KOMPLEKS Kraf Johor. FOTO Ihsan Kompleks Kraf Johor
Hafiz Ithnin
hafizithnin@mediaprima.com.my

Terletak di selatan Semenanjung Malaysia, Johor terkenal sebagai lokasi pembangunan moden tetapi masih mengekalkan serta memelihara kebudayaan masyarakat setempat.

Memandangkan negeri itu antara destinasi yang sering mendapat perhatian dan kunjungan daripada pelancong asing khasnya, kewujudan Kompleks Kraf Johor (KKJ) mempunyai daya tarikannya tersendiri.

Pengarah KKJ Nor Azmi Ismail berkata, kompleks itu mula dibuka kepada orang ramai pada 4 Oktober 2016 yang berperanan sebagai lokasi pelancongan dan hab pemasaran produk kraf Malaysia.

Beliau berkata, berkeluasan hampir 0.8 hektar, kompleks itu beroperasi 362 hari setahun dengan masa operasi bermula dari jam 9 pagi hingga 6 petang. Tiada sebarang caj dikenakan kepada pengunjung ke KKJ.

“KKJ menawarkan kelainan dengan memberi penekanan terhadap nilai pendidikan dan maklumat mengenai industri kraf secara terus kepada pengunjung.

“Di samping itu, KKJ memiliki sebuah galeri alat muzik tradisional yang memberi pengkhususan terhadap produk alat muzik Johor yang bersifat interaktif dan menggalakkan pengunjung untuk berinteraksi dengan bahan pameran melalui konsep ‘alami dan rasai’. Ini membolehkan pengunjung mencuba alat muzik yang dipamerkan,” katanya.

Katanya, KKJ juga adalah destinasi sumber rujukan bagi masyarakat awam untuk memperoleh maklumat mengenai pembuatan produk kraf menerusi kewujudan Lembah Kraf yang menempatkan lima usahawan yang mengeluar dan membekalkan produk kraf.


GOLONGAN muda juga dapat mempelajari teknik kraf tangan. FOTO Ihsan Kompleks Kraf Johor

“Antara yang ditonjolkan ialah anyaman rotan, jahitan tradisional dan wayang kulit mini. Pengunjung juga berpeluang untuk melihat proses pembuatan alat muzik tradisional dengan mengunjungi bengkel pembuatan alat muzik itu.

“Keunikan KKJ terletak pada konsep reka bentuk bangunan yang menggambarkan nilai kreatif seni bina Melayu Johor iaitu bumbung limas dan dikelilingi kehijauan yang memberi sumber inspirasi serta sebagai alat pembelajaran,” katanya.

Azmi berkata, bagi menarik kehadiran lebih ramai pelawat, pihaknya menggariskan tiga strategi bagi menarik pelancong domestik dan luar negara iaitu berperanan sebagai hab pemasaran bagi produk industri kraf Malaysia dengan menawarkan kemudahan Vendor Butik Kraf.

“Ia bagi memasarkan produk kraf usahawan terus kepada pengguna. Seterusnya KKJ melaksanakan konsep ‘komunikasi pemasaran bersepadu’ yang bersandarkan kepada penggunaan media baru.

“KKJ juga menyediakan penganjuran acara yang bertaraf nasional bagi tujuan mempromosi dan memasarkan produk keluaran usahawan menerusi platform acara seperti Festival Kraf Johor,” katanya.

Katanya, strategi ketiga adalah menjadikan KKJ sebagai pusat kegiatan seni dan budaya terutama dalam konteks seni kraf Malaysia dengan mengambil pendekatan mengukuhkan program pendidikan kraf yang dapat dimanfaatkan oleh golongan sasar seperti institusi pengajian tinggi dan sekolah.


KKJ sering mendapat kunjungan pelancong asing. FOTO Ihsan Kompleks Kraf Johor

“Setakat ini, KKJ sudah mendapat akreditasi daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) sebagai lokasi pelancongan serta menerima pengiktirafan sebagai The Best Domestic Event bagi penganjuran Festival Kraf Johor.

“Bagi memastikan KKJ berada di tanda aras yang diiktiraf sebagai lokasi pelancongan, KKJ turut menganggotai persatuan dan pertubuhan seperti Johor Tourism Association (JTA) dan Majlis Kebudayaan Negeri Johor (MKNJ),” katanya.

Pada masa sama, KKJ melihat langkah untuk menarik golongan muda melalui perspektif yang lebih komprehensif iaitu dengan menyediakan fasiliti dan penyediaan acara yang digemari golongan berkenaan.

Antaranya menyediakan program eksplorasi kraf melalui siri bengkel pembuatan kraf yang membabitkan institusi pengajian tinggi, sekolah dan prasekolah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 November 2018 @ 11:39 AM