MOKHSEIN (kanan).
Muhaamad Hafis Nawawi
mhafis@hmetro.com.my


Tiada penyesalan malah dia gembira menyahut cabaran untuk bertugas sebagai pegawai polis.

Minatnya bermula apabila melihat segaknya pegawai polis beruniform biru.

Bermula sebagai Inspektor Pelatih pada 2001, pelbagai suka duka ditempuh Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon yang kini dipertanggungjawab sebagai Ketua Polis Daerah Cheras.

Malah Mohamed Mokhsein sungguh bangga kerana pengurusan atasan memilihnya juga menjadi juruiring Ketua Polis Negara (KPN) ketika itu, Tan Sri Musa Hassan.

“Selepas tamat pengajian Diploma Pengajian Bank di Institut Teknologi MARA (ITM) Melaka, saya bekerja di sektor swasta pada 1998.

“Pada 2001, saya memohon untuk menjadi pegawai polis sebelum diterima dan memulakan latihan di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur (PULAPOL).

“Selepas tamat latihan, saya ditugaskan sebagai Inspektor Cawangan Khas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Selangor pada Oktober 2002,” katanya.

Menurut Mohamed Mokhsein, pada 2007, beliau ditugaskan sebagai juruiring (ADC) KPN.

“Tiga bulan pertama bertugas sebagai ADC adalah saat paling mencabar kerana saya kekok untuk menguruskan jadual harian Tan Sri Musa.

“Ini kerana, saya tidak pernah mengenalinya secara rapat malah perlu sentiasa bersama beliau mengikuti program yang diatur di dalam dan luar negara,” katanya.

Menurut Mohamed Mokhsein, tambahan pula, ketika itu, karakter Musa dilihat sebagai tegas dan garang.

Bagaimanapun, katanya, selepas mengenali Musa secara rapat, beliau mendapati KPN seorang yang menyenangkan.

“Malah saya tidak pernah dimarah dan ditengking Musa sepanjang bertugas dengannya.

“Menjadi ADC bukan tugas mudah kerana saya perlu mengurus semua hal berkaitan tugas rasmi KPN selain perlu menjaga nama baik institusi KPN serta PDRM,” katanya.

Menurut Mohamed Mokhsein, beliau juga amat teliti termasuk dalam soal makan minum KPN.

“Saya akan periksa terlebih dahulu makanan dan minuman itu sebelum ia dijamah KPN.

“Saya juga teliti dalam hal berkaitan ketepatan masa dan pakaian yang akan dipakai KPN,” katanya.

Menurut Mohamed Mokhsein, beliau perlu melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan dalam melaksanakan tugasan seharian.

“Paling penting, lakukan kerja dengan ikhlas dan jaga amanah yang dipertanggungjawabkan,” katanya.

Menurut Mohamed Mokhsein, sebagai ADC, beliau terpaksa berkorban masa bersama keluarga.

“Isteri dan anak-anak banyak berkorban sepanjang saya bertugas sebagai ADC kerana masa saya banyak bersama KPN.

“Bagaimanapun, saya tidak pernah kesal malah bangga dapat berkhidmat dengan KPN sehingga 2010 sebelum Musa bersara,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Ogos 2019 @ 8:01 AM