PENDAKIAN santai di Bukit Gasing. FOTO E-mel
Nurul Husna Mahmud
nurul_husna@hmetro.com.my


MERENTAS laluan denai dengan elemen pendakian ringan antara kegiatan riadah menjadi pilihan warga kota yang menyukai aktiviti lasak.

Antara destinasi yang sering menjadi pilihan penggemar aktiviti terbabit ialah taman rekreasi mahupun hutan simpan di sekitar ibu kota. Ia termasuk Hutan Simpan Bukit Gasing berdekatan bandar Petaling Jaya, Selangor.

Bagi pengunjung yang pertama kali ke lokasi rekreasi itu, saranan ahli aktif Charity Adventure Team, Mariati Tahir ini pastinya banyak membantu.

Untuk tiba di pintu masuk utama, mereka perlu melalui Lebuhraya Persekutuan dan susur keluar ke bangunan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja di Petaling Jaya.

Kemudian ikuti papan tanda Jalan Gasing dan seterusnya simpang masuk ke Jalan Lembah 5/2 kemudian ke susur kanan Jalan Tanjung 5/4 iaitu lokasi pintu masuk berkenaan berada.

Kata Mariati, yang lebih mesra dengan panggilan Atie, trek Bukit Gasing berkenaan sangat sesuai untuk latihan awal sebelum pendakian lebih mencabar.

“Keistimewaan Bukit Gasing bagi saya dan enam rakan yang turut serta dalam ekspedisi kali ini ialah selain kedudukannya tidak jauh dari lokasi kediaman kami, trek yang pelbagai mengikut kemampuan pengunjung membuatkan ia popular.

“Sebenarnya laluan Bukit Gasing sepadan dengan namanya yang mempunyai trek berpusing membawa kita ke tempat yang sama. Apa yang membezakannya ialah laluan keluar dan ia boleh dirujuk pada peta. Ketinggian bukit ini pula sekitar 160 meter.

“Pengalaman pengunjung juga berlainan kerana bergantung kepada pilihan trek yang ada. Antaranya jalan landai, menurun, menegak, tinggi dan ada juga yang terpaksa mendaki kemudian menuruni anak tangga yang tinggi dan panjang.

“Tetapi kebanyakan pendaki memilih laluan menaik dan menurun yang berbeza. Begitu juga buat mereka yang menjalankan latihan larian merentas hutan,” katanya.

Menyentuh berkenaan kenalan komuniti yang mengikuti aktiviti rekreasi bukit terbabit, ia disertai lima peserta perempuan dan seorang lelaki dalam lingkungan umur 30-an hingga 50-an.

Meskipun Bukit Gasing boleh dijelajah sehari tanpa perlu bermalam, dia turut membuat persiapan bagi memastikan risiko luar jangka ketika melakukan aktiviti terbabit.

“Setakat ini tiada lagi kemalangan yang berlaku. Cuma pilihan trek kami kali ini lebih jauh dan merentasi semua laluan dan denai yang terdapat di Bukit Gasing.

“Akibatnya kami kehabisan bekalan air dan makanan ringan. Kami terpaksa berjalan keluar dalam keadaan lapar dan dahaga yang teramat memandangkan cuaca di dalam hutan Hutan Bukit Gasing berbahang serta panas,” katanya.

Kata Mariati, kumpulannya juga turut melengkapkan peralatan penting seperti pisau kecil, tali, tikar, baju hujan dan lampu kepala selain ubat-ubatan asas bagi menghadapi kecemasan baik kemalangan, kecederaan serta sesat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Disember 2018 @ 6:45 AM