PARAGLIDING di Gunung Jerai, Kedah. FOTO E-mel
Nurul Husna Mahmud
nurul_husna@hmetro.com.my


KEBIASAANNYA atur cara percutian yang normal dilakukan kebanyakan pelancong di Malaysia ialah aktiviti di darat dan air saja.

Apa kata kali ini anda mencabar diri untuk merasai pengalaman terawang-awang di udara sambil mata menikmati pemandangan 360 darjah dari langit biru?

Menariknya pengalaman percutian di udara yang penulis maksudkan ialah paragliding atau luncur udara.

Biasanya ia satu ‘penerbangan’ relaks dan mengujakan tanpa sebarang gangguan seperti bunyi enjin. Penumpang pula hanya perlu mengenakan ‘harness’ selain terapung di udara tatkala payung mengembang atas bantuan udara panas dan angin.

Mereka turut ditemani ‘juruterbang’ atau ‘tandem master’ yang menjadi jurupandu ketika pelepasan sehinggalah selamat mendarat di kawasan lapang.

Kedengaran suasana percutian itu agak ekstrem, namun bagi individu yang mahukan kenangan luar biasa dalam senarai impian mereka, bolehlah mula membuat pilihan untuk terbang di lokasi tertentu.

Jika dari Kuala Lumpur, pusat luncur udara terdekat ialah Bukit Jugra sementara untuk destinasi seperti di Sabah yang kian popular dengan aktiviti terbabit boleh membuat ‘penerbangan’ dari puncak Bukit Lohan berketinggian 706 meter.

Satu ketika dulu percutian ekstrem seperti ini biasanya memerlukan anda terbang jauh ke New Zealand atau Australia bagi merasai pengalaman meluncur di udara.

Sudahlah kos untuk terapung di udara agak mahal, perlu pula menanggung harga tiket penerbangan dan tempat tinggal sepanjang berada di sana. Jadi, tentu saja kosnya berganda.

Oleh itu, pembukaan pusat luncur udara di negara sendiri mendapat sambutan baik dari kalangan penggemarnya sukan ekstrem dan individu yang berjiwa berani.

Pembukaan pusat luncur udara tempatan itu turut menarik perhatian ramai pelancong luar termasuk dari Timur Tengah dan Eropah yang beralih melakukan aktiviti luncur udara di Malaysia kerana mahu menikmati pemandangan indah di negara ini dengan kaedah unik.

Menurut Pengasas Persatuan Luncur Udara Malaysia (PLUM) Orkid Jamilah Awang, beliau mula aktif memperkenalkan sukan luncur udara kepada umum sejak 20 tahun lalu bersama suaminya, Kapten Ikhwan Alzirlah.

Kini peminat sukan ekstrem boleh memilih untuk terbang dari beberapa lokasi pelancaran seperti Bukit Jugra Banting, Bukit Maras di Kuala Terengganu, Bukit Lohan di Ranau, Sabah dan Gunung Jerai di Kedah.

“Malah ia antara lokasi sesuai untuk aktiviti tandem kerana mempunyai pusat pelepasan mudah diakses dengan kenderaan dan pendaratan sesuai serta selamat.

“Faktor lain ialah pemandangan disajikan menjadi ‘halwa mata’ untuk peserta begitu menarik iaitu dikelilingi gunung, laut atau sungai selain faktor arah angin dari Laut China Selatan yang memudahkan untuk aktiviti ini dilaksanakan.

“Biasanya lokasi yang kami perkenalkan kepada pelanggan sudah diuji peluncur udara profesional antaranya dari Perancis dan Switzerland yang mencuba aktiviti itu di lokasi terbabit.

“Contohnya Bukit Maras di Terengganu yang dibuka sejak 2016 tapi baru diperkenalkan kepada umum pada awal tahun ini dan di Bukit Lohan.

“Maklum balas yang kami terima sangat memberangsangkan. Rata-rata peluncur udara antarabangsa melahirkan rasa teruja dengan kelebihan dimiliki lokasi luncur udara tempatan kerana mempunyai landskap dan pakej menarik, sesuai sebagai produk pelancongan udara bertaraf dunia.

“Pengunjung akan menikmati 10 hingga ke 15 minit melayang di udara, bergantung kepada keadaan angin dan cuaca. Namun tidak lupa berat badan juga antara faktor mempengaruhi tempoh mereka berada di udara,” katanya.

Sementara itu Tandem Master PLUM Kapten Ikhwan (B) Azilah berkata, kapasiti pelancong yang meluncur udara boleh mencecah sehingga 100 orang dalam satu hari.

“Purata pelancong setiap tahun yang dibawa untuk meluncur udara tidak kurang dari 1,500 orang dan permintaan itu kian meningkat sehingga 2,000 orang. Namun jumlah ‘tandem master’ yang bertauliah masih terlalu sedikit berbanding permintaan.

“Bagi rujukan pelancong, sebelum seseorang jurupandu boleh melakukan tandem, dia perlu melengkapkan 300 penerbangan dengan 150 jam penerbangan.

“Selain itu perlu melengkapkan kriteria lain antaranya 10 kali tandem penerbangan dengan jurulatih serta jurupandu (P1) serta ujian lain. Ini penting memastikan keselamatan menjadi keutamaan dalam menjalankan servis ini,” katanya yang juga mempunyai tauliah dalam melatih jurupandu dan tandom master tempatan .

Saranan daripada pihak PLUM, pelanggan dinasihati menempah lebih awal kerana aktiviti luncur udara bergantung kepada cuaca semasa.

Ikhwan juga tidak lupa berkongsi tarikan sekitar kawasan luncur udara terbabit menyebabkan kawasan luncur udara menarik.

“Kelebihan lain dimiliki lokasi luncur udara ialah nilai tambah dalam produk pelancongan lain berada di sekitarnya. Gunung Jerai umpamanya, ada resort di kawasan terbabit yang boleh dijadikan tempat beristirehat.

“Kalau di Ranau, lokasinya tidak jauh dengan tarikan lain seperti kampung tradisi dan terletak berdekatan Gunung Kinabalu. Sementara Bukit Maras pula berdekatan dengan pusat tumpuan peminat makanan laut iaitu Batu Rakit yang popular menu ikan celup tepung (ICT),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Disember 2018 @ 7:00 AM