BANTUAN dihulurkan seikhlas hati. FOTO Nazri Abu Bakar
Nazri Abu Bakar
cnews@nstp.com.my


PERJALANAN jauh bukan halangan malah pengalaman ditimba sembilan sukarelawan program khidmat masyarakat dan pengantarabangsaan di beberapa perkampungan Islam Kemboja, baru-baru ini nyata amat berharga.

Melihat kesukaran dan perjuangan hidup yang dilalui penduduk kampung itu nyata memberikan keinsafan buat sukarelawan betapa bertuahnya berada di bumi Malaysia.

Pada masa sama, mereka teruja dan hampir menitiskan air mata selepas lapan sekeluarga memeluk Islam di depan mata.

Program tiga hari itu anjuran bersama Perpustakaan Tun Abdul Razak Universiti Teknologi MARA (UiTM) cawangan Melaka dan syarikat Ibzura World Travel. Wakilnya turut hadir menguruskan sumbangan kepada penduduk di kampung terbabit.


PELBAGAI ragam gembira kanak-kanak perkampungan Islam yang dikunjungi sukarelawan. FOTO Nazri Abu Bakar

Penyelaras program, Mohd Ismail Abidin berkata, antara sumbangan termasuk 13 telaga wakaf, dua wakaf tempat wuduk, 5,000 kilogram beras, 400 helai tudung, 200 naskhah buku Iqra’ dan surah Yasin dan 50 naskhah al-Quran.

Katanya, sumbangan daripada pelbagai agensi dan masyarakat itu termasuk wang lebih RM40,000 diagih kepada beberapa pusat tahfiz dan penduduk Muslim di perkampungan Islam berkenaan.

“Program siri ketiga ini sangat istimewa kerana bantuan dapat disalurkan terus kepada golongan sasar yang amat memerlukan.

“Lebih teruja kami dapat menyaksikan sendiri lapan keluarga membabitkan 20 dewasa saudara baharu mengungkapkan kalimah syahadah di Markaz Da’wah Islamiyah Muhammad Abdillah Abdulaziz Albadiwidi Ratanakiri,” katanya.


SEORANG sukarelawan menyantuni penduduk kampung. FOTO Nazri Abu Bakar

Menurutnya, lapan lokasi dipilih bagi tumpuan program pengantarabangsaan kali ini iaitu Pusat Tahfiz Quran Kampong Pare Biah, Kampung Osmaj, Madrasah Tahfiz Al-Iman Pre Pra, Madrasah Tahfiz Darul Quran Rohsah Themer, Madrasah Tahfiz Darul Furqan Prek Pra, Madrasah Maahad Tahfiz Quran Kampung Oberich Prech Kratie dan Markaz Da’wah Islamiyah Muhammad Abdillah Abdulaziz Albadiwidi.

“Kepayahan dan kesukaran hidup penduduk berkenaan sukar digambarkan namun kecekalan mereka menghadapi segalanya menjadi motivasi sukarelawan untuk terus membantu pada masa hadapan,” katanya.

Ahli jawatankuasa, Mohd Azmi Mohd Ali Aanafiah yang kali pertama mengikuti program khidmat masyarakat di negara asing, mengakui rasa bertuah kerana mendapat pengalaman baharu lebih-lebih lagi berpeluang mengenali penduduk perkampungan saudara baharu.


WARGA Markaz Da'wah Islamiyah Muhammad Abdillah Abdulaziz Albadiwidi ceria menerima sumbangan. FOTO Nazri Abu Bakar

Katanya, perjalanan ke perkampungan saudara baharu di Ratanakiri yang memakan masa lebih 10 jam dari kota Phnom Penh juga sangat menakjubkan dan sukar dilupakan sampai bila-bila.

“Keterujaan menerima bantuan jelas terukir pada raut wajah setiap penduduk apatah lagi selepas menerima makanan dan al- Quran.

“Apa yang pasti, sukarelawan terbabit mengakui mereka hanya ‘duta kecil’ untuk membantu pada masa sama berterima kasih kepada semua yang menyumbang ke arah program tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu.

“Malah program CSR kali ini juga mendapat tajaan makanan segera untuk semua sukarelawan dari syarikat NASGERA.

“Sekali gus membekalkan produk makanan halal yang memudahkan pengembara lebih-lebih lagi di negara minoriti Islam,” katanya.


JALINAN akrab sukarelawan bersama penduduk kampung dirakam untuk kenangan. FOTO Nazri Abu Bakar

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Ogos 2019 @ 5:00 AM