KUMPULAN Caliph Buskers membuat persembahan Busking Finalis AJL32 di Dataran Sogo. FOTO Mahzir Mat Isa
Zaitie Satibi
zaisa@hmetro.com.my


‘BUSKING’ bukan sekadar aktiviti seni jalanan biasa. Kini ia berupaya menjadi satu simbol daya tarikan pelancongan dengan kemeriahan di kawasan bandar raya dan lokasi tertentu tumpuan orang ramai. Aktiviti ‘busking’ juga sudah menjadi satu profesion atau kerjaya yang baik dan platform disukai rakyat Malaysia dalam mempamerkan bakat serta seni budaya.

Malah, terdapat pemuzik jalanan atau ‘busker’ kini menjadi artis rakaman yang dikenali ramai. Ada juga yang membuat persembahan di luar negara seperti di World Art Games yang berlangsung di Croatia seperti Cheri Band, You and Me, Keychow-Keychow, KKSY Percussion, Alam Buskers, The Retrogroovers, Ammal Bellamy & Co., Suwara, Nescoustic dan Genji Buskers.

Ini membuktikan mereka juga berbakat besar dan perlu terus diperkasakan agar perjalanan komuniti ‘busker’ terus terjamin ke arah yang lebih positif.

Hingga kini dianggarkan lebih 13,000 pemuzik jalanan berdaftar di bawah Persatuan Malaysian Buskers Club (MYBC) yang menaungi komuniti itu di seluruh negara sejak 2013.

MYBC sudah bekerjasama dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MoTac) sejak awal penubuhan hingga kini. Ia sekali gus banyak memberi kesan positif terhadap sektor pelancongan negara.

Setakat ini antara kumpulan yang terkenal dan mempunyai pengikut ramai di media sosial ialah Caliph Buskers, Retmelo Buskers, Darulaman Buskers dan Genji Buskers.

‘Busker’ kini dilihat membuat persembahan di mana-mana saja termasuk di pusat beli-belah, lapangan terbang, restoran dan kafe, bahu jalan utama, hotel dan banyak lagi lokasi tumpuan. Ternyata, ‘busking’ adalah hiburan yang santai dan diterima ramai.

Ini hasil usaha MYBC yang gigih melaksanakan revolusi ‘busking’ tempatan kepada satu jenama yang popular di negara ini.

Menyedari ‘busker’ mampu berperanan untuk menarik pelancong dan menghiburkan mereka, MoTac mengangkat komuniti itu sebagai Duta Jalanan Pelancongan Malaysia.

Selain mempromosikan tempat pelancongan tertentu, aktiviti mereka adalah amalan sosial sihat yang ada di negara ini apabila menjadi penyeri kehidupan dan wadah promosi pelancongan Malaysia secara langsung.

Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Rashidi Hasbullah berkata, peranan ‘busker’ bukan sekadar penghibur jalanan tetapi berupaya menjadi ejen pelancongan bagi mempromosikan negara.

Ini secara tidak langsung dapat membantu menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan terunggul di dunia ini dengan sasaran 26.4 juta pelancong akan melawat Malaysia pada tahun ini dan meningkat kepada 30 juta dua tahun lagi.

“Kementerian akan sentiasa memberi perhatian serius terhadap fasa pembangunan ‘busking’ negara. Saya juga dimaklumkan terdapat pelan jangka panjang seperti pembangunan perkampungan seni jalanan iaitu Malaysian Buskers Village, pengenalan lesen ‘busking’ dan Skim Pinjaman Mudah Seniman Jalanan yang berupaya mengukuhkan hala tuju komuniti itu di negara ini.

“Saya juga ingin melihat ‘busker’ di Malaysia diiktiraf sebagai golongan seni yang setaraf dengan artis lain di negara ini. Selain itu, saya juga meminta semua pihak termasuk pihak swasta untuk terus memberi ruang kepada mereka untuk berkarya dan sentiasa memberi sokongan yang baik,” katanya ketika berucap merasmikan Malam Penghargaan Seniman Jalanan 2018 di ibu negara, baru-baru ini.

Majlis berkenaan julung kali diadakan antara MoTac bersama komuniti itu secara eksklusif bagi menghargai dan memartabatkan kerjaya serta hasil karya penggiat seni jalanan di negara ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 November 2018 @ 6:30 AM