AKTIVITI pertanian tradisional boleh ditonjolkan menerusi inap desa.
Hafiz Ithnin
hafizithnin@mediaprima.com.my

Aktiviti inap desa yang mencerminkan personaliti negara perlu terus dikembangkan memandangkan ia mampu memberi kesan positif kepada industri secara keseluruhan. Masyarakat luar bandar pula turut menerima limpahan ekonominya.

Berkesempatan menemu bual Timbalan Ketua Setiausaha (Pelancongan) Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MoTac) Datuk Haslina Abdul Hamid, beliau melihat produk pelancongan itu menjadi agenda penting dalam acara mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan di peringkat antarabangsa.

Katanya, pihak kementerian juga mengambil langkah dengan mengadakan program pembangunan inap desa yang membabitkan pemain sektor berkenaan untuk lebih fokus dalam mengembangkan aktiviti pelancongan.

“Sebenarnya produk inap desa di Malaysia mula dilaksanakan pada 2013 dan ia mendapat sambutan memberangsangkan dengan penyertaan pemilik kediaman terutama di luar bandar.

“Setakat ini kita mempunyai 208 kluster inap desa di seluruh Malaysia membabitkan 4,005 pengusaha dan 5,620 bilik tersedia untuk pengunjung tempatan serta asing yang berminat untuk bermalam,” katanya.

Lebih membanggakan, kejayaan Malaysia membangunkan produk inap desa itu menjadi perintis terutama di rantau Asean.

Selain sentiasa menjadi tumpuan negara luar untuk mengikuti langkah Malaysia dalam membangunkan produk pelancongan itu.

Beliau berkata, kita perlu berbangga kerana kejayaan Malaysia mempromosikan identiti masyarakat setempat lebih mendalam kepada pelancong asing.


TARIAN tradisional antara persembahan unik kepada pelancong asing.

“Ketika ini, kita sering mendapat rujukan beberapa negara asing yang berminat untuk mengikuti jejak Malaysia membangunkan produk pelancongan ini seperti Jepun, Korea Selatan dan terbaru Indonesia.

“Malah, rakan anggota ASEAN yang lain juga turut menjadikan Malaysia

sebagai model untuk membangunkannya. Mereka tahu inap desa mempunyai potensi dalam menyumbang kepada pertumbuhan sektor pelancongan di negara masing-masing,” katanya.

Kejayaan produk itu terus memperlihatkan perkembangan positif apabila setakat tahun lalu saja seramai 382,961 pelancong keseluruhan dari domestik dan asing memilih inap desa sebagai destinasi pelancongan mereka.

Haslina berkata, pengusaha inap desa di Malaysia mendapat sokongan daripada kerajaan membabitkan penyediaan program latihan dan membangunkan kemudahan di kawasan kampung supaya ia lebih menarik di mata pelancong.

Katanya, pendekatan itu penting bagi memastikan pengusaha lebih profesional mengendalikan pelawat terutama dari luar negara dan mampu memberikan perkhidmatan terbaik.


PERMAINAN tradisional seperti congkak sering mendapat perhatian pelancong asing.

“Aktiviti bermalam di inap desa di luar bandar umpamanya mampu memberikan kelainan ketika bercuti kerana konsepnya pelancong perlu tinggal serumah dengan pemilik.

“Jadi ketika berada di rumah itu, mereka akan melakukan pelbagai aktiviti bersama masyarakat setempat seperti turun ke sawah, memancing, memasak makanan tradisional atau terbabit dalam acara keraian,” katanya.

Tambahnya, generasi muda yang tinggal di bandar juga boleh menjadikan inap desa sebagai salah satu destinasi percutian dalam negara. Bercuti sambil melakukan kerja kampung turut dilihat sebagai kegiatan menguji mental dan fizikal yang menyeronokkan.

“Seperti kita tahu golongan muda hari ini lebih gemarkan aktiviti bersantai.

Bagi yang tinggal di bandar tentunya berpeluang merasai sendiri pengalaman menjalani kehidupan desa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Oktober 2018 @ 1:11 PM