Zaitie Satibi
zaisa@hmetro.com.my

MENERIMA kekurangan anak yang menghidap Cerebral Palsy (CP) masih belum memadai bagi Wira Sudepja Rabu. Sebagai bapa mahukan yang terbaik, dia berusaha mencari jalan supaya anak istimewanya tidak ketinggalan dalam pelbagai aspek sama seperti kanak-kanak normal lain.

Wira Sudepja, 44, sentiasa berikhtiar untuk kemudahan dan peluang untuk anaknya, Nur Wadihan, 11, yang disahkan mengalami kelumpuhan otak itu sejak dilahirkan. Atas inisiatif itu, dia mewujudkan kumpulan aktiviti kecergasan beroda dinamakan Bikeisable untuk anak-anak istimewa.

Aktiviti berkenaan bertujuan memperkasakan keluarga yang mempunyai anak kelainan upaya, ia membolehkan anak istimewa yang tidak mampu bergerak sendiri menyertai acara berbasikal, larian mahupun jalan kaki yang sering dianjurkan pelbagai pihak bagi memupuk amalan gaya hidup sihat.

Kanak-kanak istimewa akan ditolak atas kerusi roda, basikal roda tiga atau kereta sorong mahupun dipimpin bagi yang boleh berjalan oleh ahli keluarga membolehkan mereka sama-sama menikmati kemeriahan acara berkenaan meskipun diuji dengan ketidakupayaan fizikal.


NUR Wadihan ketika kecil sangat sensitif kerana imunisasi lemah.

Menceritakan penubuhan Bikeisable yang secara tidak langsung menyampaikan mesej kepada masyarakat terutama orang kelainan upaya bahawa perbezaan bukan alasan untuk putus harapan, Wira Sudepja berkata, ia diasaskan kira-kira setahun lalu di bawah pertubuhan dan kumpulan sokongan untuk CP, Malaysia Advocates for Cerebral Palsy (MyCP).

“Kumpulan ini di peringkat awal bermula lapan keluarga dengan anak CP dan selepas diperkenalkan menerusi penyertaan dalam beberapa acara, ia kini disertai sebanyak 40 keluarga dengan anak pelbagai kelainan upaya.

“Antaranya autisme, sindrom Down, kecacatan tulang belakang dikenali spina bifida dan penyakit jarang jumpa seperti sindrom Prader-Willi (PWS).

“Ia tercetus daripada aktiviti yang sering dilakukan saya dan isteri, Nur Murni Dona Mohd Nordin, 45, bersama Nur Wadihan sejak lima tahun lalu. Kami sering membawa Nur Wadihan menyertai acara kecergasan dengan menolaknya atas basikal roda tiga selepas mendapati aktiviti sedemikian dapat merangsang perkembangannya.

“Aktiviti sebegini seolah-olah menjadi terapi untuk Nur Wadihan apabila dia didapati semakin ceria, malah imunitinya bertambah baik berbanding sebelum ini yang boleh dikatakan rapuh sehingga sering keluar masuk hospital,” katanya.


WIRA SUDEPJA berlari sambil menolak Nur Wadihan dalam basikal roda tiga.

Katanya, tiga tahun pertama menjaga Nur Wadihan detik paling mencabar berikutan imuniti anaknya lemah dan sensitif dengan persekitaran. Malah, Nur Wadihan mudah diserang penyakit sehingga mendapat jangkitan paru-paru dan hospital menjadi rumah kedua mereka.

“Kami sekeluarga kerap beraya di hospital semata-mata menemankan Nur Wadihan yang dimasukkan ke wad. Situasi itu membuatkan saya dan isteri fobia untuk membawa Nur Wadihan keluar rumah, apatah lagi bertemu orang ramai kerana bimbang terkena penyakit dan terpaksa dirawat di hospital.

“Demi menjaga kesihatan Nur Wadihan, kami terpaksa ‘mengurung’ anak istimewa ini dalam rumah dan kami sama-sama tidak keluar rumah kecuali bekerja atau ada urusan penting. Ia berlarutan sehingga usia Nur Wadihan enam tahun.

“Namun, keadaan itu mendatangkan kesan jangka panjang kepada saya dan isteri apabila kami pula mengalami masalah kesihatan seperti darah tinggi, cepat panik dan kerap sesak nafas akibat langsung tidak keluar untuk beriadah dan melakukan senaman,” katanya.

Wira Sudepja kemudian membawa Nur Wadihan keluar menghirup udara segar di lokasi riadah berhampiran kediaman mereka di Putrajaya dan pada masa sama dia serta isteri turut melakukan senaman ringan.


KEGIGIHAN Wira Sudepja berbasikal sambil membawa Nur Wadihan jadi inspirasi.

“Kami pilih kawasan tidak ramai orang sebagai langkah berjaga-jaga dan membawa Nur Wadihan dengan menolaknya atas kereta sorong. Mula-mula kami lakukan sejam seminggu dan tempoh masa itu ditambah selepas dua bulan kemudian selepas keadaannya dilihat stabil dalam persekitaran luar.

“Lokasi riadah yang dikunjungi sebenarnya tempat orang melakukan aktiviti berbasikal dan saya menyedari Nur Wadihan ketawa gembira setiap kali berselisih dengan kumpulan penunggang basikal. Ini mencetuskan idea melakukan aktiviti basikal untuk Nur Wadihan.

“Saya melakukan pencarian dalam Internet membeli basikal bersesuaian sebelum menemui basikal roda tiga tetapi perlu dibeli di luar negara menerusi jual beli dalam talian. Basikal roda tiga itu diubah suai seperti beca supaya dapat memberi keselesaan kepada Nur Wadihan,” katanya.


KELUARGA Bikeisable bersama anak istimewa dalam acara kecergasan disertai.

Acara pertama disertai Wira Sudepja bersama Nur Wadihan program KL Car Free Morning atau pagi tanpa kenderaan anjuran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan bertitik-tolak dari situ mereka menyertai pelbagai acara dan sehingga kini sudah merekodkan 150 penyertaan di seluruh negara.

Pencapaian paling membanggakan apabila Nur Wadihan menerima sijil Malaysia Book of Records (MBOR) disampaikan Pengurus Pembangunan Perniagaan MBOR Edwin Yeoh selepas mencatat rekod orang kelainan upaya lumpuh menamatkan acara Kerian Incredible Dualthon 2018 pada Ogos tahun lalu.

Dua beranak itu berjaya menamatkan larian dan kayuhan sejauh lima kilometer (km), seterusnya 32km dan 5km dalam kategori sprint selama tiga hingga enam jam. Ia dianggap mencipta rekod bagi golongan OKU memandangkan kebanyakan rekod sebelum ini dibuat oleh golongan istimewa yang boleh berdikari, berbanding Nur Wadihan yang lumpuh.

Tambah istimewa, Nur Wadihan turut menerima pengiktirafan sebagai ‘Most Extraordinary Malaysia’ untuk pemegang MBOR dipilih menerusi undian dalam media sosial, baru-baru ini.


MENERIMA pengiktirafan daripada MBOR selaku insan istimewa yang luar biasa.

“Ibu bapa yang ada anak kelainan upaya perlu terlebih dulu memahami keadaan dan keperluan anak istimewa sebaik-baiknya. Ini penting kerana ahli keluarga sendiri mesti belajar secara mendalam keadaan anak itu dan cara terbaik yang perlu dilakukan untuk membantu.

“Ini juga akan lebih memudahkan masyarakat memahami anak istimewa jika anggota keluarga mempunyai kefahaman mengenai keadaan anak istimewa. Masyarakat perlu tahu anak istimewa merujuk kepada anak-anak yang mempunyai keperluan khas sama ada secara fizikal, sosial mahupun emosi.

“Membabitkan anak istimewa dalam masyarakat adalah aktiviti inklusif dan membuka mata orang ramai mengenai kehadiran golongan istimewa dan perlunya kebersamaan komuniti dalam membantu akses serta kebolehan mereka untuk berdikari.

“Saya berharap usaha dilakukan ini membuka lebih banyak minda mengenai kewujudan anak-anak istimewa dan perbezaan keperluan mereka,” katanya.

Memahami kepelbagaian keperluan anak istimewa tanggungjawab semua ahli dalam masyarakat bukan hanya merujuk kepada kemudahan fizikal, malah sejauh mana masyarakat faham keperluan dan kepelbagaian orang kelainan upaya.

Wira Sudepja turut berkongsi maklumat kepada ibu bapa atau penjaga dengan anak istimewa yang berminat untuk turut serta dalam acara kecergasan menerusi laman media sosial MyCP. Beliau turut mewujudkan sokongan dalam kumpulan WhatsApp bagi memudahkan perbincangan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 September 2019 @ 7:00 AM