MASJID Panglima Kinta kaya dengan sejarah.
Hafiz Ithnin
hafizithnin@mediaprima.com.my

Usianya sudah menjangkau 120 tahun namun masih gah berdiri dan menyerlah walaupun dikelilingi pembangunan moden yang pesat. Kala ada yang memandangnya hanya sebuah masjid lama, dalam diam rumah ibadat itu sebenarnya adalah tanda cinta dari suami buat si isteri.

Jika di sebut Taj Mahal di India, ramai tahu ia adalah lambang cinta Shah Jehan yang mengabadikan rasa kasihnya kepada Mumtaz. Namun tahukah anda, di negara kita juga ada monumen cinta milik yang dibina Datoh Panglima Kinta Mohamed Yusof Lasam buat isterinya iaitu Masjid Panglima Kinta di Kampung Kuchai Ipoh, Perak.

Dibangunkan pada 1898, masjid itu kini menjadi salah satu mercu tanda utama di Ipoh dan sudah diwartakan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005 sebagai bangunan warisan oleh Jabatan Warisan Negara (JWN).

Mempunyai reka bentuk seni bina yang unik gabungan motif Moghul dan Neoklasik, masjid berkenaan yang turut dikenali sebagai Masjid Tengah satu ketika dahulu masih mengekalkan ciri klasiknya yang menjadi perhatian pengunjung sekiranya bertandang ke Ipoh.

Setiausaha Masjid Panglima Kinta Dr Adib Vincent Tung Abdullah berkata, masjid itu sememangnya menjadi tarikan pelancong tempatan dan asing untuk melihat sendiri keunikan dan mengetahui sejarah kewujudannya di tengah bandar berkenaan.


KAKITANGAN yang mesra pelancong menjadikan Masjid Panglima Kinta sering dikunjungi.

Beliau berkata, memandangkan Masjid Panglima Kinta kaya dengan elemen seni bina unik dan sejarah membabitkan masyarakat pembesar tempatan, ia menerima kunjungan secara purata 500 orang setiap bulan.

“Bilangan kunjungan pelawat asing ke masjid ini sebenarnya meningkat dari semasa ke semasa kerana kami mendapat sokongan daripada masyarakat setempat yang bersama-sama mempromosikan masjid ini kepada pelancong asing.

“Bagi masyarakat setempat, masjid ini mempunyai daya tarikan tersendiri dari segi agama, sejarah dan reka bentuk yang perlu dikongsikan dengan masyarakat luar,” katanya.

Adib berkata, bagi pengunjung luar yang datang ke masjid berkenaan juga disediakan perkhidmatan pemandu pelancong terdiri daripada ahli masjid itu sendiri bagi memberi penerangan dan melakukan pelbagai aktiviti lain.

Katanya, memandangkan Masjid Panglima Kinta sering menerima kunjungan pelancong asing, pihaknya menyediakan pemandu pelancong yang fasih berkomunikasi dalam tiga bahasa iaitu Bahasa Malaysia, Inggeris dan Mandarin.


KEUNIKAN reka bentuk menjadi tarikan pelancong.

“Pemandu pelancong di dalam masjid yang fasih dalam ketiga-tiga bahasa ini penting bagi membolehkan mereka memberi penjelasan kepada pelancong yang datang dari pelbagai negara. Kami mahu orang ramai yang berkunjung ke sini menerima perkhidmatan profesional.

“Meskipun mempunyai pemandu pelancong, pihak masjid tidak mengenakan sebarang bayaran kepada pelancong asing kerana kami ingin menjadikan masjid ini sebagai lokasi rujukan orang ramai mengenai Islam,” katanya.

Masjid Panglima Kinta yang beroperasi setiap hari menyediakan perkhidmatan pemandu pelancong dari jam 9 pagi hingga 6 petang sahaja dan berhenti seketika pada waktu solat Zuhur dan Asar.

Berhampiran masjid itu juga terdapat sebuah madrasah lama yang menjadi antara pusat pendidikan Islam terawal Ipoh.

Menurutnya, pelancong yang datang ke masjid itu turut diberikan jubah bagi menutup aurat sekiranya mereka tidak memakai pakaian yang bersesuaian bagi menghormati adab memasuki masjid.


PELANCONG asing diberikan jubah khas untuk meninjau kawasan di dalam masjid.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Ogos 2018 @ 1:08 PM