RAMLI (kanan) menjalankan pemeriksaan standard kepenggunaan tayar pneumatic.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin
asyikin.mat@hmetro.com.my


INSIDEN pergaduhan berdarah 2005 menjadi pengalaman tidak boleh dilupakan Penolong Pegawai Penguatkuasa Tingkatan Kanan Tertinggi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Ramli Nayan, 56.

Ini kerana, dia bersama 32 penguat kuasa KPDNKK diserang kira-kira 40 peniaga dan tonto ketika menjalankan operasi membanteras penjualan video cakera padat (VCD) cetak rompak di Pasar Malam Sri Rampai, Kuala Lumpur.

Katanya, peniaga dan tonto bertindak agresif menyerang, mencederakannya serta anggota lain menggunakan senjata seperti pisau, batang besi serta rotan.

“Seorang daripada kami mengalami kecederaan agak teruk apabila kepalanya dihentak dengan buluh menyebabkannya rebah di atas jalan raya.

“Saya pula terpaksa melepaskan tembakan amaran bagi mempertahankan diri dan anggota pasukan daripada serangan terbabit,” katanya.

Menurutnya, ketika itu, penjualan VCD cetak rompak berleluasa dan peniaga berani menjualnya secara terbuka seperti di pasar malam.

Ramli berkata, rumahnya turut disimbah cat merah oleh individu tidak dikenali.


RAMLI (tengah) mengikuti Kursus Pembuatan Bot Fiberglass kerana hobinya memancing.

“Selain itu, rumah saya juga didatangi lelaki berpakaian seperti sami dan penjual besi buruk yang memberi amaran kepada isteri meminta saya menghentikan kerja-kerja serbuan.

“Tidak dinafikan ugutan itu memberi tekanan kepada keluarga.

Saya hanya berdoa, tawakal dan bersyukur tiada perkara buruk menimpa ahli keluarga,” katanya.

Ramli berkata, ugutan seperti itu tidak mematahkan semangatnya sebaliknya lebih bersungguh-sungguh menjalankan tugas penguatkuasaan seperti diamanahkan.

Katanya, dia sering menasihati anggota KPDNKK yang masih baru dengan kerjaya ini supaya sentiasa mengamalkan prinsip integriti dalam kehidupan dan kerjaya disamping berani serta mematuhi arahan atasan.

Ramli turut gemar memancing selain mendayung sampan atau berkayak pada hujung minggu bagi meningkatkan stamina serta kekal cergas.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Ogos 2019 @ 4:30 AM