Helmy Abd Rahman
helmy_rahman@hmetro.com.my


BERBEKAM turut dikenali sebagai ‘perubatan langit’ kerana ia beberapa kali disebut dalam hadis termasuk ketika menceritakan perjalanan Rasulullah dalam peristiwa Israk dan Mikraj.

Ia adalah amalan perubatan mengeluarkan darah kotor atau bertoksin, selain angin daripada tubuh seseorang dan masih diamalkan banyak masyarakat di seluruh dunia termasuk di Malaysia.

Malah, kaedah itu sudah dikenali sejak zaman kerajaan Sumeria, sebelum berkembang ke Babilon, Mesir kuno, Saba dan Parsi.

Pada zaman Nabi Muhammad pula, amalan berbekam menggunakan tanduk kerbau, tulang unta dan gading gajah.

Dalam Islam, berbekam atau hijamah sejenis perubatan sunah yang mampu membantu mengubati pelbagai jenis penyakit.

“Sel darah merah di dalam tubuh manusia akan mati setiap tiga bulan atau 90 hari.

“Disebabkan itu, darah mengandungi toksin itu perlu dibuang. Jika tidak, ia boleh mendatangkan risiko komplikasi penyakit.

“Selepas tiga bulan, sel darah kotor berkumpul di lapisan bawah kulit sebelum dikumuh dan digantikan dengan sel darah merah baharu yang mengandungi oksigen dan zat.


DARAH kotor yang disedut keluar di kepala pelanggan.

“Darah kotor yang gagal dikumuhkan kemudian bercampur semula dengan darah baharu yang boleh menyebabkan pelbagai gangguan kesihatan,” kata pengamal perubatan alternatif dan jurubekam di Pusat Terapi Syifa, Shah Alam, Ahmad Husin.

Menurutnya, seiring perkembangan zaman, penemuan kaedah moden yang lebih bersih dan berkesan dalam proses rawatan bekam termasuk di kepala yang kini tidak memerlukan pesakit membotakkan atau mencukur kepala.

“Bekam kepala sebenarnya lebih bagus berbanding bekam badan kerana dengan hanya satu ‘point’ (titik) ia dikatakan mampu merawat banyak masalah kesihatan.

“Sebelum ini ramai yang enggan menggunakan kaedah itu disebabkan tak mahu rambut dicukur.

“Tapi sekarang sudah ada teknologi tidak memerlukan kita mencukur rambut, sebaliknya menggunakan sejenis alat menyedut darah kotor dan mencengkam ‘cup’ (bekas) di kepala supaya tidak tertanggal,” katanya yang mula menjalankan perkhidmatan itu sejak 2007.


AHMAD berpengalaman 12 tahun sebagai jurubekam, melekatkan bekas di badan pelanggan.

Jelasnya, amalan berbekam tidak terhad di bahagian badan dan kepala tetapi kini semakin ramai mendapatkan rawatan bekam kosmetik di bahagian muka.

“Selalunya wanita yang buat bekam kosmetik pada wajah. Memang selepas bekam akan ada kesan lebam, tapi bila kesan bekam hilang, wajah jadi berseri-seri,” ujarnya.

Ahmad berkata, sebagai jurubekam, dia sentiasa mementingkan kebersihan dan mengikut prosedur kesihatan sepatutnya.

“Kami hanya gunakan jarum pakai buang dan darah pesakit dibuang di tong sampah hospital berdekatan.

“Pesakit yang datang pula ada bermacam-macam perangai termasuk mereka yang ‘mabuk darah’.

“Biasanya untuk pesakit begini, kita tak beri dia lihat dan bau darah.

“Alhamdulillah, setakat ini belum ada lagi yang pengsan sepanjang menerima rawatan.

“Paling teruk pun muntah, biasanya disebabkan ada gangguan makhluk halus dalam badan,” katanya.


AHMAD sedang menyapu antiseptik di kepala pelanggan selepas darah kotor dikeluarkan.

Ditanya sama ada kerjaya berkenaan mampu menjanjikan pendapatan memberangsangkan, Ahmad berkata, ia tidak mustahil.

“Malah, ketika zaman ekonomi negara sedang kukuh beberapa tahun lalu, ada dalam kalangan jurubekam yang memperoleh pendapatan sehingga lima angka.

“Ada antara mereka mempunyai lebih daripada sebiji kereta... tiga, empat kereta pun ada.

“Sekarang pendapatan merosot dengan agak ketara tetapi masih boleh untuk tampung hidup,” katanya.

Sepanjang 12 tahun menceburkan diri dalam bidang rawatan bekam, kata Ahmad, dia sudah melatih lebih 500 orang termasuk mereka dari luar negara untuk menjadi jurubekam, baik secara sepenuh masa atau sambilan.

“Pernah ada pelatih dari Manchester (United Kingdom), Brunei dan Indonesia belajar secara dalam talian daripada saya.


PELANGGAN menjalani rawatan bekam badan dan kepala.

“Bagaimanapun saya tidak buat perniagaan secara francais, sebaliknya mereka yang berminat hanya bayar sekali sahaja untuk kelas dan kemudian diberi segala peralatan diperlukan.

“Bidang ini ada potensi untuk berkembang, apatah lagi semakin ramai mengakui ia sememangnya memberi manfaat besar kepada kesihatan.

“Nak belajar bekam pun tak susah berbanding rawatan lain contohnya mengurut.

“Paling lama pun cuma seminggu saja untuk pandai,” katanya.

Untuk rekod, kerajaan sebelum ini dilaporkan mempertimbang untuk memperkenalkan perkhidmatan bekam di fasiliti kesihatan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad di Dewan Rakyat Mac lalu, berkata kementerian akan meneruskan kajian dan menghasilkan satu Laporan Teknologi Kesihatan berkenaan bekam basah untuk penyakit kencing manis (diabetes) dan penyakit jantung (cardiovascular disease) dengan meneliti bukti saintifik keberkesanan bekam basah bagi kedua-dua indikasi berkenaan dalam masa terdekat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 September 2019 @ 5:00 AM