PENDAKIAN Bukit Senaling, Kuala Pilah, Negeri Sembilan yang menawarkan pemandangan awan karpet dari puncak bukit. FOTO E-mel
Aniza Zainudin
anizazainudin@hmetro.com.my


INDAH seperti di kayangan! Hamparan putih ‘awan karpet’ yang memayungi kawasan hijau di sekitar puncak Bukit Senaling menawarkan panorama alam yang sangat menakjubkan.

Pancaran cahaya hasil biasan sang mentari yang seakan-akan malu menjelmakan diri berjaya menyempurnakan pemandangan memukau, ternyata kombinasi alam semula jadi dicipta untuk saling melengkapi antara satu sama lain.

Gerakan perlahan wap udara sejuk dari permukaan bumi membentuk gabungan kepulan kabus mampat menghasilkan fenomena ‘awan karpet’ yang memutih.

Sama seperti mereka yang mencintai dan menghargai keunikan ‘kerja’ Maha Pencipta, penulis turut terkesima menyaksikan keindahan dunia yang sukar digambarkan menerusi kata-kata. Sebaik ia dirakamkan di minda, kemudian sematkan di hati.

Terletak di Kuala Pilah, Negeri Sembilan, bukit yang ketinggian 394 meter dari paras laut ini menjadi tumpuan dan kian popular dalam kalangan rakyat tempatan bagi operasi pemburuan ‘awan karpet’.

Berbekalkan cuti perayaan Deepavali lalu, penulis bersama tiga teman tidak melepaskan peluang untuk menguasai puncak Bukit Senaling dan semestinya menyaksikan sendiri keistimewaan ‘awan karpet’ yang sering diperkatakan.

Usai solat Subuh di surau berdekatan, kumpulan kecil penulis terlebih dulu mendaftar di kaunter US Hiker yang bertanggungjawab menguruskan pendakian Bukit Senaling sebelum kami menyertai kira-kira 30 pendaki lain.

Ditemani petunjuk arah, kami bersama-sama meredah kegelapan pagi di laluan sedikit berbukit dan lecah akibat hujan lebat pada petang sebelumnya.

Selepas melalui laluan tanah kebun getah, ladang kelapa sawit persendirian dan alur air, ketinggian laluan mula meningkat memaksa penulis serta teman memperlahankan rentak bersesuaian dengan keupayaan masing-masing.

Apabila hari mulai cerah, pembentukan ‘awan karpet’ mula terbentang, meskipun masih berada di pertengahan jalan, pemandangan yang dihidangkan sudah cukup membuatkan kami terus bersemangat menuju ke puncak.

Menariknya, laluan Bukit Senaling turut diselang- seli dengan laluan batu kapur terbentuk cantik seakan-akan longkang.

Namun perlu berhati-hati kerana permukaannya agak licin. Selepas melalui laluan batu kapur, pendaki perlu menempuhi laluan hutan berbukit yang curam.

Meskipun mengambil masa kira-kira satu jam lebih untuk tiba di puncak, ia menjadi rekod peribadi buat pendaki amatur seperti kami.

Kepenatan mendaki ke puncak seakan-akan hilang sebaik menyaksikan keindahan ‘awan karpet’ depan mata.

Tiada kata untuk diungkapkan apabila masing-masing kelihatan asyik menikmati kecantikan syurga dunia yang memukau.

Memperuntukkan masa kira-kira sejam lebih di puncak, kumpulan kecil kami mula meninggalkan kedamaian Bukit Senaling, sebelum dipertemukan dengan pemandu arah, Yussof Yunus atau lebih mesra disapa Pak Ngah.

Usah terpedaya dengan raut wajahnya serius, bekas tentera yang juga anak jati Ulu Senaling ini tidak lokek berkongsi cerita malah sejarah berkaitan lokasi pendakian kian popular berkenaan.

“Idea untuk mempopularkan Bukit Senaling sebagai destinasi pendakian bermula dengan adik saya, Yusri, yang turut menjadi tulang belakang US Hiker.

“Bertanggungjawab mengendalikan operasi pendakian Bukit Senaling, setiap pendaki atau peserta perlu membuat bayaran masuk sebanyak RM15 merangkumi permit Jabatan Perhutanan Negeri, aspek keselamatan, penyelenggaraan laluan serta petunjuk arah.

“Bukit Senaling dibuka kepada khalayak sejak Oktober 2017 selepas US Hiker mengenal pasti laluan selamat bagi tujuan pendakian.

“Hingga kini, kami menerima penyertaan kira-kira 13,000 pendaki dari dalam dan luar negara, terutama Singapura.

“Bagi yang berminat untuk mendaki bukit ini, mereka perlu menghubungi US Hiker menerusi Facebook, menyatakan tarikh, waktu pendakian dan bilangan peserta.

“Ini kerana kami bertanggungjawab membantu pendaki untuk tiba di puncak dengan selamat, selain memberi motivasi kepada mereka demi merealisasikan impian menyaksikan sendiri keistimewaan awan karpet,” kata pemandu arah yang berusia 59 tahun itu.

Mencungkil keunikan Bukit Senaling, Pak Ngah mengakui pembentukan wap dan kabus daripada tanah dan pokok yang mengelilingi bukit berkenaan mencipta hamparan putih permaidani awan.

Jelasnya, apabila wap udara segar daripada permukaan bumi terkumpul seterusnya menjadi mampat, ia menghasilkan lapisan kabus tebal seperti awan.

Apabila berada di puncak yang tinggi, proses kejadian alam semula jadi itu memaparkan pemandangan cukup indah.

Menurutnya lagi, waktu paling sesuai untuk menyaksikan tarikan baru di Kuala Pilah ini sebaik-baiknya pada Oktober hingga Januari.

Mampu menamatkan pendakian ke puncak Bukit Senaling dalam tempoh 30 minit, lelaki ini berkata, selalunya pendakian dimulakan sebaik usai solat Subuh bagi umat Islam sebelum tiba sekurang-kurangnya selepas satu hingga dua jam, bergantung kepada stamina individu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 November 2018 @ 7:01 AM