NORHANA, pengasas Kengkawan Project. FOTO Mohd Yusni Ariffin
Nurul Husna Mahmud
nurul_husna@hmetro.com.my

MENGORAK langkah dalam dunia kemanusiaan menerusi badan bukan kerajaan (NGO) Kengkawan Project bukanlah disebabkan populariti atau mahu mencipta nama bermodalkan kebajikan. Sebaliknya Norhana Osman Haron menganggap kerja kebajikan adalah amalan untuk bekalan kemudian hari.

Kata Norhana, mengukuhkan lagi pembabitannya dalam setiap kerja kebajikan ialah ruang dan kelapangan diberikan kepadanya dalam meniti perkahwinan selama 17 tahun tanpa anak.

“Saya tiada idola melainkan Rasulullah SAW dan itulah setiap kata, perlakuan dan amanat ditinggalkan baginda kepada umat, saya lihatnya contoh terbaik.

“Idola selain Rasulullah, ibu tercinta Kamariah Abdul Samad yang sentiasa berpesan kepada supaya berbuat baik selagi hidup. Itulah menjadi penguat kepada kerja kemanusiaan saya lakukan bersama suami.

“Pada saya, mungkin kehidupan orang lain sibuk dengan kerjaya pada masa sama menguruskan anak. Saya rasa 24 jam yang Allah pinjamkan kepada saya dan suami, adalah untuk membuat kerja-kerja kebajikan ini.

“Malah kami lihat dalam hadis mengenai amalan bakal dibawa peneman kemudian hari, antaranya ialah doa anak soleh. Mungkin kami tidak dikurniakan anak tetapi kami berharap ada seorang dua daripada anak yang pernah dibantu mendoakan kami apabila sudah tiada kelak,” katanya.


BERSAMA sukarelawan yang membantu kerja amal Kengkawan Project. FOTO Ihsan Kengkawan Project

Menceritakan perjalanan Kengkawan Project yang melaksanakan pelbagai misi kebajikan di dalam dan luar negara, Norhana berkata, NGO bukanlah dunia ‘perlumbaan’ sebaliknya ‘tanggungjawab’ yang dikongsi bersama.

“Sejak kami bergerak pada 2013, kami tidak letak kredit sebagai keutamaan sebaliknya manfaat penerima adalah paling penting. Maka, mengenai misi kami jalankan sehingga ke misi antarabangsa, selalunya kami akan berkolaborasi dengan NGO berkaitan.

“Saya lihat kerja kemanusiaan umpama makan sebiji kek yang dipotong. Kami mewakili sepotong kek, manakala NGO sedia ada mewakili potongan lain.


PERKONGSIAN kisah teladan daripada pengalaman individu sebenar. FOTO Ihsan Kengkawan Project

“Andainya NGO itu pakar mengenai misi di Syria, biarkan mereka terus membantu mangsa peperangan itu. Jika NGO lain pakar dalam sumbangan makanan, mereka akan pastikan agihan makanan sampai kepada golongan memerlukan sumbangan terbabit.

“Saya pula bersama rakan, fokus kami sama ada berkolaborasi dengan NGO sedemikian atau menjalankan projek yang kami sedia mahir. Setiap orang itu ada kekuatan dan andai bermanfaat untuk orang, apa salahnya kita memberi sokongan antara satu sama lain,” katanya.

Menceritakan mula dalam terbabit kerja kebajikan, Norhana menjelaskan ketika melakukan umrah bersama sekumpulan rakan pada 2013 merintis ke penubuhan Kengkawan Project sehingga hari ini.


NORHANA bersama suami dan rakan di Kemboja. FOTO Ihsan Kengkawan Project

“Projek pertama kami bermula ketika melakukan umrah bersama rakan di Makkah. Saya perhatikan pekerja membersihkan Masjidil Haram 24 jam bertungkus-lumus membersihkan kawasan ibadat untuk keselesaan jemaah.

“Itu yang gerakkan saya serta suami untuk agihkan sumbangan sarapan percuma. Kemudian kami teruskan di Malaysia apabila Ustaz Don yang mengiringi jemaah ketika itu menyarankan agar teruskan kerja kebaikan terbabit.

“Justeru sebaik pulang ke Malaysia, kami mulakan dengan projek pemberian sarapan percuma kepada pekerja Alam Flora. Alhamdulillah, dalam pelbagai misi kami lakukan, projek ini masih berlangsung sehingga hari ini,” katanya yang sudah masuk tahun keenam.


MENGAGIHKAN sarapan percuma kepada pekerja Alam Flora. FOTO Ihsan Kengkawan Project

Menceritakan kerja kemanusiaan yang memberikan kepuasan kepada dirinya, kata Norhana, ada lagi pencapaian peribadi disifatkan paling bermakna buat dirinya.

“Satu lagi yang saya rasa penting mengenai kisah boleh dikongsikan dengan umum ialah pengalaman peribadi pembabitan dalam menerbitkan rancangan Hadith Open Mic.


DAPAT menarik pelbagai golongan menghayati hadis secara lebih santai. FOTO Ihsan Kengkawan Project

“Ini saya rasa antara ‘bekalan lain’ untuk kemudian hari yang mana saya dan suami terbitkan daripada perkongsian terbuka mengenai kisah hidup individu biasa dikaitkan dengan hadis ke rancangan agama popular.

“Asalnya saya dan suami gemar menonton ‘gigs’ dan terfikir ketika itu, kalau nyanyian dan komedi boleh datang dalam format begini, tentu orang biasa suka berkongsi dengan potongan hadis yang dekat dengan kisah hidup mereka.


KELUARGA Norhana sentiasa beri sokongan. FOTO Ihsan Kengkawan Project

“Mulanya rancangan itu hanya dengan 12 orang dalam kalangan kenalan kemudian diikuti orang ramai yang sudi kongsikan pengalaman mereka. Hingga hari ini boleh saya panjatkan rasa syukur ia memberi manfaat kepada jutaan penonton.

“Impak program agama pendekatan santai itu tempat saya belajar setiap hari mengenai kehidupan,” katanya.

Kata Norhana, dia tidak sangka program agama itu menerima pengiktirafan dunia apabila menggondol anugerah Best Lifestyle Programme Malaysia di Cannes, Perancis, mengalahkan pencabar program gaya hidup lain.


NORHANA dan suami, Faizal gemar melancong secara. FOTO Ihsan Kengkawan Project

“Saya hanya melakukan sesuatu yang di atas kapasiti saya untuk agama. Saya berharap dan percaya lebih ramai akan melakukan sesuatu seperti dilakukan saya dan suami, malah lebih baik daripada saya,” katanya yang juga bersyukur menerima maklum balas program itu daripada masyarakat umum termasuklah membantu selamatkan remaja 16 tahun daripada membunuh diri.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Oktober 2019 @ 6:15 AM