MALAYSIA diiktiraf sebagai destinasi pelancongan mesra Muslim oleh pelbagai entiti pengiktirafan pelancongan antarabangsa.
Hafiz Ithnin
hafizithnin@mediaprima.com.my

Kemegahan nama Malaysia dalam kalangan negara Islam di peringkat antarabangsa bukan sesuatu yang baru kerana kemampuan kita menjuarai pelbagai sektor berkait rapat dengan pembangunan Islam secara holistik.

Lebih membanggakan nama negara sering diangkat dan dijadikan penanda aras terbaik sebagai negara Islam yang mempraktikkan ajaran Islam sehingga mampu menarik perhatian masyarakat dunia lain untuk mengunjunginya.

Malah tidak hairan setiap tahun, nama Malaysia diiktiraf sebagai destinasi pelancongan mesra Muslim oleh pelbagai entiti pengiktirafan pelancongan antarabangsa yang melihat negara ini mempunyai pelbagai kemudahan dan pembangunan moden yang memenuhi kehendak dan tuntutan umat Islam.


KHIDMAT penerangan daripada pemandu pelancong penting bagi memberi maklumat tepat .

Pengarah Bahagian Pembangunan Industri Pusat Pelancongan Islam Zain Azrai Rashid berkata, Malaysia mempunyai pelbagai kemudahan untuk pelancong Muslim dari luar negara terutama ruang menunaikan ibadat sama ada masjid atau surau. Malah ketersediaan beraneka makanan halal juga menjadi daya tarikan kedatangan pelancong ke negara ini.

Beliau berkata, di Malaysia terdapat pelbagai jenis masjid yang mempunyai reka bentuk menarik sama ada yang lama dengan karakter dan sejarah tersendiri mahupun moden mampu menarik kehadiran pelancong asing terutama Muslim.


PELANCONG asing disediakan pakaian menutup aurat untuk melawat masjid.

“Bagi mereka yang bukan beragama Islam, masjid atau tempat ibadat masyarakat Muslim di Malaysia juga menjadi destinasi lawatan mereka kerana kita mempunyai pelbagai konsep binaan yang menarik. Malah, aktiviti di dalam masjid itu sendiri menaikkan rasa ingin tahu pelancong kerana ramai menyangka masjid tidak boleh dilawati.

“Lebih menarik adalah kita mempunyai pelbagai kakitangan bukan dari badan kerajaan yang menjadi sukarelawan memberi penjelasan kepada pelancong asing mengenai ajaran Islam di Malaysia yang bersifat mesra, mementingkan keharmonian dan menolak keganasan,” katanya.


MASJID Kampung Hulu di Melaka mempunyai sejarahnya tersendiri.

Jelasnya, penjelasan mengenai ajaran Islam di negara ini juga memberi pendedahan kepada pelancong luar negara dan tempatan khususnya yang bukan Muslim bahawa Islam adalah agama yang harmoni.

Katanya, ada juga pengunjung asing yang datang ke Malaysia untuk melihat sendiri bagaimana masyarakat Islam tempatan melaksanakan ibadat seperti solat lima waktu dan aktiviti yang meriah sepanjang Ramadan.

“Sukarelawan di masjid memainkan peranan penting bagi menjelaskan kepada pengunjung mengenai cara masyarakat Islam bersembahyang. Ada juga pelancong bukan Muslim yang teruja untuk mengunjungi masjid semata-mata untuk mendengar laungan azan.

“Ketika Ramadan pula, pelancong asing sememangnya gemar mengunjungi Malaysia kerana bukan saja meriah dengan aktiviti kerohanian di masjid bahkan mereka mahu menikmati sendiri kesibukan suasana di bazar Ramadan,” katanya.


KECANTIKAN reka bentuk masjid di Malaysia jadi daya penarik .

Pada Jun 2016, badan pengiktirafan kajian pelancongan antarabangsa, CresentRating dan Master Card menerusi Laporan Pelancongan Ramadan mendapati Malaysia destinasi pelancongan terbaik dunia dan diunjurkan kekal di kedudukan itu sehingga 2026.

Pada tahun lalu, menerusi Anugerah Pilihan Pengembara TripAdvisor menyenaraikan tiga masjid di negara ini iaitu Masjid Putra (Putrajaya), Masjid Negara (Kuala Lumpur) dan Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (Shah Alam) sebagai 10 mercu tanda terbaik di Malaysia.

Zain berkata, kejuaraan Malaysia dalam industri halal juga menjadi elemen penting yang menarik kehadiran pelancong Muslim kerana mereka mudah mendapatkan makanan dan produk halal.


PEMANDANGAN Masjid Kristal dilimpahi cahaya pada waktu malam menjanjikan panorama menarik.

Katanya, lebih membanggakan sijil halal yang dianugerahkan kepada pemain industri tempatan daripada badan pensijilan halal negara mempunyai prestij, diperakui seluruh dunia dan tidak diragui.

“Di negara ini pelancong boleh mendapatkan makanan halal di mana-mana saja dan boleh dikatakan semua restoran makanan segera berjenama antarabangsa juga mempunyai pensijilan halal.

“Perkara ini memainkan peranan penting untuk pengembara Muslim kerana mereka tidak akan dapat kemudahan seperti ini di negara lain. Kita juga menjadi rujukan negara lain untuk mempunyai kemudahan seperti ini,” katanya.


REKA bentuk moden masjid tempatan mampu membuat pelancong teruja.

Ujarnya, kepakaran Malaysia mewujudkan kemudahan makanan halal kepada pelancong Muslim antarabangsa membantu negara untuk menerokai pasaran halal dunia di mana Asean sahaja terdapat 255 juta penduduk Islam dan 1.8 bilion umat Islam di seluruh dunia.

Katanya, Taiwan dan Jepun kini menjadikan Malaysia sebagai petunjuk bagi membangunkan industri pelancongan makanan halal kerana menyedari bahawa status halal mampu memberi kesan positif dalam pelbagai cabang industri.

Tambahnya, Malaysia bukan sekadar menjadi rujukan kepada negara bukan Islam malah negara ahli dalam Pertubuhan Negara-negara Islam (OIC) seperti Dubai juga mahu menjadikan Malaysia sebagai model dalam membangunkan konsep pelancongan mesra Muslim.


MERAKAM foto di dalam masjid menjadi antara aktiviti menarik buat pelancong.

“Kita sememangnya bertuah kerana lebih ke hadapan dalam membangunkan konsep mesra pelancongan Muslim yang bukan saja memberi kesan kepada industri pelancongan tempatan tetapi kini menjadi rujukan negara asing sekali gus memberi manfaat kepada perkembangan ekonomi negara.

“Menerusi kajian yang dilaksanakan oleh Thomson Reuters, perbelanjaan pelancongan Muslim dunia mencecah AS$169 bilion atau sekitar RM692 bilion setahun dan ia menunjukkan industri pelancongan mesra Muslim masih sangat luas untuk diteroka,” katanya.


KEUNIKAN kaligrafi khat menarik minat pelancong.

Selain itu, elemen lain yang menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan mesra Muslim sudah tentunya keharmonian beragama diamalkan oleh masyarakat setempat yang sentiasa menghormati antara satu sama lain.

“Ramai kagum dengan kebolehan kita mengamalkan konsep kebebasan beragama secara aman apatah lagi membabitkan pelbagai kaum dan budaya meskipun Islam adalah agama rasmi. Ia mencerminkan masyarakat di negara ini hidup aman dan menolak keganasan,” katanya.


ANTARA sejarah Nabi Muhammad di Muzium Kesenian Islam di Malaysia .

10 lokasi popular tarikan pelancongan mesra Muslim di Malaysia

1. Muzium Kesenian Islam Kuala Lumpur

2. Nasrul Quran, Putrajaya

3. Taman Tamadun Islam, Terengganu

4. Masjid Negara, Kuala Lumpur

5. Masjid Sultan Salahuddin Abd Aziz Shah, Shah Alam

6. Masjid Zahir, Alor Setar

7. Masjid Selat Melaka, Melaka

8. Masjid Kristal, Kuala Terengganu

9. Moroccan Pavilion, Putrajaya

10. Batu Bersurat Terengganu

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Ogos 2018 @ 1:45 PM