SEORANG penyelam dikerumuni pelbagai spesies ikan di kawasan terumbu karang Pulau Redang.
Zaitie Satibi
zaisa@hmetro.com.my


MALAYSIA memang terkenal di seluruh dunia dengan keindahan pulau-pulau yang cantik dan mempesonakan.

Kebanyakan di negara ini masih terpelihara alam semula jadinya hasil usaha kerajaan menggazetkan kawasan perairan laut sebagai Taman Laut Negara.

Taman laut adalah kawasan perairan laut sejauh dua batu nautika (kecuali Pulau Kapas di Terengganu dan Pulau Kuraman; Pulau Rusukan Kecil; Pulau Rusukan Besar di Labuan sejauh satu batu nautika) dari tikas air surut terendah yang dizonkan sebagai kawasan terhad atau pelindung sumber lautan termasuk komuniti terumbu karang kaya dengan flora serta fauna.

Penubuhan taman laut bertujuan melindungi dan memulihara pelbagai habitat dan kehidupan marin akuatik.

Sebanyak 42 pulau di seluruh negara diwartakan sebagai taman laut membabitkan 13 perairan di Terengganu, sembilan di Pahang, 13 di Johor, empat di Kedah dan tiga di Labuan.

Pengezonan perairan laut itu berikutan Malaysia antara 12 negara mega biodiversiti di dunia dan terletak di dalam kawasan Segitiga Terumbu Karang (CTI) yang dikelilingi perairan Laut Andaman, Selat Melaka, Laut Sulu dan Laut Sulawesi.

Ia menjadikan Malaysia kaya dengan biodiversiti marin berikutan 83 peratus spesies terumbu karang dunia direkodkan.

Selain menjaga ekosistem, taman laut turut menjadi penyumbang terbesar dalam industri pelancongan negara apabila ia menjadi pilihan utama pelancong menikmati sendiri keindahan dasar laut serta alam semula jadi di sekitarnya.


PULAU Perhentian tawar keindahan semula jadi laut biru selepas diwartakan taman laut.

Taman laut di seluruh negara yang sebelum ini diletakkan di bawah Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar diserahkan kepada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) menerusi agensinya, Jabatan Perikanan (DOF) berkuat kuasa pada 19 Oktober 2018.

Langkah kerajaan menggabungkan taman laut ke Jabatan Perikanan bagi menyusun semula tanggungjawab sumber perikanan di bawah jabatan berkenaan supaya peranan dan fungsi jabatan dapat dipertingkatkan.

Ini membolehkan jabatan berkenaan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam aspek pengurusan terutama soal kebersihan dan pengurusan sampah.

DOF meraikan sambutan jubli perak ulang tahun ke-25 Taman Laut Malaysia pada 20 Julai lalu di Pusat Taman Laut Pulau Tioman di Rompin, Pahang sempena Hari Bertemu Pelanggan kementerian berkenaan di peringkat negeri dirasmikan Ketua Setiausahanya, Datuk Mohd Sallehhuddin Hassan.

Sekilas penubuhan taman laut pada 1994, ia hasil cetusan idea Tun Dr Mahathir Mohamad yang pada masa itu adalah Perdana Menteri keempat sebagai usaha pengurusan sumber marin yang lebih sistematik bagi masa depan khazanah laut negara.

Penubuhan taman laut mempunyai peranan bagi memastikan perairan di sekitarnya dikawal selia dan dilindungi untuk mempertingkatkan sumber perikanan, memelihara dan melindungi ekosistem laut.

Ini berikutan terdapat kesedaran bahawa sumber perikanan dari laut mengalami penyusutan. Kawasan terumbu karang yang menjadi habitat pelbagai spesies ikan komersial berlindung, membiak, mencari makan terdedah kepada pelbagai ancaman semula jadi atau akibat kegiatan manusia.

Pulau Tioman dipilih sebagai lokasi sambutan kerana ia satu-satunya pulau yang menerima pengiktirafan sebagai Kawasan Perlindungan Marin (MPA) Kategori Tahap 4: Flagship Regional Sites yang juga tahap tertinggi dalam penilaian berkenaan.

Pulau ini juga antara yang terbesar di perairan Pantai Timur Semenanjung Malaysia.


PELBAGAI jenis ikan boleh didapati di Taman Laut, Pulau Tioman.

Taman laut juga terbabit dalam Inisiatif Terumbu Karang Antarabangsa (ICRI), CTI, penilaian semula garis panduan berkaitan Kawasan Marin Ekologi atau Secara Biologi (EBSA) di peringkat Konvensyen Kepelbagaian Biologi (CBD).

Hasil daripada ini, Taman Laut Malaysia menjadi pusat rujukan bagi negara yang sedang menaik taraf pengurusan sumber marin seperti Bangladesh, India, China dan Hong Kong.

Penubuhan Taman Laut Pulau Tioman menyaksikan perubahan besar dalam sosioekonomi masyarakat setempat terdiri lebih 3,500 orang.

Dianggarkan lebih 250,000 pelancong datang ke Taman Laut Pulau Tioman setiap tahun.

Sehubungan itu, pihak kementerian berhasrat untuk menjadikan Pengurusan Perikanan dan Agro Pelancongan sebagai satu daripada sumber pendapatan ekonomi setempat.

Taman Laut Malaysia juga menjalankan kerjasama strategik dengan universiti tempatan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam usaha mengurus dan merancang penubuhan taman laut yang baru.

Kerjasama ini dilihat dapat membantu taman laut dalam sistem pemantauan tahap kesihatan terumbu karang.

Pada 2018, Taman Laut Malaysia berjaya mengekal dan meningkatkan tahap kesihatan terumbu karang pada tahap 26 hingga 50 peratus. Pembabitan orang awam dalam program taman laut adalah sangat memberangsangkan apabila kempen atau mesej yang dihebahkan mendapat sambutan baik dan diterima di pelbagai lapisan masyarakat.

Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Munir Mohd Nawi berkata, usaha berkenaan menampakkan hasil apabila generasi muda kini lebih memahami berkenaan kepentingan pemuliharaan yang dilaksanakan kerajaan.

“Sejak peringkat sekolah lagi mereka sudah didedahkan dengan kepentingan menjaga alam sekitar termasuk kawasan laut menerusi media massa. Namun, hari ini media sosial memainkan peranan lebih penting yang menyalurkan maklumat lebih cekap.

“Malaysia juga akan menjadikan taman laut di luar negara sebagai penanda aras bagi menentukan kejayaan dalam pengurusan taman laut di negara ini. Ada taman laut seperti di Australia, Amerika Syarikat dan Sepanyol yang boleh djadikan contoh,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Ogos 2019 @ 4:50 AM