik di seluruh taman tema termasuk bar aiskrim iglu yang pertama di Malaysia.

Di situ, pengunjung juga dapat menikmati snek sejuk dan melihat rusa kutub LEGO serta makhluk mitos elf yang menakjubkan.

Pengurus Besar Legoland Malaysia Resort Kurt Stocks berkata, bulan ini cukup istimewa buat pihaknya di taman tema itu dengan membawakan percutian Brick-Tacular sebagai penutup 2018.


KURT (empat dari kanan) dan Liow (lima dari kanan) di depan pokok Krismas LEGO Duplo tertinggi di Asia Tenggara.

Katanya, taman tema itu bertukar menjadi satu alam salji ajaib dan penuh warna-warni, sekali gus membolehkan ibu bapa dan kanak-kanak mengalami musim perayaan yang unik ketika musim percutian sekolah hujung tahun.

“Bagi meraikan semangat berkongsi dan saling memberi, kami mendengar semua maklum balas dari pelanggan sepanjang tahun serta membuat pelbagai peningkatan penting di taman tema kami.

“Kami menaik taraf bahagian Build and Test (Bina dan Uji) dengan sebuah litar perlumbaan baru, di samping menyediakan lebih kawasan teduh serta kipas besar untuk menjamin pengalaman lebih selesa bagi semua keluarga.

“Malah kami sentiasa mencari langkah kreatif bagi membantu keluarga mencipta detik memori baru yang tidak dapat dilupakan setiap kali pengunjung ke taman tema ini,” katanya pada pelancaran Musim Percutian Brick-Takular di Legoland Malaysia, baru-baru ini.

Majlis disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Pelancongan Johor, Liow Cai Tung.

Menurutnya, taman tema itu turut meneruskan kesinambungan tradisi tahunannya dengan memasang lampu pada pokok Krismas LEGO Duplo tertinggi di Asia Tenggara, yang dibina dengan 427,695 bongkah LEGO.

Selain itu, sesi menyanyi lagu Krismas juga akan disajikan bagi merancakkan lagi semangat perayaan ini. Bagi mengucapkan selamat tinggal kepada musim percutian dan menyambut tahun baru, pengunjung juga dapat menyaksikan pertunjukan bunga api 3D LEGO yang bakal menerangi langit taman tema ini.


AKTIVITI menarik untuk pengunjung.

Namun, aksi ini akan diberikan nafas baru iaitu bongkah LEGO akan jatuh dari ‘langit’ ketika pertunjukan bunga api berkenaan.

Selain pengalaman dan hiasan musim sejuk yang indah, pengunjung juga dapat menyertai pelbagai aktiviti bertemakan musim percutian bukan saja menakjubkan tetapi juga sesuai bagi seisi keluarga.

Menerusi aktiviti pembinaan LEGO Musim Perayaan, kanak-kanak dapat belajar membina orang salji dan pokok Krismas tersendiri. Hiasan yang direka akan dipasangkan pada pokok di sekitar taman tema.

Selain itu, beberapa makhluk elf mitos dan orang Eskimo yang peramah juga akan membantu mencipta rekaan permainan unik. Aktiviti ini bukan saja menjamin keseronokan bagi kanak-kanak, malah membantu mengembangkan pelbagai kemahiran baru seperti kerjasama berkumpulan dan kreativiti.

Apa makna Hari Krismas, kalau tiada hadiah dan Santa Claus? Di Santa’s Grotto, selain dapat bertemu sapa dengan Santa Claus, kanak-kanak juga boleh menghantar surat kepada Santa Claus untuk berkongsi keinginan mereka serta mendapatkan kedudukan terbaik dalam ‘senarai nama budak nakal dan budak baik’.


RASAI pengalaman iglu seperti berada di artik.

Dalam pada itu, bagi meraikan semangat saling memberi, taman tema itu akan menawarkan pelbagai hadiah bernilai sehingga RM100,000 melalui Cabutan Bertuah Kalendar Advent LEGO bagi pengunjung bertuah setiap hari.

Malah, seorang pemegang Pas Kemasukan Setahun yang bertuah berpeluang memenangi sebuah Nissan Almera bernilai RM72,000 pada 25 Disember.

Taman tema itu juga bekerjasama dengan Finnair yang mana satu keluarga bertuah akan berpeluang memenangi percutian keluarga ke tempat asal LEGO di Billund, Denmark.

Selain pelbagai aktiviti menarik Brick-Tacular, rakyat Malaysia dari segenap lapisan umur juga dapat mengalami aktiviti lain seperti The Great LEGO Race VR Coaster sepanjang musim percutian di taman tema ini. -Yusliza Yakimir Abd Talib

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Disember 2018 @ 7:00 AM