BERSAMA Presiden PPIM Datuk Nadzim Johan (dua dari kiri) dalam satu majlis PPJK dan PPIM.
Helmy Abd Rahman
helmy_rahman@hmetro.com.my


MENYAKSIKAN munculnya lambakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) terutama di Malaysia hari ini, tidak salah untuk beranggapan kita kini menuju ke arah dunia yang lebih cakna dan prihatin.

Saban hari di dada akhbar dan televisyen, kita melihat berita berkenaan NGO yang memperjuangkan hak terutama golongan teraniaya sekali gus menjadi kelompok yang berfungsi sebagai penyemak dan pengimbang kepada kerajaan.

Yang pasti, kerja mereka bukan mudah, perlu ada keberanian dan hati kental serta sifat ingin membantu sedaya mungkin dalam diri aktivis yang terbabit dalam NGO.

Perkara ini diakui Mohammad Hisham Shafie yang aktif dalam pelbagai NGO sejak enam tahun lalu.

Tidak keterlaluan untuk mengatakan lelaki berusia 42 tahun ini mempunyai jiwa pejuang yang kuat bagi menuntut hak dan membela masyarakat selain tidak melupakan tanggungjawab mencari rezeki untuk keluarga menerusi perniagaan.

Masakan tidak, dia kini memegang tujuh jawatan penting dalam tujuh pertubuhan, kelab dan syarikat.

“Saya sekarang menjadi Pengerusi dan Pengasas Persatuan Pengguna Jalanraya Kebangsaan sejak 2017, Panel Penasihat Persatuan Pengguna Siber Malaysia sejak 2018, Penasihat Pertubuhan Dar Asnaf Alfateeh Alldirisiah Selangor iaitu madrasah anak-anak asnaf dan anak yatim (2019), Pengarah Ilham Focus Event & Exhibition Sdn Bhd (2016), Pengurus ECO One Global Enterprise (2015), Pengasas dan Pengerusi Gabungan Bikers Malaysia (2014) dan Pengasas Kelab Motorsikal Z250 Malaysia sejak 2014.

“Selain itu, saya pernah memegang jawatan Ketua Sekretariat Skuad Muda 1 JPJ Malaysia (2016-2017) dan Ketua Skuad Muda 1 JPJ Putrajaya (2014-2017).

“Malah saya juga ahli Persatuan Insuran SAm Malaysia (1999-2017) dan ahli Persatuan Pengguna Islam Malaysia sejak 2017.

“NGO yang paling saya beri tumpuan ialah Persatuan Pengguna Jalanraya Kebangsaan yang banyak menjalankan aktiviti advokasi keselamatan jalan raya.

“Persatuan ini juga aktif melakukan kerja amal, kebajikan dan menganjurkan program permotoran, program melesenkan rakyat Malaysia seawal usia 16 tahun serta program lesen B penuh bersama kelab permotoran di negara ini,” katanya yang berasal dari Pulau Pinang, namun kini menetap di Putrajaya.

Mohammad Hisham berkata, penting untuk mempunyai keberanian dan ada kala ambil risiko untuk memperoleh kejayaan.

“Malah prinsip hidup saya adalah, perlu sentiasa mengambil risiko untuk berjaya dan untuk mengambil risiko itu harus mempunyai keberanian.


PROGRAM santai PPJK dan PPIM.

“Saya percaya bahawa hidup adalah anugerah dan sentiasa cuba untuk mencapai sebanyak mungkin.

“Bila kita ingin mencapai sesuatu yang berharga dalam hidup, maka kita perlu menanamkan sikap berani kerana ia mampu membawa kita ke arah yang lebih baik,” katanya.

Sepanjang berkecimpung dengan pelbagai NGO, Mohammad Hisham terbabit dalam penganjuran 80 program dan 70 sumbangan membabitkan hadiah serta wang tunai.

Atas jasanya terhadap masyarakat, sudah acap kali dia diiktiraf menerusi pelbagai anugerah dan sering dipanggil untuk menghadiri pelbagai program di televisyen dan ceramah.

“Antara anugerah yang saya terima ialah Pingat Jasa Kebaktian (PJK) Anugerah Penghargaan sempena Hari Kelahiran Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas pada 2017; Anugerah Penghargaan Khas Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak Sambutan Hari JPJ ke-70 pada 2016; Anugerah Penghargaan Ibu Pejabat JPJ sempena Sambutan Hari JPJ ke-70 (2016); Anugerah Penghargaan JPJ Selangor (2016) dan Anugerah Sukarelawan Skuad Muda Majlis Hari JPJ 2015.

“Semua anugerah ini menjadi penyemarak semangat untuk saya terus bergiat aktif membantu masyarakat tapi secara peribadi saya menganggap anugerah PJK daripada Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang paling bermakna,” katanya.

Menurut Mohammad Hisham, dia bertuah apabila isterinya, Mazsuhaida Baharom Shah memberi galakan penuh dan menjadi insan paling kuat mendorongnya untuk aktif dalam NGO.

“Sebenarnya memang sejak kecil lagi saya memasang hajat untuk menjadi insan yang dapat berbakti kepada masyarakat dan membantu mereka yang memerlukan.

“Bagaimanapun, tanpa sokongan dan dorongan isteri, tak mungkin saya dapat berada di tempat saya berada sekarang.

“Malah, saya amat menghargai kesanggupan dan kesabarannya terhadap saya yang sering sibuk terutama sejak aktif berkecimpung dalam NGO,” kata bapa kepada dua anak perempuan dan seorang anak angkat lelaki itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Ogos 2019 @ 4:40 AM