SYED Kamarulhisham (kanan) berkhidmat dalam Unit EMRS. FOTO Zuliaty Zulkiffli
Zuliaty Zulkiffli
am@hmetro.com.my

PENGALAMAN menggali tanah menggunakan pengorek untuk mengeluarkan mayat yang tertimbus dalam tragedi tanah runtuh di Bukit Antarabangsa, Hulu Klang, Selangor pada 2008 sukar dilupakan Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Syed Kamarulhisham Syed Yahaya.

Ketika itu dia bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sekinchan, Selangor dan dibantu anggota dari beberapa balai cawangan bagi operasi mencari mangsa runtuhan di lokasi kejadian 6 Disember 2008.

Dalam kejadian itu, empat mangsa terkorban dan 15 yang lain cedera. Selain itu 14 banglo ranap dalam tragedi tanah runtuh di Taman Bukit Mewah dan Taman Bukit Utama, yang berlaku kira-kira jam 3.50 pagi.

Lokasi kejadian kira-kira 1.5 kilometer dari kawasan tragedi pangsapuri Highland Towers yang runtuh pada 11 Disember 1993.

Syed Kamarulhisham berkata, ketika kerja-kerja mengorek tanah di lokasi kejadian, berlaku pergerakan tanah yang menimbulkan rasa panik dalam kalangan anggota.

SYED Kamarulhisham. FOTO Zuliaty Zulkiffli

“Hari pertama kejadian, kami lihat mayat tersepit di celah runtuhan dan ketika itu tiada jentera berat boleh digunakan di atas bukit kerana kawasan itu bercerun dan curam.

“Kami mengambil inisiatif mengorek tanah bagi mengeluarkan mayat,” katanya yang kini bertugas sebagai Penyelia BBP Serdang, Kedah.

Syed Kamarulhisham berkata, sepanjang operasi pencarian, mayat dijumpai setiap hari dibawa turun menggunakan pengusung.

“Banyak agensi termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terbabit dalam operasi mencari dan menyelamat,” katanya.

BERSAMA rakan memeriksa peralatan dalam EMRS sebelum memulakan tugas. FOTO Zuliaty Zulkiffli

Selain itu, banyak pengalaman lain yang sukar dilupakan termasuk kemalangan ngeri dan kebakaran di tanah gambut yang mengambil masa hampir sebulan untuk kerja memadam api dan bara.

“Tugas sebagai penyelia berat kerana selain bertanggungjawab terhadap semua anggota bawahan, saya perlu pastikan semua operasi yang disertai berjalan lancar,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 September 2019 @ 6:01 AM