PEMANDANGAN indah di Yehliu Geopark.
TAIPEI Grand Mosque yang sarat dengan sejarah.
SUDUT keindahan berbeza Sun Moon Lake ketika petang.
BAHAN mentah untuk sajian stimbot di Tea & Rice Resort.
LAKARAN ringkas di pintu masuk untuk makluman pengunjung Tajin Moroccan Cuisine adalah restoran halal.
DEKORASI menarik di Aladdin Restaurant.
PERALATAN tradisional petani Taiwan turut dipaparkan di Tea & Rice Resort.
JANGAN lupa mencuba Mesona Herbal Tea di Aladdin Restaurant.
KAMI merakam kenangan ketika di Tea & Rice Resort.
Hartini Mohd Nawi
hartini@hmetro.com.my


Percutian ke luar negara lebih lengkap jika mudah mendapatkan makanan halal dan menunaikan solat fardu.

Itu pengalaman yang dilalui penulis ketika mengikuti China Airlines Muslim Travel Agent and Media Fam Trip ke Taiwan selama enam hari lima malam, baru-baru ini.

Lawatan yang membabitkan empat media, dua blogger dan sembilan ejen pelancongan dianjurkan China Airlines dan Pejabat Taiwan Tourism Bureau Kuala Lumpur.

Sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Taoyuan kami dibawa menikmati sajian makan tengah hari di City Suites Taoyuan Gateway, iaitu Restoran Mesra Muslim (MFR) yang turut mendapat pengiktirafan daripada Persatuan Cina Muslim.

Makanan yang disajikan dalam pinggan dan mangkuk tertulis perkataan halal juga membuatkan kami lebih teruja.

Ditambah dengan keenakan pelbagai jenis sajian menyelerakan dari masakan tradisional Taiwan hingga yang sinonim dengan Malaysia iaitu ikan masak stim bersama semangkuk nasi putih.

Pengalaman singgah dan menunaikan solat di Taipei Grand Mosque, Taipei City pula antara permulaan lawatan yang menarik.

Daripada tujuh masjid di Taiwan, Taipei Grand Mosque antara yang tertua dan siap sepenuhnya pada 1960.

Terdapat kira-kira 500,000 masyarakat Muslim di Taiwan membabitkan pengunjung, penyelidik, penuntut dan pekerja dalam pelbagai bidang.

Berada di Shilin Night Market pula, mata menjadi rambang dek aneka cenderahati tempatan dijual di situ.

Semakin malam, suasana di pasar itu kian meriah dengan limpahan lampu, lorong gerai dan pengunjung asing serta tempatan dari pelbagai lapisan usia.

Terletak di daerah Shilin Taipei, Shilin Night Market ini hanya 70 meter dari Stesen MRT Jiantan antara Dadong Rd, Danan Rd, Wenlin Rd dan Jihe Rd. Lelong lorong diisi dengan pelbagai barangan tempatan, tradisional dan antarabangsa yang menarik perhatian.

Usai ke pasar itu, kami dibawa menikmati malam malam di Halal Bismilla Restaurant iaitu antara Muslim Restoran yang popular di Taipei City.

Menawarkan pilihan masakan Thai yang lazat dengan harga berpatutan membuatkan suasana menjamu selera lebih menyeronokkan bagaikan berada di menikmati sajian enak Thai di Malaysia.

Hari pertama mengenali Taipei City, U Hotel Taipei pula menjadi tempat penginapan sulung kami.

Menariknya, U Hotel Taipei turut tersenarai antara Pelancongan Mesra Muslim (MFT) di negara itu dan anda tidak perlu ragu-ragu untuk menikmati sarapan di restorannya yang dikategori sebagai MFT.

Jadual hari kedua mengajak kami menaiki Keretapi Berkelajuan Tinggi Taiwan (THSR) dari Taipei City ke Taichung City.

Sampai saja di Taichung City, menuju pula ke Puli sebelum menikmati makan tengah hari di Tsai Food Restaurant yang juga MFR.

Berada di Sun Moon Lake antara tasik terbesar di Taiwan dan menawarkan pemandangan indah serta pelbagai tarikan.

Malah sebilangan besar hotel resort dan inap desa berada di sekitar tasik. Tinggal sekurang-kurangnya satu malam di situ untuk anda berpeluang menyaksikan pemandangan tasik yang berbeza sama ada senja atau ketika matahari terbit.

Seterusnya makan malam dan menginap di Tai Yi Red Maple juga memberikan pengalaman luar biasa. Malah kawasan itu juga turut diiktiraf sebagai MFR dan MFT.

Kunjungan ke Leofoo Village Theme Park juga tidak lengkap jika anda tidak mencuba permainan mencabar di taman tema itu sebelum menikmati makan tengah hari di Aladdin Restaurant, yakni MFR. Jangan lepaskan peluang mencuba sajian ala Arab di restoran MFR itu selain ruang menunaikan solat disediakan.

Petang, dalam kabus tebal kami berpeluang menjejakkan kaki di Xiaoyoukeng iaitu kawasan geologi aktif bekas letusan gunung berapi seperti kawah dan kolam air panas.

Makan malam, penginapan dan sarapan di Atami Hotel nyata bermakna kerana tersedia kemudahan menunaikan solat, restoran MFR dan hotelnya juga MFT.

Esoknya, hari keempat membawa kami ke Yehliu Geopark, Wanli, New Taipei City.

Lapisan batu-batuan yang mengandungi batu kapur terbentuk hasil daripada hakisan, cuaca dan pergerakan bumi menjadi tarikan luar biasa untuk anda berkunjung ke situ.

Di samping itu, penuhkan jadual percutian anda dengan mengunjungi Tea & Rice Resort (MFR) untuk makan tengah hari dan mencuba sendiri aktiviti mengenali serta menghasilkan kuih daripada beras tempatan.

Berada jauh di kaki bukit iaitu di Toucheng Leisure Farm, nyata mendekatkan anda dengan persekitaran semula jadi termasuk ladang buah-buahan, sawah padi lengkap rumah petani.

Sajian makan malam MFR di situ juga tidak kurang menyelerakan. Tidak terkecuali kemudahan selesa untuk penginapan di Toucheng Leisure Farm itu.

Hari berikutnya, sebelum ke Taipei 101, kami sempat menikmati makan tengah hari di MR Tajin Moroccan Cuisine yang turut menyediakan ruang menunaikan solat.

Selepas berada di Taiwan Tourist Bureau, kami makan malam di Halal Beef Noodles Restaurant sebelum menginap di Amba Taipei Ximending Hotel (MFT).

Diari hari terakhir dilengkapi dengan menghasilkan sendiri kuih tart di Vigor Koba-Pineapple Cake Dream Factory, makan tengah hari di Chateau de Chine diiktiraf sebagai MFR.

Longgang Mosque pula menjadi masjid terakhir untuk kami singgah menunaikan solat sebelum ke Gloria Outlets dan berlepas pulang ke Malaysia.

Berminat ke Taiwan? Kunjungi Pameran Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) Fair bermula 8 hingga 10 September ini di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Ogos 2017 @ 12:02 AM