AKTIVITI ‘kayak tiub’ boleh dilakukan di sungai berdekatan tapak perkhemahan.
MENAIKI kenderaan pacuan empat roda menjadi pilihan ke Lata Kijang.
RAKAN media tidak melepaskan peluang merakam kenangan di Lata Kijang. FOTO/HAFIZ ITHNIN
AIR terjun kecil yang tersembunyi di Jeram Berungut. FOTO/HAFIZ ITHNIN
AKTIVITI menerokai air terjun latar kijang. FOTO/HAFIZ ITHNIN
Hafiz Ithnin
hafizithnin@mediaprima.com.my


DIPAYUNGI silara hutan yang tebal, kadangkala suluhan matahari kelihatan jelas menembusi ruang antara pokok. Rasa tenang berada di dalam rimba sememangnya tidak dinafikan selepas mengharungi kehidupan hiruk-pikuk di bandar.

Apatah lagi, di hutan hujan tropika Malaysia yang belum banyak diterokai khazanahnya terutama di hutan lipur hingga menjadikan destinasi santai itu semakin unik.


AIR terjun kecil yang tersembunyi di Jeram Berungut. FOTO/HAFIZ ITHNIN

Sering kali apabila membuka laman sosial milik rakan yang ‘gilakan’ aktiviti meneroka rimba, gambar dimuat naik menerima pelbagai komen positif dan memberi pengaruh secara langsung untuk kita yang melihatnya membuat perancangan meneroka dan merasai keindahan kawasan itu.

Antara yang paling mendapat perhatian sekiranya menerokai rimba, sudah tentu keunikan pelbagai jenis air terjunnya.

Air terjun di dalam hutan biasanya memerlukan sedikit masa untuk sampai. Ada kala masa yang diambil bukan sekadar sejam tetapi perlu berjalan beberapa jam lamanya untuk sampai. Hasilnya, memberi kepuasan yang luar biasa kerana ia boleh dianggap masih dara dan tidak terkesan dengan keadaan pembangunan di kawasan bandar.

Baru-baru ini, penulis bersama rakan berpeluang menjejaki tiga kawasan air terjun menarik dan terkenal dalam kalangan penggiat rekreasi terutama pendaki sekali gus menjadi tema Santai pada minggu ini.


RAKAN media tidak melepaskan peluang merakam kenangan di Lata Kijang. FOTO/HAFIZ ITHNIN

Terletak di Taman Negeri Kenaboi yang dahulunya dikenali sebagai Taman Alam Liar di Jelebu, Negeri Sembilan, lokasi ini tidak asing bagi golongan pendaki tempatan tegar.

Di sana terdapat beberapa gunung yang menjadi destinasi pendakian antaranya Gunung Besar Hantu. Deruan jeram yang berada berhampiran tapak perkhemahan pula dapat didengari.

Puncanya dari pelbagai sumber termasuk dari Air Terjun Lata Kijang yang menjadi bualan kerana paling tinggi dan terletak di kawasan bukit.

Dari tapak perkhemahan itu ke Lata Kijang memerlukan sedikit masa untuk menjejakinya kerana hanya terdapat dua pilihan sama ada berjalan atau menaiki kenderaan empat roda.

Meskipun laluan ke lokasi itu mempunyai jalan tar, keadaan jalannya agak sempit, hanya muat untuk dilalui sebuah kenderaan. Bagi mereka yang tidak kisah memandu kereta untuk sampai ke sana, anda perlu fikirkan mengenai cabaran melintasi rimbunan pokok buluh yang kadangkala menghalang laluan.


MENAIKI kenderaan pacuan empat roda menjadi pilihan ke Lata Kijang.

Pada pandangan penulis, mereka yang gemarkan aktiviti larian denai atau ingin menguji kemampuan stamina, laluan agak berbukit ke sana adalah trek latihan terbaik kerana keadaan muka buminya yang pelbagai.

Ini terutama sekitar dua kilometer ke kawasan air terjun itu mempunyai laluan tar yang mencanak dan pasti menguji kemampuan stamina untuk meneruskan perjalanan. Bagaimanapun, sebaik tiba di atas bukit itu akan kelihatan panorama luas hutan simpan di sekelilingnya.

Sebaik tiba di atas bukit itu, untuk ke kawasan Lata Kijang tidak mengambil masa yang lama iaitu sekitar 10 minit saja jika berjalan kerana keadaan muka buminya mula menurun dan dalam beberapa meter terakhir, pengunjung dapat mendengar deruan air terjun yang diburu itu.


AKTIVITI ‘kayak tiub’ boleh dilakukan di sungai berdekatan tapak perkhemahan.

Untuk menuju ke kawasan terbaik merakam foto dan berada dekat dengan air terjun berkenaan, pengunjung perlu menuruni beberapa anak tangga. Bagaimanapun, diingatkan perlu memakai kasut sesuai sebagai langkah keselamatan.

Melihat air terjun itu dari jarak dekat sememangnya memberi kepuasan tersendiri. Ia agak unik kerana berada di tengah-tengah batuan sementara kiri dan kanannya terdapat rimbunan kehijauan pokok tumbuh-tumbuhan yang hidup meliar.

Penulis bersama jurufoto, Sairien Nafis dan beberapa rakan media lain tidak berlengah merakam foto serta merekod video pemandangan Lata Kijang yang unik itu.

Melihat sendiri pemandangannya, memang wajar apabila ia sering menjadi destinasi beberapa syarikat produksi drama tempatan menjadikannya sebagai lokasi penggambaran.

Meskipun air terjun itu mempunyai keindahan dari segi bentuknya, namun kolam yang menadah arus airnya tidak begitu luas dan tidak sesuai untuk aktiviti mandi-manda. Apatah lagi, terdapat banyak batu-bata di sekelilingnya.

Tidak puas hanya berada di Lata Kijang, jika anda berkesempatan ke Taman Alam Liar itu, jangan ketinggalan menerokai Jeram Berungut kerana hanya kira-kira 45 minit melalui jalan denai dari tapak perkhemahan di pintu masuk.

Perjalanan ke sana hanya dengan berjalan dan menariknya terdapat banyak anak sungai perlu direntasi yang kedalamannya mencecah hingga paras pinggang.

Sebaik tiba di kawasan yang dituju, penulis berada di antara dua ‘dinding besar’ dengan lumut hijau melatarinya membawa panorama indah.

Di hujung celahan ‘dinding besar’ itu sebenarnya terdapat sebuah air terjun kecil yang tersembunyi. Penulis dan rakan media lain juga tidak dibenarkan untuk berada di kawasan berkenaan kerana difahamkan ia agak dalam dan berbahaya.

Aktiviti meneroka air terjun dan jeram tersembunyi di taman rimba itu menghadiahkan pengalaman manis yang sukar dilupakan. Bahkan, terasa eksklusif kerana mampu melihat lokasi yang jarang dapat diterokai pengunjung lain.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Oktober 2018 @ 7:12 AM