MENCANTING dan melukis batik.
Hafiz Ithnin
hafizithnin@mediaprima.com.my

Asyik melihat ketekunan sekumpulan pelajar sekolah mewarnakan kain yang sudah diregangkan di atas blok lukisan. Setiap warna ‘dititikkan’ akan berkembang dan menyerap tanpa melintasi sempadan garisan lilin yang sudah siap dilakarkan sebelum kerja mewarna dilakukan.

Di satu bahagian lain pula, kelihatan seorang pelukis anak tempatan sibuk melakukan kerja seninya dan tidak sedikit terganggu meskipun dikerumuni pengunjung.

Alunan lagu klasik Melayu lembut merdu yang diperdengarkan bukan saja menjadi halwa telinga malah mampu menyentuh jiwa pengunjung.


SEORANG artis mempamerkan teknik lukisannya kepada pengunjung.

Situasi itu antara yang mewarnai Kompleks Kraf Langkawi, Kedah yang juga antara destinasi tarikan utama di pulau berkenaan. Sememangnya tidak rugi untuk dikunjungi kerana terdapat pelbagai daya tarikan.

Mempamerkan pelbagai hasil kraf setempat termasuk batik, anyaman, ukiran kayu dan logam, seramik serta aneka kraf lain, kompleks berkenaan mampu membuatkan pengunjung teruja.


BARANGAN tembaga klasik yang dipamerkan kepada pengunjung.

Kompleks itu dibahagikan kepada beberapa bahagian mengikut jenis kraf bagi memberi kemudahan kepada pengunjung.

Penolong Pegawai Hal Ehwal Ekonominya, Nik Azreen Nik Alui berkata, kompleks itu dibuka setiap hari bermula jam 10 pagi hingga 6 petang dan tidak dikenakan sebarang yuran masuk.


RUANG praktikal kraf untuk pengunjung.

Katanya, lokasi yang strategik iaitu hanya 21 kilometer (km) dari bandar Kuah dan 24km dari Lapangan Terbang Padang Mat Sirat, kompleks itu sering dikunjungi pelancong tempatan dan asing setiap hari.


SENI ukiran oleh masyarakat orang asli Mah meri Pulau Carey sempena Progam Rantak Selangor International 2018.

“Keunikan kompleks kraf ini apabila kami menyediakan banyak hasil kraf untuk dipamerkan. Pengunjung bukan saja berpeluang melihat hasil seninya, malah mereka juga boleh membelinya.

“Bagi memudahkan aktiviti membeli-belah produk kraf itu, kami sediakan ruang bazar yang membariskan pelbagai koleksi daripada pakaian, aksesori hiasan diri sehingga produk kelengkapan rumah,” katanya.


PELBAGAI jenis lukisan dipamerkan artis untuk dilihat dan dijual.

Lebih selesa apabila pereka fesyen atau artis kraf berada di ruang perniagaan masing-masing bagi melayan pengunjung sambil memberi penerangan berkenaan hasil seninya dan menjawab pelbagai pertanyaan pengunjung yang berminat membeli produk kraf itu. Kadangkala aktiviti tawar-menawar harga juga boleh dilakukan.

Nik Azreen berkata, kewujudan bazar itu penting bagi membolehkan hasil kraf tempatan dapat dijual secara langsung kepada pengunjung, sekali gus ia dapat memberi limpahan ekonomi kepada golongan berkenaan.


BAZAR Kraf yang menghimpunkan pelbagai hasil seni kraf tempatan untuk dijual.

“Memandangkan kompleks ini adalah sebuah pusat sehenti bagi kraf di Malaysia, kita ingin menunjukkan kepada pengunjung bahawa hasil kraf tempatan mempunyai standard dan mampu dikomersialkan.

“Malah, pengunjung juga lebih mudah membeli cenderamata yang mempunyai identiti Malaysia di kompleks ini kerana terdapat pelbagai pilihan.

“Artis kraf yang berada di sekitar ruang niaga juga boleh memberi penerangan berkenaan produk mereka hasilkan,” katanya.

Dalam lawatan itu juga, penulis berpeluang cuba menghasilkan sendiri tembikar daripada tanah liat menggunakan mesin khas. Nyata ia bukan sesuatu yang mudah.


CUBA menghasilkan seramik menggunakan tanah liat bukan sesuatu perkara mudah bagi mereka yang tidak pernah melakukannya.

Pada waktu tertentu, pengunjung juga boleh cuba lakukan sendiri anyaman dengan tunjuk ajar artis kraf.

“Sekurang-kurangnya pengunjung lebih menghargai dan memahami setiap kesenian produk kraf itu. Apabila menyertai pelbagai aktiviti kraf, pengunjung sudah pasti tidak berasa bosan ketika melawat kompleks ini dan kita tidak mahu mereka yang datang hanya menjadi pemerhati pameran dan pembeli saja.

“Malah kami turut menerima kunjungan pelajar sekolah untuk melakukan pelbagai aktiviti kraf secara praktikal seperti mencanting batik. Dari situ kita dapat memupuk minat generasi muda untuk menjadi pewaris kraf tempatan,” katanya.


PENGUNJUNG cuba menghasilkan produk anyaman.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 November 2018 @ 12:24 PM