ACARA memindahkan rumah antara aktiviti menarik ditonjolkan kepada pengunjung.
Hafiz Ithnin
hafizithnin@mediaprima.com.my

Langkah kerajaan memperkenalkan inap desa di kawasan luar bandar khasnya sebagai produk pelancongan beri manfaatkan kepada pelbagai pihak.

Malah, kewujudan kluster inap desa di kampung tertentu menjadikan masyarakatnya lebih bekerjasama bagi memastikan ia terus menarik perhatian pelancong asing dan tempatan.

Antara kluster inap desa yang popular di Malaysia terletak di Kampung Labu Kubong, Lubok Merbau, Kuala Kangsar, Perak.

Di dalam kelompok inap desa itu juga diwujudkan Persatuan Homestay dan Kampung Stay Kampung Labu Kubong.

Pengerusinya, Meor Samsudin Abu Hassan berkata, aktiviti inap desa di kampung berkenaan dimulakan sejak 2014 hingga kini mempunyai 30 inap desa 10 bilik bagi program tinggal di kampung.

Beliau berkata, inap desa dikenali sebagai aktiviti pelancong menginap bersama pemilik kediaman. Sementara tinggal di kampung pula pula mengetengahkan konsep seperti rumah tumpang di kawasan kampung berkenaan.


KAWASAN kampung mempunyai daya tarikan tersendiri.

“Kewujudan aktiviti inap desa di dalam produk pelancongan Malaysia sudah semestinya sesuatu yang baik kerana kami bukan saja dapat menjana pendapatan sampingan, malah membantu merancakkan aktiviti komuniti setempat.

“Apabila terdapat pelancong berkunjung ke tempat kami dalam skala yang besar, penduduk setempat akan bekerjasama menyediakan keperluan khususnya membabitkan aktiviti bersama,” katanya.

Kampung Labu Kubong pula sememangnya terkenal dengan landskap pelancongan luar bandar mempunyai pelbagai daya tarikan seperti sawah padi, kawasan bukit dan sungai.


PELANCONG asing mendengar penerangan mengenai aktiviti masyarakat setempat.

Meor Samsudin berkata, sekiranya pengunjung tidak kurang 20 orang, mereka boleh menyediakan persembahan kebudayaan masyarakat setempat dan aktiviti sukan rakyat.

“Menerusi program seperti ini kita dapat menonjolkan bukan saja keindahan kampung malah landskap alam semula jadi yang menenangkan selain memperlihat hubungan harmoni dalam kalangan masyarakat setempat.

“Kami mendapat maklum balas yang baik daripada pelancong dan Kampung Labu Kubong pula turut mendapat pengiktirafan daripada Kerajaan Negeri Perak serta Kementerian Pelancongan, Seni dan budaya (MoTac) sebagai Inap Desa Terbaik 2017,” katanya.


ACARA sukan tradisional mampu menguji mental dan fizikal.

Katanya, kewujudan persatuan itu juga membantu masyarakat setempat mengendalikan sesuatu acara dengan lebih tersusun kerana setiap ahli dalam organisasi mempunyai tanggungjawab masingmasing.

“Boleh saya katakan, purata setiap minggu kami menerima sekurangkurangnya satu bas pengunjung yang turut membabitkan program bermalam di inap desa milik komuniti setempat,” katanya.


AKSI pelancong dalam acara sukan rakyat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Oktober 2018 @ 12:55 PM