Zaitie Satibi
zaisa@hmetro.com.my


INSIDEN bertekak dengan pendaftar Maktab Mara (kini Universiti Teknologi Mara atau UiTM) kerana sewenang-wenang menukar kursus pengajiannya daripada bidang Kesetiausahaan ke Seni Lukis antara pengalaman masih dikenang Profesor Datuk Raja Zahabuddin Raja Yaacob sehingga kini biarpun ia sudah lebih 50 tahun berlalu.

Ini kerana, bertitik tolak daripada insiden itu, secara tidak langsung mengubah hala tuju beliau yang berasal dari Kuala Kangsar, Perak menjadi insan seni yang mempunyai bakat sangat hebat dengan catatan perjalanan yang mengagumkan.

Bakatnya dalam seni anugerah dikurniakan Tuhan dan sudah melukis sejak kanak-kanak lagi. Raja Zahabuddin, 71, ketika kecilnya menjadikan dinding rumah datuknya sebagai kanvas untuk berkarya.

Beliau yang dibesarkan datuk dan nenek berikutan ibu bapanya menetap di Terengganu, asyik melukis di dinding sebaik pulang dari sekolah.

Menyedari minat Raja Zahabuddin dalam seni lukis, datuknya membuat sendiri papan untuk melukis supaya beliau tidak lagi melukis pada dinding. Selain itu, dia juga dibelikan peralatan lukisan.

Bakat seni beliau terus mekar seiring dengan usia, malah sentiasa memperoleh keputusan cemerlang dalam subjek seni ketika bersekolah di Sekolah Clifford Kuala Kangsar. Namun, bakat seninya itu tidak mempengaruhi keputusan melanjutkan pengajian ke Maktab Mara apabila memilih kursus Kesetiausahaan.


RAJA ZAHABUDDIN (duduk kiri) bersama Pengarah Yayasan Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia, Ahmad Zakie Ahmad Shariff (tengah) dan pelukis pada Pameran Seni Khat Islam Kontemporari pada 2018.

“Saya terima surat tawaran kemasukan ke Maktab Mara tetapi terkejut apabila diminta mendaftar untuk kursus Seni dan Reka Bentuk. Tidak puas hati dengan tawaran itu, saya kemudian menemui pendaftarnya bagi mendapatkan penjelasan.

“Agak lucu bila dikenang kembali kerana saya ketika itu berasa marah kerana tidak mendapat tempat dalam kursus dipohon. Namun, saya dimaklumkan keputusan cemerlang subjek Seni dalam School Certificate membolehkan saya dipilih ke kursus berkenaan.

“Akhirnya, saya akur dengan tawaran berkenaan selepas dipujuk pendaftar yang bertanya, adakah saya suka melukis? Saya kemudian diminta menghadiri temuduga untuk kemasukan kursus dan ditemuduga sendiri oleh Tan Sri Dr Arshad Ayub yang juga pengarah maktab ketika itu,” katanya.

Beliau berkata, ketika proses temu duga, beliau diminta melukis di hadapan Dr Arshad sebelum terpilih menyertai kumpulan pertama 33 pelajar mendaftar melanjutkan pengajian di kursus Seni dan Reka Bentuk yang diasaskan pada 1967.

“Pada peringkat awal hanya tiga program ditawarkan iaitu Seni Halus, Tekstil dan Rekaan Industri dengan tempoh pengajian selama empat tahun dengan tahun pertama adalah kursus asas. Studio sementara dan bilik darjah kami ketika itu terletak di Taman Petaling (Petaling Jaya),” katanya.

Namun demikian, Maktab Mara kemudian mengarahkan Raja Zahabuddin melanjutkan pengajian kursus rekaan grafik ke London biarpun baru setahun lebih beliau belajar di maktab itu.


MENGIRINGI Exco Kebudayaan, Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan Selangor, Datuk Abdul Rashid Asari (kiri) pada Pameran Terbuka Galeri Shah Alam pada 2018.

“Saya dipanggil pensyarah, Ibrahim Ismail, ke biliknya dan diminta membuat persiapan ke London. Saya sangat terkejut dan menganggapnya sebagai gurauan. Namun, disangkalkan serta diberitahu keputusan itu adalah arahan pihak atasan.

“Segala dokumen sudah disiapkan dan saya hanya diminta mengemas pakaian untuk berlepas tiga minggu lagi. Pada usia 18 tahun ketika itu, saya tidak terfikir untuk ke luar negara, tambah lagi berkunjung ke London adalah impian kebanyakan orang.

“Malah, ramai juga tertanya-tanya, apa pekerjaan yang akan saya buat sebaik kembali ke tanah air kerana pada ketika itu, penerimaan orang ramai terhadap bidang seni di Malaysia masih rendah,” katanya.

Sudah tersurat buat Raja Zahabuddin untuk kembali menabur bakti ke fakulti lamanya di Maktab Mara yang kemudian secara rasminya dinaik taraf menjadi Institut Teknologi Mara. Beliau memulakan tugas sebagai pensyarah fotografi dan rekaan grafik pada 1973 sehingga 2004.

Beliau bersara daripada UiTM pada 2005, namun khidmatnya ditagih apabila dilantik menjadi Dekan Fakulti Seni Industri dan Teknologi Reka Bentuk di Universiti Selangor (UNISEL) setahun kemudian.

Selain dilantik sebagai dekan fakulti berkenaan, tugas Raja Zahabuddin menjana, merancang dan menubuhkan fakulti baharu itu dengan empat program perintis peringkat diploma dan ijazah dalam kursus Rekaan Grafik Digital serta Teknologi Fotografi sehingga 2017.


BERSAMA penerbit dan pengarah filem, U-Wei Haji Saari, yang

Biarpun lebih 40 tahun mendidik, ia tidak membataskan masa Raja Zahabuddin untuk berkarya. Beliau mengadakan banyak pameran seni di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak. Pada masa sama beliau memperkenalkan potensi bidang seni kepada masyarakat supaya ia terus dihargai.

Raja Zahabuddin juga pereka setem tersohor di Malaysia sejak 1984 sehingga kini. Beliau adalah insan bertanggungjawab di sebalik lebih 20 rekaan setem sama ada rekaan khas hari pertama dan setem harian di negara kita.

Antara setem khas yang direka seperti Ulang Tahun Ke-10 Kuala Lumpur pada 1984, Persidangan Parlimen Komanwel Antarabangsa Ke-33 (1987), Pembukaan Rasmi Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (1988), Pertabalan Yang Dipertuan Agong Ke-9 (1989) dan Pemahkotaan Sultan Johor (2014).

“Kali pertama diminta mereka setem khas oleh pihak Pos Malaysia Bhd juga antara kenangan manis saya sepanjang berada dalam bidang ini. Awalnya, saya anggap pihak Pos Malaysia bergurau tetapi mereka mahukan khidmat saya selepas banyak mendapat maklumat mengenai karya saya menerusi akhbar.

“Saya anggap tugas ini amat istimewa kerana bukan saja penghargaan daripada Pos Malaysia terhadap karya saya, bahkan setem banyak digunakan dalam urusan harian selain penggunaannya meluas sehingga ke luar negara. Secara tidak langsung lebih ramai orang dapat menikmati karya saya.

“Zaman dahulu sewaktu belum ada komputer, semua proses dibuat secara manual. Namun, segala kepayahan terbayar apabila setem khas yang direka ini terjual dalam tempoh beberapa jam malah ramai juga berebut mendapatkan tandatangan saya pada setem itu,” katanya yang kini dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Reka Bentuk Setem Pos Malaysia.


RAJA ZAHABUDDIN (kiri) dan Tan Sri Sanusi Junid menandatangani buku pelawat ketika Pameran Terbuka Galeri Shah Alam 2017.

Banyak lagi peranan dilakukan Raja Zahabuddin dalam bidang seni apabila dilantik sebagai hakim dan juri pelbagai pertandingan reka cipta logo, fotografi dan lukisan.

Kenangan manis lain Raja Zahabuddin dititahkan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, untuk menubuhkan Galeri Shah Alam bagi mengetengahkan hasil seni kepada masyarakat sebelum dirasmikan pada 1991.

“Galeri Shah Alam bawah pentadbiran Yayasan Seni Selangor Darul Ehsan, diilhamkan sendiri oleh baginda yang ketika itu Raja Muda Selangor berikutan meminati seni lukis dengan begitu mendalam. Baginda sebenarnya peminat karya saya apabila dalam diam, membeli banyak lukisan dihasilkan.

“Diminta membantu penubuhan galeri seni itu juga saya anggap gurauan, tetapi baginda sungguh serius mahu saya melakukannya. Galeri itu kemudian dibina di bangunan lama Pejabat Kebudayaan dan Pelancongan Negeri Selangor yang berbentuk Melayu tradisional.

“Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) kemudian melakukan kerja ubah suai terhadap bangunan itu dengan tujuan untuk memudahkan bagi menjalankan aktiviti-aktiviti seni Galeri Shah Alam. Bangunan dengan reka bentuk kehalusan seni bina Melayu tradisional dikelilingi tasik dan taman rekreasi menambahkan lagi nilai estetika,” katanya yang dilantik sebagai pengarah galeri pada Disember 2017.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Oktober 2019 @ 6:05 AM