REKA bentuk moden Muzium Kesenian Islam Kuala Lumpur.
Hafiz Ithnin
hafizithnin@mediaprima.com.my

Mempunyai 12,000 koleksi asli berkaitan sejarah pembangunan Islam dari abad ketujuh sehingga ke-19, malah dikatakan menjadi lokasi rujukan sejarah Islam paling besar di Asia Tenggara, nama Muzium Kesenian Islam Kuala Lumpur sememangnya tidak asing dalam kalangan pelancong luar ke Malaysia.

Reka bentuk bangunan moden dan berhampiran Masjid Negara, menjadikan muzium swasta ini begitu indah dari luar sebelum pengunjung menerokai isi serta cerita di dalamnya.

Dibuka sejak 1998, muzium itu yang mempunyai 12 galeri utama dilihat begitu inklusif dalam menceritakan kemajuan Islam di pelbagai negara bermula di barat dunia Islam, Sepanyol sehingga berkembang pesat di Asia.

Kurator Muzium Nurul Iman Rusli berkata, 10 daripada 12 galeri berkenaan adalah galeri tetap iaitu untuk seni bina, al-Quran dan manuskrip, senjata dan persenjataan, mata wang, barangan kemas, seramik, kayu dan gaya hidup dan tekstil.

Beliau berkata, meskipun terdapat 12,000 koleksi pameran, hanya 2,500 barangan dipamerkan pada satu-satu masa dan sentiasa ditukar mengikut keperluan waktu tertentu.


BARANGAN dan peralatan persenjataan antara yang menarik untuk dilihat.

“Muzium ini mempunyai keunikan dan berbeza daripada muzium kesenian Islam yang lain terutama dari segi koleksi pameran asli yang pelbagai. Koleksi di sini juga datang dari pelbagai negara di dunia di mana pemilik koleksi bekerjasama dengan kami untuk mempamerkan barangan mereka di Malaysia.

“Selain itu, dua galeri lain iaitu galeri pameran sementara mempamerkan barangan yang khas hasil kerjasama dengan entiti luar seperti pihak kedutaan dan institusi sejarah antarabangsa. Kami juga mempunyai galeri utama yang mempamerkan karya fotografi berkaitan dunia Islam,” katanya.

Muzium itu dibuka setiap hari bermula jam 10 pagi hingga 6 petang, hanya ditutup pada Aidilfitri.

Bayaran masuk adalah RM14 untuk dewasa, RM7 untuk pemegang kad pelajar, RM7 bagi warga emas melebihi 60 tahun dan percuma buat kanak-kanak di bawah usia enam tahun. Sekiranya tiada pameran di galeri pameran khas, harga tiket dikurangkan RM2.

Selain mempunyai galeri pameran yang pelbagai, muzium berkeluasan 300,00 kaki persegi itu turut mempunyai kemudahan lain seperti restoran, ruang seminar dan perpustakaan.


KEPELBAGAIAN seni lukis ditawarkan kepada pengunjung.

Nurul berkata, muzium berkenaan menerima kunjungan antara 11,000 hingga 15,000 orang sebulan dan ia tidak sekadar menawarkan pertunjukan pameran kepada orang ramai malah terdapat pelbagai aktiviti lain yang boleh dilakukan.

Misalnya pada setiap Sabtu pihak muzium biasanya mengadakan aktiviti menulis kaligrafi Islam dan pada Ahad pula, acara bercerita dan kesenian lain.

“Jika ada pameran di galeri pameran khas, kami akan sediakan aktiviti yang bersesuaian untuk disertai pengunjung mengikut kesesuaian masa dan tema pameran berkenaan.

“Aktiviti yang bersifat interaktif ini penting untuk mempelbagaikan kegiatan pengunjung di muzium ini dan bukan sekadar melihat koleksi pameran dan membaca sejarah mengenainya sahaja,” katanya.


JUMLAH galeri pameran yang luas dan pelbagai konsep sesuai untuk dilawati seisi keluarga.

Katanya, muzium itu juga mempunyai perpustakaan yang menempatkan 20,000 tajuk berkaitan Islam dan ia dibuka kepada pengunjung yang membuat tempahan sahaja.

“Perpustakaan ini juga sering digunakan oleh pelajar tempatan dan luar negara untuk mencari rujukan mengenai kesenian Islam antarabangsa dan bagi mereka yang berminat untuk menggunakannya boleh memohon menerusi emel,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Ogos 2018 @ 1:16 PM