KEDUDUKAN stategik Kompleks Kraf Kuala Lumpur yang berada di kawasan tumpuan pelancong.
Hafiz Ithnin
hafizithnin@mediaprima.com.my

Apabila bercerita mengenai destinasi pelancongan, setiap orang ada pilihan tersendiri. Bagi yang sukakan aktiviti lasak, pastinya gunung dan cerun menjadi impian untuk diteroka. Bagi pencinta sejarah, muzium dan bangunan lama antara yang wajib ditinjau selain melawat destinasi yang sememangnya sudah popular.

Bagaimanapun, jarang yang memasukkan lokasi berteraskan seni kraf dalam senarai percutian mereka. Jika ada pun, ia adalah sebahagian daripada lokasi ‘wajib singgah’ yang dimasukkan dalam atur cara perjalanan oleh agensi pelancongan.

Sebenarnya, melawat kompleks kraf juga adalah destinasi menarik yang boleh dimasukkan di dalam senarai lokasi percutian tempatan kerana kita bukan saja dapat melihat keunikan kerja seni artis kraf tangan negara, malah boleh menjadi saluran mendidik jiwa golongan muda khasnya untuk mencintai hasil seni yang kita miliki.

Sebagai entiti yang memainkan peranan penting dalam industri kraf tempatan, entiti di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya iaitu Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia sentiasa menyusun strategi bagi memastikan kompleks kraf tempatan terus mendapat sambutan pengunjung.

Mengulas mengenai perkara itu, Pengarah Kanan Bahagian Pembangunan Industri Krafangan Malaysia Sahaimi Abd Manaf berkata, kompleks kraf bukanlah satu nama asing buat pencinta seni kraf tempatan.

Ia juga dikenali sebagai pusat kraf setempat dan wajar diangkat sebagai destinasi yang patut dikunjungi oleh pelancong dari dalam mahupun luar negara.

Katanya, berkonsepkan sebagai salah satu pusat persinggahan pelancong, kompleks kraf menawarkan pelbagai aktiviti menarik dan produk kraf yang berkualiti hasil buatan tempatan.

“Terdapat empat kompleks kraf iaitu Kompleks Kraf Kuala Lumpur, Kompleks Kraf Langkawi, Kompleks Kraf Johor dan Kompleks Kraf Melaka.

“Kompleks kraf mengetengahkan panorama dengan landskap dan unsur tradisional Malaysia membezakan kompleks kraf dengan gedung beli-belah berprestij yang lain berteraskan tiga konsep iaitu pendidikan, pemasaran dan pembudayaan,” katanya.


MENJADI tarikan kepada pelancong asing untuk membeli-belah.

Di bawah Rancangan Malaysia ke-6, kompleks kraf pertama dibina di Jalan Conlay, Kuala Lumpur dan siap sepenuhnya pada 1996. Matlamat utama kewujudannya untuk memelihara dan melindungi warisan kraf di samping dapat menjadi satu tempat tarikan pengunjung.

Kata beliau, ia juga bagi mempromosikan kraf tempatan sebagai usaha untuk memaju dan meningkatkan pembangunan industri kraf negara.

“Selain itu, Kompleks Kraf Langkawi juga mula beroperasi pada tahun yang sama. Pada 2011, Kompleks Kraf Langkawi diiktiraf sebagai salah satu lokasi Langkawi Geopark oleh UNESCO di bawah kategori Warisan dan Kebudayaan.

“Pelbagai aktiviti menarik tersedia di Kompleks Kraf Langkawi seperti pendidikan kraf, demonstrasi kraf, persembahan kebudayaan dan jualan pelbagai produk kraf iaitu tekstil, hasil rimba, hasil tanah, logam dan aneka kraf,” katanya.

Sahaimi berkata, sambutan yang menggalakkan terhadap produk kraf tempatan terutama di selatan tanah air memberi inspirasi kepada Kraftangan Malaysia untuk menjadikan Kraftangan Malaysia Cawangan Johor sebagai Kompleks Kraf Johor pada 26 Mei 2016.

“Bercirikan seni bina bumbung Rumah Limas Johor, Kompleks Kraf Johor menawarkan pelbagai produk pelancongan seni kraf kepada pengunjung tempatan juga dari luar negera berteraskan konsep pembudayaan, pemasaran dan pendidikan.

“Secara keseluruhannya, kompleks kraf diwujudkan sebagai pusat pengumpulan kraf setempat yang melambangkan integrasi usaha dan tekad bagi menggerakkan industri kraf dengan lebih agresif selaras dengan pembangunan negara,” katanya.

Katanya, lantaran itu, Kompleks Kraf Melaka sebagai kompleks yang baru dibuka sebagai pusat jualan serta informasi kraf kepada masyarakat khususnya kepada rakyat Melaka dan pelancong.


PELBAGAI hasil kraf tangan tempatan yang cantik berjaya dikomersialkan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 November 2018 @ 12:01 PM