AHMAD Rashidi ketika menyertai program #imaret4orangasli klinik bergerak di Gua Musang, Kelantan.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin
asyikin.mat@hmetro.com.my


WALAUPUN sibuk dengan tugas hakiki, Ahmad Rashidi Mohamed Tahir, 41, tidak terbeban dalam melaksanakan kerja kebajikan di luar negara.

Pensyarah dan ahli farmasi berdaftar di Fakulti Farmasi, Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya (CUCMS) ini melakukannya kerana yakin Allah SWT akan permudahkan urusan seseorang jika individu berkenaan memudahkan urusan orang lain.

“Tahun lalu, saya bersama enam rakan Pasukan Tindakan dan Bantuan Persatuan Perubatan Islam Malaysia (IMARET) (IMAM Response & Relief Team) ke Palu, Indonesia yang terjejas akibat gempa bumi serta tsunami.

“Antara yang menarik perhatian kami ialah satu bukit berketinggian kira-kira 10 meter. Ia terbentuk akibat pergerakan tanah dan banyak mayat tertimbus di bawahnya.

“Ia juga menjadi ‘kubur besar’ mangsa bencana,” katanya yang tiba di lokasi itu empat hari selepas kejadian tragedi itu.

Menurut Ahmad Rashidi, pasukannya ditugaskan sebagai pasukan peninjau untuk menentukan jenis bantuan sesuai buat mangsa.

AHMAD Rashidi tak terbeban sertai misi bantuan kemanusiaan di luar negara.

“Pada masa sama, kami mengenal pasti keperluan dan kepakaran sukarelawan yang bakal menyertai misi seterusnya,” katanya.

Menurut beliau, pasukannya berdepan cabaran bau busuk mayat di bukit berkenaan.

“Kami berusaha memberikan bantuan awal kepada mangsa dan walaupun sukar akibat keterbatasan peralatan dan sebagainya, kami bersyukur dapat membantu sebaik mungkin,” katanya.

Ahmad Rashidi berkata, pasukannya menerima panggilan kurang 24 jam untuk bertugas di Palu sejurus tragedi sekali gus menjadi kumpulan pertama dalam misi bantuan kemanusiaan berkenaan.

“Kami berada di Palu selama seminggu. Tidak mudah untuk kami sampai di Palu.

“Pasukan kami ke Makasar terlebih dahulu sebelum menaiki pesawat tentera ke Palu memandangkan banyak laluan darat terputus hubungan,” katanya.

Ahmad Rashidi berkata, berada di kawasan terjejas akibat bencana memang menerbitkan perasaan sedih berganda berbanding menyaksikannya di televisyen.

“Perasaan sama juga saya rasai ketika berada di kem pelarian Rohingya di Cox’s Bazar, Bangladesh pada 2017 yang menempatkan kira-kira sejuta pelarian.

MEMBERI makanan kepada Orang Asli.

“Di Cox’s Bazar, saya bertugas selaku pasukan perubatan bergerak IMARET dengan kerjasama ‘Charity Society of Bangladeshi Doctors’ (CSBD),” katanya.

Menurut beliau, kem terbabit terlalu sesak dan penghuninya pula mengalami pelbagai penderitaan akibat konflik di Myanmar.

“Setiap hari kami berdepan cabaran baharu tetapi kami berusaha untuk menyelesaikan amanah itu sebaik mungkin.

“Ini yang mendorong saya untuk terus aktif malah pengurusan CUCMS sangat menggalakkan kakitangannya terbabit dengan aktiviti kebajikan seperti ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 September 2019 @ 5:10 AM