PAIMAN (dua kanan) menyertai Persidangan Tapak Warisan Negeri Selangor pada tahun lalu. FOTO Faiz Anuar
Zaitie Satibi
zaisa@hmetro.com.my


RAMAI yang beranggapan bekerja bukan dalam bidang dipelajari adalah sesuatu yang merugikan. Sedangkan memilih kerja di luar bidang pengajian juga satu perkembangan yang baik kerana kemahiran dibangunkan ketika belajar boleh dimanfaat dan diguna pakai dalam kebanyakan bidang lain.

Oleh kerana belajar tujuannya mencari ilmu, manakala bekerja pula untuk mencari pengalaman kehidupan, Datuk Paiman Keromo, 67, membuktikan seseorang itu mampu berjaya di sektor yang tidak mempunyai kaitan dengan bidang pengajian, malah menjadi lebih baik lagi daripada mereka yang dilatih dalam bidang khusus itu.

Siapa sangka lulusan ekonomi yang stigmanya hanya ‘boleh hidup’ dalam bidang berkaitan perniagaan ataupun kewangan, boleh berkecimpung dalam bidang permuziuman lebih 40 tahun, di samping bergelar pakar dalam bidang pemuliharaan monumen dan tapak bersejarah serta ekskavasi arkeologi darat mahupun dalam air.

Sebaik menerima ijazah pada 1976, Paiman tidak menunggu lama untuk memulakan kerjaya sebagai pembantu pemuliharaan bahan-bahan kaji purba di Muzium Perak, Taiping yang juga muzium pertama di negara ini yang ditubuhkan sejak 1883 bahkan juga dikatakan antara yang terawal di rantau Asia Tenggara.

Lima tahun kemudian, beliau ditukarkan ke Jabatan Muzium di ibu negara sebagai penolong kurator Pusat Konservasi Negara. Bertitik tolak dari situ, potensinya dalam kerjaya diceburi semakin berkembang apabila mendaki satu demi satu tangga jawatan sehingga bergelar Ketua Pengarah Jabatan Muzium sebelum bersara pada 2008.


MENERAJUI badan mengumpul segala maklumat adat Melayu dan warisan negeri Selangor. FOTO Faiz Anuar

Biarpun sudah bersara, kepakaran Paiman masih ditagih apabila setahun kemudian beliau dilantik sebagai Pengarah Muzium Pendidikan Nasional, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) selama setahun tiga bulan sebelum dilantik Pengarah Muzium Diraja Abu Bakar Istana Besar Johor selama tujuh tahun.

Beliau kemudian menabur bakti di tanah kelahiran di Selangor apabila diminta menubuhkan Muzium Negeri Selangor yang kini dikenali sebagai Muzium Sultan Alam Shah.

Berkeluasan 135,000 kaki persegi, muzium yang menjadi pusat khazanah warisan negeri itu akhirnya dibuka secara rasmi pada 2 September 1989 oleh Sultan Selangor ke-8, Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

Melihat perjalanan kerjayanya, tentu kita terfikir sejenak bagaimana beliau mampu bertahan dalam bidang luar pengajiannya dalam tempoh yang begitu lama.

Malah, sepanjang tempoh perkhidmatannya, Paiman sudah melaksanakan kerja pemuliharaan lebih 50 monumen dan tapak bersejarah di seluruh negara antaranya bangunan pejabat kerajaan, istana, masjid, kota lama dan bangunan kedai.


FOTO Faiz Anuar

Hampir dua jam temuramah berlangsung kerana banyak pengalaman ingin dikongsinya, penulis berhasil menemukan jawapan. Semuanya bermula semata-mata menyahut cabaran, selain ingin membuktikan kemampuan dalam bidang berkenaan.

“Ketika bertugas di Muzium Negara, saya diperli Ketua Pengarahnya ketika itu Allahyarham Datuk Shahrum Yub, yang seolah-olah meragui kebolehan saya untuk bekerja di muzium. Ini berikutan saya adalah lulusan bidang ekonomi.

“Sejak itu, saya sering menyertai pelbagai kursus berkaitan kerja konservasi di universiti asing di United Kingdom, Itali, Perancis dan India, selain penganjuran dalam negara.

“Saya bersyukur kerana kesungguhan untuk belajar, ditambah minat tidak saja dapat membuktikan bahawa saya boleh menguasai bidang ini, malah menunjukkan kepada pihak yang sebelum ini tidak yakin dengan kemampuan.

“Selain itu, saya juga ingin mendalami bidang ini kerana bilangan pakar pada ketika itu masih kurang. Saya juga ingin menambah baik peranan muzium yang tidak hanya dilihat sebagai tempat menyimpan artifak lama, sebaliknya juga berfungsi sebagai gedung khazanah sejarah dan budaya negara serta meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap sejarah dan budaya sendiri,” katanya.


PAIMAN (kanan) berbaju Melayu lengkap ketika perasmian Temasya Silat Seni dan Warisan Selangor pada 2017. FOTO Faiz Anuar

Paiman yang kini Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT), pernah menganggotai lebih 15 jawatankuasa terutama dalam teknikal berkaitan permuziuman dan pemuliharaan warisan budaya membabitkan bahan sejarah ketara dan tidak ketara, boleh alih dan tidak boleh alih serta bawah air.

Beliau juga memperkenal dan melaksanakan projek penubuhan muzium serta pengekalan warisan negara menggunakan kaedah yang diiktiraf Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) dan dibangunkan mengikut keperluan di negara ini.

“Saya juga yang pertama memperkenalkan kerja pemuliharaan monumen dan tapak bersejarah secara saintifik dan sistematik di negara ini hasil ilmu yang ditimba di pelbagai universiti serta institusi pendidikan dalam bidang ini di negara asing.

“Antara diperkenalkan seperti kaedah penyelidikan Kajian Kebarangkalian atau dilapidasi, kaedah dokumentasi menggunakan gambar berskala, kajian bangunan seni bina bersejarah, konservasi batu-bata dan bahan daripada tanah liat, konservasi pelepa serta menegaskan kepentingan kerja ekskavasi arkeologi untuk monumen dan tapak tanah bersejarah.

“Saya juga memiliki lesen menyelam yang menjurus dalam kerja ekskavasi arkeologi bawah air. Antara pengalaman, mengendali tiga projek penyelamatan harta kapal karam di pesisir negara ini. Tiga kapal karam berhasil dinaikkan iaitu Diana dan Nassau di Selat Melaka serta Royal Nanhai di Johor,” katanya.


PAIMAN (dua kanan) mengiringi EXCO Kebudayaan dan Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan, Datuk Abdul Rashid Asari (tiga kanan) pada Festival Makanan Warisan Selangor pada tahun lalu. FOTO Faiz Anuar

Selama bertugas dalam bidang ini, beliau menubuhkan lebih 10 muzium di seluruh negara membabitkan peringkat awal perancangan termasuk penyelidikan, pengumpulan bahan, penyediaan bangunan, struktur pameran dan pembukaannya.

“Tiga perkara asas dalam penubuhan muzium adalah jalan cerita, reka bentuk struktur dan grafik pameran. Ketiga-tiga hal ini saling berkaitan berikutan jalan cerita menentukan isi kandungan utama perkara hendak disampaikan kepada pengunjung.

“Reka bentuk struktur pula bertujuan memandu pengunjung supaya melawat mengikut urutan, manakala grafik pameran adalah teknik bagaimana sesuatu artifak atau bahan hendak dipamerkan supaya mudah difaham walaupun mereka tidak boleh membaca

atau mungkin bagi pengunjung buta.

“Namun begitu, menyediakan atau menentukan sesuatu artifak atau bahan pameran mengikut jalan cerita juga perkara penting. Artifak adalah bahan yang menentukan taraf muzium itu, tanpanya muzium akan menjadi hambar dan tiada bukti kukuh bagi hujah yang hendak disampaikan.


PROGRAM Jejak Warisan Klang kerjasama PADAT dan KTMB bagi menyemarak semangat Sayangi Malaysiaku sempena Hari Kemerdekaan 2018. FOTO Faiz Anuar

“Saya turut melakukan sendiri kerja mengumpul bahan bukti sejarah sama ada koleksi di dalam negara mahupun luar negara dan pernah ke Eropah untuk menjejakinya,” katanya yang mengusahakan penubuhan Pusat Konservasi Warisan Negara bagi mengendalikan kerja konservasi artifak dan penganjuran kursus bagi memenuhi keperluan muzium dan pakar rujuk di negara ini.

Menjadi pakar rujuk dalam bidang permuziuman dan pemuliharaan monumen serta tapak bersejarah, Paiman juga melaksanakan kerja konservasi Istana Besar Johor sebagai tempat istiadat kemahkotaan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar pada 23 Mac 2015.

“Muzium Sultan Alam Shah pula adalah muzium pertama yang saya bangunkan dari peringkat awal sehingga pembukaan rasminya.

“Tujuan penubuhan muzium ini selaras dengan kehendak Enakmen Lembaga Muzium Negeri Selangor bertujuan memelihara warisan budaya negerinya yang semakin pupus seterusnya dijadikan sebagai gedung ilmu untuk diwarisi generasi akan datang.

“Atas titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, beberapa muzium bakal diwujudkan bagi memelihara warisan Selangor, di samping menambah produk pelancongan ke negeri ini. Antaranya yang kini sedang diperkemaskan pembukaannya seperti muzium setem, muzium tekstil, muzium padi, muzium sukan dan galeri seni moden,” katanya.


PAIMAN (dua kanan) pada simbolik pelancaran buku Diaries of FW Foxworthy Malaysia First Forest Research Officer pada tahun lalu. FOTO Faiz Anuar

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Ogos 2019 @ 5:05 AM