GAMBAR HIASAN
Zaitie Satibi
zaisa@hmetro.com.my


Tiba saja hujung minggu mesti kita sudah merancang untuk berjalan-jalan dan meluangkan masa bersama keluarga atau rakan. Bagi yang kurang kelapangan, tidak perlu ke tempat jauh untuk berseronok kerana anda boleh bersantai di lokasi dalam negara yang tidak kurang hebatnya.

Bagi percutian hujung minggu, dua hari satu malam sudah memadai dan pastinya anda sering tertanya lokasi manakah yang patut dituju?

Percutian domestik menawarkan pelbagai pilihan mengikut kesesuaian bajet sama ada mahu menginap di bandar raya atau percutian singkat di bandar berdekatan, pengembaraan gastronomi merentasi beberapa negeri mahupun di resort dikelilingi alam semula jadi.

Jika anda jenis yang tidak suka berada di luar bandar, bolehlah memilih bercuti ke Shah Alam, Selangor dan berlagak seperti pelancong. Inilah masanya menjelajah segenap bandar raya itu untuk melawat dan berswafoto di mercu tanda terkenal seperti Masjid Sultan Abdul Aziz atau dikenali sebagai Masjid Biru, Stadium Malawati dan Taman Kesenian Islam.

Shah Alam terletak kira-kira 25 kilometer dari Kuala Lumpur adalah bandar terancang pertama di negara ini mempunyai pelbagai kelebihan tersedia buat penduduk dan pengunjung. Sekiranya anda seorang yang gemar melakukan aktiviti pada hujung minggu, hanya dengan memandu di sekitar bandar Raya ini mampu memberi pengalaman menyeronokkan.

Sedikit sejarah, sebelum ini Shah Alam dikenali Sungai Renggam dan asalnya ladang kelapa sawit terletak antara Petaling Jaya dan Klang dan dihubungkan melalui satu-satunya lebuh raya ketika itu, Lebuhraya Persekutuan. Ia dibuka pada 1963 sebagai pusat pentadbiran Selangor selepas penyerahan Kuala Lumpur kepada kerajaan Pusat untuk dijadikan Wilayah Persekutuan pada 1 Februari 1974.

Pada 7 Disember 1978, Shah Alam diisytiharkan sebagai ibu negeri Selangor. Kepesatan pembangunan Shah Alam dan kepentingannya yang semakin ketara membolehkan bandar ini dinaik taraf dan diisytihar sebagai bandar raya pada 10 Oktober 2000.


LAMAN SENI 7

Shah Alam sememangnya mempunyai banyak tempat menarik yang boleh dikategorikan sebagai hiburan sekeluarga. Tidak hairanlah Shah Alam popular dalam kalangan pengunjung hujung minggu.

Bagi pelancong yang datang dari luar Shah Alam atau dari mana pun, adalah lebih baik mendaftar masuk dulu di mana-mana hotel bajet atau rumah inap yang banyak dibuka di sekitar bandar raya ini.

Menyediakan kemudahan lengkap di samping lokasi strategik, kadar penginapan ditawarkan premis berkenaan juga berpatutan. Dinasihatkan buat tempahan bilik awal kerana lazimnya penginapan sewa ini sentiasa penuh pada hujung minggu. Waktu mendaftar masuk jam 2 petang.

Setelah melepaskan lelah, anda boleh menuju destinasi terkenal di sekitar bandar raya. Berikut lokasi yang boleh anda lawati bagi mengisi cuti hujung minggu.

SABTU, 3 PETANG

Laman Seni 7, Seksyen 7

Laman Seni 7 adalah lorong belakang kawasan komersial di Jalan Plumbum Q 7/Q, Seksyen 7. Kawasan belakang premis yang lazim suram dan kotor ini diubah suasananya apabila diindahkan dengan lukisan mural tiga dimensi (3D) di dinding sisi bangunan kedai. Pelbagai lukisan mural empat kategori iaitu ‘3D Painting’, ‘3D Installation’, ‘Street Furniture’ dan ‘Painting On Site’ berjaya menceriakan lorong belakang

Keunikan seni jalanan itu membantu merancakkan kedatangan pelancong berikutan menjadi tumpuan orang ramai untuk merakamkan kenangan, sekali gus menjadi daya tarikan pengunjung ke Shah Alam. Lorong belakang yang indah ini juga dijadikan lokasi penganjuran sebarang aktiviti bermanfaat seperti busking, deklamasi puisi dan pameran buku.

Seperkara lagi, Seksyen 7 juga hab fesyen yang sering menjadi tumpuan terutama menjelang Syawal. Terdapat lebih 50 jenama fesyen terkenal tanah air di satu tempat dengan pelbagai barangan memenuhi kehendak fesyen lelaki, wanita dan kanak-kanak.

JAM 5 PETANG

Taman Tasik Shah Alam, Seksyen 14

Perut sudah kenyang dan mungkin sudah puas membeli-belah, anda pasti perlukan tempat berehat sambil menenangkan fikiran. Jadi bolehlah ke lokasi seterusnya iaitu Taman Tasik Shah Alam.

Dipenuhi dengan rekaan landskap indah dan menghijau, ia tempat aktiviti riadah seperti berjoging, berkayak, berkelah dan menikmati udara segar. Taman tasik ini terbahagi kepada tiga rangkaian utama iaitu Tasik Barat, Tasik Tengah dan Tasik Timur turut menjadi habitat hidupan air tawar dan burung undan yang berhijrah.

Bagi menggalakkan kehadiran pengunjung ke Taman Tasik Shah Alam, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menambah empat tarikan baru iaitu jambatan kanopi, titi gantung, menara tinjau dan trek basikal kanak-kanak. Jangan lepaskan peluang menikmati semua tarikan itu yang dibuka kepada umum sejak Oktober

lalu.


KOTA CAHAYA DIGITAL I-CITY

JAM 8 MALAM

Kota Cahaya Digital i-City, Seksyen 7

Nikmati suasana malam di bandar lampu digital di atas tapak seluas 10 hektar merangkumi kawasan membeli-belah bergaya dan dilengkapi taman tema untuk melayani mereka yang mencari tempat bersantai. Ia diiktiraf sebagai destinasi pelancongan ‘lightscape’ pertama di Malaysia dengan mempamerkan teknologi LED terkini.

Keunikan dan kelainan konsep taman cahaya yang ditawarkan menjadikan ia satu daripada taman tema tumpuan pengunjung dari dalam serta luar negara. Anda boleh berehat di taman, melihat arca indah dan merasai pengalaman dunia baru dengan pameran lampu yang mempesonakan.

Terdapat pelbagai pokok dihiasi lampu LED yang diibaratkan seperti taman fantasi. Ia sesuai untuk seisi keluarga dan anda wajib berswafoto bersama paparan cahaya indah.

Taman i-City mempunyai tarikan lain seperti muzium lilin interaktif pertama di Malaysia, muzium seni 3D dan taman tema salji terbesar di negara ini, Snowalk yang akan memberi pengalaman musim salji seperti di negara hemisfera utara kepada pengunjung.

JAM 10 MALAM

Dataran Shah Alam, Seksyen 14

Jika mahu duduk berehat dan bersembang sambil menikmati keindahan malam boleh datang ke Dataran Shah Alam.

Ia terletak di Persiaran Sultan bersebelahan Wisma MBSA dan Pusat Pelancongan Darul Ehsan. Berhadapan dataran ini terletak Menara Jam Shah Alam dengan rekaan unik mengandungi runsur tradisional, moden dan klasik. Dataran Shah Alam juga dilengkapi skrin gergasi yang menayangkan program secara langsung.

Berhampiran dataran ini terdapat rangkaian pusat beli-belah iaitu seperti Alam Sentral, Kompleks PKNS, SACC Mall dan Anggerik Mall. Sekali lagi anda boleh menikmati hidangan lewat malam di kedai di sepanjang Shah Alam Walk berkonsepkan taman bunga orkid yang diperindahkan dengan beberapa arca unik dan kolam air pancut.

Beredar kembali ke penginapan antara jam 11.30 hingga 12 tengah malam dan persiapkan diri untuk meneroka destinasi selanjutnya keesokan hari.

AHAD, 8 PAGI

Bazarena, Seksyen 13

Shah Alam juga popular dengan destinasi membeli-belah yang beroperasi setiap pagi Ahad seawal jam 7 pagi hingga lewat tengah hari di pekarangan tempat letak kereta Stadium Melawati.

Bazarena menempatkan pasar tani mega yang menjual pelbagai produk agromakanan. Anda boleh bersarapan di sini dengan pilihan pelbagai menu kuih-muih moden dan tradisi, goreng-gorengan dan makanan berat cita rasa dari Jepun, Cina, Arab dan Thailand. Turut disediakan ruang makan terbuka dalam skala besar untuk pengunjung menikmati makanan secara santai bersama keluarga sebagai aktiviti hujung minggu.

Selain itu, Bazarena juga menempatkan pasar karat dengan bermacam-macam barang diniagakan termasuk barang antik dan vintaj.


MUZIUM SULTAN ALAM SHAH

JAM 10 PAGI

Muzium Sultan Alam Shah, Seksyen 14

Muzium Sultan Alam Shah menjadi lokasi persinggahan seterusnya. Dirasmikan pada 2 September 1989, bangunan muzium negeri lima tingkat ini dibina mengikut seni bina moden dan diuruskan Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor.

Terdapat lima balai pameran iaitu Balai Sejarah, Balai Kebudayaan, Balai Sukan, Balai Warisan Alam Semula Jadi, Balai Islam dan Pameran Luar. Ia diwujudkan bagi menyimpan kira-kira 4,000 khazanah dan artifak negeri terutamanya sejarah, salasilah Kesultanan Selangor, budaya, adat dan istiadat masyarakat di Selangor.

Antara bahan pameran yang pasti mengujakan anda ialah replika kubur purba yang ditemui di Estet Ulu Bernam pada 1993 dan sepasang batu megalit yang ditemui di Lembah Bernam, dekat Sabak Bernam. Anda pasti kagum dengan pameran tengkorak buaya raksasa bernama Sang Bedal Bukit Belimbing yang ditemui mati terapung di sungai Kuala Selangor.

Di luar muzium pula terdapat replika Stesen Keretapi Klang yang menempatkan gerabak kereta api yang pernah dimiliki Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah sebelum baginda menghadiahkan gerabak itu kepada muzium.

JAM 3 PETANG

Taman Sukan Ekstrem Shah Alam, Seksyen 13

Taman yang disiapkan pada Februari 2007 adalah sebahagian daripada Pusat Sukan Shah Alam berhampiran Stadium Malawati. Ia menyediakan ruang aktiviti memanjat tembok, papan luncur, basikal BMX, futsal dan ‘paintball.’

Jika anda meminati aktiviti lasak, di sinilah tempatnya. Kemudahan disediakan sesuai untuk semua golongan dan kemasukan percuma namun peralatan disediakan perlu disewa. Memang seronok bersantai bersama kawan-kawan atau keluarga yang satu kepala sambil melakukan aktiviti di sini.

Pemilik jiwa kelajuan pula boleh datang ke Litar Go Kart Shah Alam berhampiran untuk melepaskan gian berlumba di jalanan.


BAZARENA

JAM 5 PETANG

Dataran Kemerdekaan, Seksyen 14

Singgahlah ke Dataran Kemerdekaan iaitu tempat tumpuan warga Shah Alam beriadah dan bersantai bersama keluarga dan rakan pada sebelah petang dan hujung minggu. Menariknya, dataran ini dibina apabila Selangor menjadi tuan rumah sambutan Hari Kebangsaan ke-43.

Hamparan rumput menghijau menyegarkan pandangan. Anda pasti terlupa sesaat keletihan dan tekanan kerja tatkala bergelak ketawa bersama keluarga dan teman sambil menikmati udara nyaman dan panorama bangunan tinggi mencakar langit yang tidak pernah membosankan.

Dataran berkenaan sentiasa menerima pengunjung turut diserikan dengan pelbagai aktiviti pihak tertentu seperti jualan but kereta, trak makanan dan program anjuran badan bukan kerajaan (NGO) yang menjadikan kawasan ini sentiasa meriah.

Jangan lupa berswafoto di mercu tanda ‘We Love Shah Alam’ di dataran ini sebelum berangkat pulang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 November 2018 @ 7:32 AM