GAMBAR hiasan.
Sudirman Mohd Tahir
sudirman@hmetro.com.my


KEBANJIRAN pelawak tempatan yang lahir daripada program realiti sejak hampir 10 tahun lalu memberi warna baru dalam dunia penyiaran.

Bukan sahaja popular dan menjadi kegilaan tetapi mereka mendapat permintaan tinggi daripada pihak stesen TV untuk membuat kemunculan.

Sedikit demi sedikit berlaku perubahan apabila mereka mula diangkat menjadi pengacara dan penyampai radio untuk tujuan gelak tawa dan hiburan.

Namun, dalam tidak sedar mereka melanggar hukum kemanusiaan apabila dengan sengaja memperlekeh fizikal rakan gandingan dengan alasan sekadar bergurau.

Malah, ada yang jenis mulut tak ada insurans turut menjadikan penonton atau sesiapa sahaja sebagai bahan asal saja ia ada kaitan dengan apa yang ingin disampaikan.

Tanpa memikirkan hati dan perasaan orang, gelak dan tawa terbahak-bahak menjadi ukuran betapa ia sesuatu yang menyeronokkan.

Bagi pelawak yang bergelar pengacara, mungkin ia satu kebiasaan atau kewajiban. Jika tidak, seperti kurang perasa dalam pengacaraan.

Bimbang dikatakan hambar dan bosan, jadi inti ‘membahan’ satu kemestian.

Saya percaya, ia menjadi kebimbangan setiap penerbitan. Malah, sudah diberi garis panduan tetapi kalau sudah namanya manusia, tidak semua yang dirancang menjadi kenyataan.

Pelawak pula DNA mereka mestilah spontan. Itu baru dianggap satu kesempurnaan apabila maksudnya berjaya disampaikan. Meski ada yang terguris, ia tidak lagi dianggap kesalahan sebaliknya ibarat kemenangan.

Menyentuh isu pelawak yang gemar menjadikan fizikal seseorang sebagai bahan, Nabil Ahmad antara pelawak yang seakan-akan tidak serik dan seolah-olah menjadi ‘makanan’ apabila muncul di pentas pengacaraan.

Sudah beberapa kejadian membabitkan dirinya diperkatakan hingga dilabel sangat keterlaluan. Namun, kejadian sama tetap berulang tanpa ada penyesalan.

Walaupun ungkapan maaf disampaikan, Nabil sepertinya tidak belajar daripada kesilapan. Adakah sebab sudah ketandusan idea dalam penyampaian perkara sama diulang secara berterusan?

Begitu juga dengan Johan yang hampir disaman Ogy Ahmad Daud hanya kerana penggunaan perkataan tua yang ditujukan kepada dirinya selain memperkotak-katikkan arwah ibu bapanya dalam program siaran langsung yang dianggap Ogy satu penghinaan.

Tidak terkecuali, apabila ada antara pelawak yang menjadi pengacara ini sesuka hati memperlekeh rupa paras, warna kulit dan asal keturunan.

Terdetik dalam fikiran, adakah elemen fizikal ini modal terbaik supaya orang ketawa dan bertepuk tangan? Tidakkah ada sekelumit sikap profesional dan ilmu dalam diri yang boleh memperlihatkan mereka seorang yang berpelajaran?

Kenapa tidak mahu belajar atau menceduk pengalaman yang ada pada pengacara seperti Datuk Aznil Nawawi, Awal Ashaari dan Alif Satar? Jika segan, boleh menonton program yang dikendalikan. Buang ego dan keangkuhan jika ingin kerjaya terus berjalan dan mencapai tahap kegemilangan.

Tulisan ini untuk teguran supaya timbul kesedaran dan jangan diulang. Kita ingin bidang pengacaraan kembali dipandang bukan hanya kerana pengisian tetapi juga penyampaian.

Siapa pun yang menjadi pengemudi rancangan, ia bukan lagi faktor kehebatan tetapi penonton mahukan pembaharuan tanpa ada lagi unsur menghina fizikal seseorang.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Oktober 2019 @ 12:08 PM