RUMAH tradisional Melayu mampu memukau pandangan pelancong asing.
Hafiz Ithnin
hafizithnin@mediaprima.com.my

Langkah penulis hari itu betul-betul langkah kanan. Sebaik saja naik ke rumah, secawan teh yang masih berasap, beberapa jenis kuih tradisional dan semangkuk bihun sudah terhidang di atas meja.

Perjalanan sekitar 30 minit dari Pekan Kuah untuk menerokai kawasan inap desa di Kampung Tua, Jalan Tanjung Rhu, Langkawi terasa berbaloi.

Tidak cukup dengan makanan itu, buah markisa segar di dalam bakul yang dipetik berhampiran rumah kayu itu hanya menanti masa untuk dinikmati sebagai pencuci mulut.

Meskipun langit mendung menandakan hujan akan turun pada bila-bila masa, tidak sedikit pun mengganggu ketenangan ketika berada di serambi rumah.

Hembusan angin dingin seolah-olah menerbangkan kepenatan dan menjadikan petang itu cukup indah.

Pemilik kediaman, Abdul Jamil Ali dan Sabariah Abu Hassan pula tidak putus-putus menyuruh penulis menambah teh dan makanan itu, terasa seperti sudah lama berkenalan walaupun baru pertama kali berjumpa.

Mana tidaknya, keramahan mereka membuatkan penulis berasa cukup selesa seakanakan berada di rumah sendiri.

Mungkin sebab inilah inap desa di Malaysia cukup terkenal dalam kalangan pelancong asing.


JAMIL dan Sabariah yang mesra melayan pengunjung.

Ditanya mengenai inap desa miliknya, Jamil berkata, mereka mengusahakannya sejak 2009 dan setiap bulan pasti ada pengunjung tidak kira dari dalam atau luar negara yang menjadikan rumahnya sebagai destinasi percutian.

Katanya, persekitaran kampung yang tidak ditelan pembangunan moden memberi banyak manfaat kepada pengusaha sepertinya untuk menawarkan produk pelancongan inap desa kepada pelancong.

“Saya beruntung kerana kediaman ini berhampiran dengan sawah padi milik sepupu yang membolehkan kami menawarkan pelbagai aktiviti kampung kepada pelancong asing dan tempatan yang ingin merasai kehidupan di desa.

“Di rumah ini ada satu bilik dikhaskan kepada tetamu dan bagi mereka yang datang secara berkumpulan, boleh menginap di rumah kayu kedua kami di hadapan sana,” katanya.


BILIK yang ringkas untuk tetamu.

Bercerita pengalaman menerima tetamu asing, Jamil berkata, dalam tempoh sembilan tahun menjadi pengusaha inap desa, pelbagai reaksi menarik boleh diperhatikan contohnya pelancong yang berasa janggal untuk menggunakan tandas di luar rumah.

Katanya, dia ingin mengekalkan konsep persekitaran kampung yang asli bagi membolehkan pengunjung merasai kehidupan yang berbeza

dengan tempat asal mereka.

“Mereka dapat melihat bagaimana kami menjalani hidup sebagai orang kampung dan menyertai aktiviti harian seperti pergi ke sawah untuk menuai padi, memancing ikan sungai, mencari siput atau beriadah di kawasan pantai berdekatan.

“Malah mereka boleh belajar memasak makanan tradisional. Ternyata ia antara yang menarik minat mereka selain pelbagai kegiatan harian lain masyarakat kampung,” katanya.


HIASAN dalaman rumah kekalkan ciri tradisional.

Penulis meminta izin untuk meninjau kawasan rumahnya bagi merakam gambar pemandangan meskipun kedamaian itu tidak dapat diceritakan sepenuhnya menerusi sekeping gambar.

Di tepi sawah, kelihatan seekor lembu jinak meragut rumput basah. Sesekali, kedengaran ia melenguh apabila penulis cuba mendekatinya. Mungkin memberi amaran supaya tidak diganggu privasinya.

Penulis dapat membayangkan, jika anak kecil yang tinggal di bandar melihat haiwan itu sudah pasti kedengaran suara riang mengusik. Maklum saja, amat jarang menemui lembu di kawasan bandar.


PEMANDANGAN bendang dan Gunung Raya terpapar dari kawasan kediaman.

Di parit kecil yang jernih airnya, kelihatan anak ikan bermain riang. Sesekali kelihatan juga kelibat ikan puyu berlalu pantas. Jika penulis berkesempatan untuk berada di sana beberapa hari, pastinya aktiviti mengail di parit itu menjadi pilihan.

Di bawah rumah Jamil pula terdapat beberapa basikal tua yang disusun rapi dan berbasikal juga adalah antara aktiviti yang boleh dilakukan pelancong sekiranya bertandang ke inap desa miliknya.

Jamil berkata, kediamannya menjadi perhatian pelancong asing untuk merasai pengalaman berada di kampung kerana dia sekeluarga sentiasa menganggap tetamu sebagai sebahagian daripada ahli keluarga.

Sebagai tuan rumah, mereka sekeluarga perlu kreatif menyediakan aktiviti untuk mengelakkan pelancong berasa bosan sepanjang berada di rumahnya.


PENGUNJUNG boleh berbasikal keliling kampung sekiranya menginap di kediaman inap desa

“Kita perlu memberi pengalaman yang baik kepada pelancong tidak kiralah penduduk tempatan atau dari luar negara kerana kita mahu mereka pulang dengan rasa berat hati dan ingin kembali lagi sekiranya bercuti di Langkawi.

“Semua pengusaha inap desa di kampung ini saling bekerjasama untuk mempromosikan kawasan ini sebagai destinasi pelancongan,” katanya.

Sememangnya penulis cukup seronok meskipun hanya beberapa jam berada di rumah kayu itu. Layanan mesra, aktiviti disediakan dan pemandangan indahnya memang boleh membuatkan kita berat hati untuk pulang. Penulis dapat membayangkan percutian inap desa di sini mampu memberi pengalaman unik kepada sesiapa saja, termasuk mereka yang bergelar anak kampung!


KONSEP tingkap lama penuh mencerminkan budaya masyarakat setempat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Oktober 2018 @ 2:03 PM