TENGKU Arman Haris. FOTO Azhar Ramli
Aniza Zainudin
anizazainudin@hmetro.com.my

MEMPERKASAKAN dan menaik taraf kehidupan rakan senasib membuatkan Tengku Arman Haris Tengku Ismail terus aktif dalam Persekutuan Orang Pekak Malaysia (MDF) hingga menggalas tanggungjawab sebagai presiden sejak tahun lalu.

Melihat peranan guru bahasa isyarat sebagai usaha penting, ia untuk membantu golongan orang pekak mendapat maklumat tepat.

Menurut Tengku Arman Haris, penyebaran maklumat tepat daripada kepemimpinan negara perlu dikongsi bersama golongan orang kurang upaya (OKU).

“Tidak dinafikan sumber informasi kami terhad. Hanya berita daripada stesen televisyen awam yang menyediakan bahasa isyarat dan pembacaan di Internet.

“Mengulas perkongsian di media sosial, saya tidak nafikan wujud kekeliruan fakta sama ada benar mahupun sebaliknya.


TERBUKA untuk berkongsi idea bagi membina negara. FOTO Azhar Ramli

“Malah tidak semua orang pekak boleh mengenal huruf dan membaca.

“Jika kami tidak mendapat maklumat, bagaimana untuk kami menyuarakan pendapat kepada kerajaan dalam perancangan negara.

“Saya berharap pelaksanaan dan penggunaan bahasa isyarat dapat dilakukan.

“Pada masa sama, kita turut menyediakan kelas bahasa isyarat kepada orang awam mahupun agensi di peringkat negeri, bukan saja di Kuala Lumpur.


PELUANG untuk ibu bapa membina anak. FOTO NSTP

“Menariknya, kita menerima sokongan daripada institusi pengajian tinggi dan jabatan kerajaan.

“Pada jangka masa panjang, kelebihan berbahasa isyarat dapat mempertingkatkan khidmat kerajaan atau badan tertentu kepada orang seperti kami,” katanya ketika berbual dengan bantuan penterjemah bahasa isyarat, Goh Soo Leng.


TENGKU Arman Haris berbicara dengan diterjemah Goh. FOTO Azhar Ramli

Mengulas isu pekerjaan, Tengku Arman Haris berkata, MDF turut mewujudkan inisiatif perniagaan sosial seiring dengan pembukaan dua kafe diuruskan orang pekak di Puchong dan Putrajaya.

Menerusi latihan berkenaan, golongan ini terdedah dengan alam dan pengalaman kerja sekali gus membolehkan mereka menyesuaikan diri di luar mahupun memulakan perniagaan masing-masing.

Selain itu, MDF juga aktif menganjurkan bengkel keusahawanan bagi memperlengkapkan pengetahuan anak muda menguruskan perniagaan mereka kelak.


BIDANG keusahawanan perlu diterokai. FOTO Khairul Azhar Ahmad

Bagi membantu golongan cilik yang mengalami masalah cacat pendengaran, MDF menyediakan taska dan tadika untuk mendidik anak OKU ini dengan lebih awal.

Berkongsi latar belakang keluarga, Tengku Arman Haris anak sulung daripada enam beradik dan menjadi satu-satunya anak yang mengalami kekurangan ini.

Katanya, sejak kecil dia berdepan masalah komunikasi apabila tidak semua ahli keluarga pandai berbahasa isyarat.

Pilihan yang tepat adalah berkomunikasi secara tulisan dan selalu membabitkan kesihatannya.


TURUT anjur kelas bahasa isyarat. FOTO Azhar Ramli

Selepas tamat belajar, Tengku Arman cuba bekerja di ibu kota selama setahun sebelum kembali ke negeri asal untuk menjaga keluarga sebaik pemergian bapa.

Bagi menampung keluarga, dia bekerja sebagai pelukis batik selama tiga tahun dan kemudian memulakan perniagaan batik sendiri.

Mengikuti kursus batik dan menggunakan pengalaman serta jaringan sosial sedia ada, dia optimis untuk mengendalikan perniagaan, Arman Batik, pada 1998.


LAKUKAN inisiatif menyokong golongan OKU. FOTO NSTP

Gara-gara kekurangan, awalnya Tengku Arman Haris berdepan cabaran berhubung dengan pelanggan menerusi telefon.

Memiliki sistem sokongan kuat, keluarganya turut bertindak sebagai sukarelawan untuk memperkukuhkan perniagaan batik.

Kini, dia turut memiliki butik tudung batik yang beroperasi di Subang, Selangor.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 September 2019 @ 6:30 AM