MUHAMAD EIZAD RAMLI
Nor ‘Asyikin Mat Hayin
asyikin.mat@hmetro.com.my


PEGAWAI Waran 1 Teknisyen Marin Kuasa Gerak (TMK) Muhamad Eizad Ramli antara perwira yang terbabit dalam Op Daulat menentang pencerobohan pengganas Sulu di Lahad Datu, Sabah pada 2013.

Pembabitannya dalam operasi itu adalah pengalaman paling sukar dilupakan sepanjang 22 tahun berkhidmat dalam Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Apatah lagi insiden terbabit mengakibatkan kematian dalam kalangan anggota keselamatan negara.

Menurutnya, ketika insiden itu, beliau bertugas di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu dan membolehkannya terbabit secara langsung dalam Op Daulat.

“Pencerobohan pengganas bersenjata ke kawasan kampung tidak saja menakutkan penduduk malah keluarga saya.

“Keluarga saya mengambil keputusan mahu pulang ke Semenanjung kerana bimbangkan keselamatan,” katanya.

Bagaimanapun, dia dapat meyakinkan keluarganya mengenai kemampuan anggota keselamatan menyelesaikan perkara itu.


Muhamad Eizad berkata, jiwa anggota keselamatan mudah ‘terusik’ jika berlaku sesuatu insiden yang menggugat keselamatan negara.

“Anggota tentera sanggup berkorban demi negara meskipun nyawa sendiri menjadi pertaruhan.

“Semangat ini dipupuk ketika saya mula menyertai TLDM selain kerap didedahkan mengenai pengorbanan anggota pasukan keselamatan terdahulu.

“Apa yang pasukan keselamatan lakukan dan pertahankan pada hari ini adalah untuk kepentingan generasi akan datang,” katanya.

Menurut Muhamad Eizad, peranan TLDM adalah sebagai barisan hadapan menjaga perairan negara, Tentera Darat pula mengawal sempadan daratan manakala Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) memastikan ruang udara tidak diceroboh.

“Ramai tidak mengetahui peranan setiap pasukan keselamatan ini.

“Angkatan Tentera Malaysia mengambil alih sepenuhnya tanggungjawab menjaga negara apabila negara berada dalam keadaan darurat,” katanya.

Muhamad Eizad yang pernah mengikuti Kursus Sub-Kepakaran Kapal Selam berkata, satu lagi pengalaman menariknya ialah menyertai pelayaran ‘Seven Sea Sailor’ bersama Kapal Diraja (KD) Kedah di beberapa negara seperti Oman, Maldives dan China.

“Pelayaran selama empat setengah bulan itu adalah operasi menganalisis kesesuaian laluan dan pelabuhan tambatan untuk kapal selam pulang ke Malaysia.

“Ketika pelayaran, kami berdepan rintangan seperti ribut. Mungkin ada yang melihat belayar dalam kapal selama berbulan-bulan menyeronokkan tetapi hakikatnya, anak kapal berdepan dengan risiko yang tidak dijangka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Oktober 2019 @ 6:00 AM